Sunday, January 9, 2011

Apa yang perlu dibuat pada harta pusaka?

Ada yang bertanya kepada saya soalan berikut.

Apa yang perlu saya lakukan pada harta pusaka peninggalan arwah ibu atau ayah saya?

Jawapan saya.

Berikut ialah satu persatu prosedur yang perlu dilakukan terhadap harta pusaka peninggalan si mati:

1. Pembayaran tentang pengurusan jenazah

Anda boleh menggunakan harta si mati bagi kos pengurusan jenazah seperti kos memandikan, mengkafankan, dan mengebumikan jenazah. Perlu difahami bahawa wang yang disedekahkan oleh pelawat kepada waris si mati semasa urusan pengurusan jenazah bukanlah harta pusaka peninggalan si mati kerana wang tersebut diterima selepas si mati meninggal (kecuali wang pembayaran hutang kepada si mati kerana itu dikira wang yang si mati berhak menerimanya). Wang tersebut adalah wang derma daripada orang ramai kepada waris si mati dan waris si mati juga boleh menggunakan wang tersebut bagi urusan pengurusan jenazah bagi menjimatkan harta si mati.

2. Membayar hutang si mati

Sila bertanya kepada saudara-mara dan sahabat-handai si mati tentang hutang-hutang si mati. Nyatakan bahawa anda atau waris yang dipertanggungjawabkan akan membayar hutang si mati setelah dibuat semua pengiraan harta dan hutang si mati. Tentang harta-harta yang si mati berhutang tetapi dilindungi oleh insuran, anda hendaklah memaklumkan kepada syarikat insuran terbabit tentang kematian si mati dan syarikat terbabit akan memberi panduan selanjutnya tentang prosedur pembayaran hutang bagi pihak si mati.

3. Melaksanakan wasiat si mati

Sekiranya si mati ada menginggalkan wasiat, anda hendaklah menunaikan wasiat si mati. Sekiranya wasiat tersebut dibuat secara formal dan bertulis, ini akan lebih memudahkan ahli waris. Jika anda kurang pasti sama ada si mati ada meninggalkan wasiat atau tidak, mungkin anda boleh bertanya kepada peguam yang biasa berurusan dengan si mati atau kenalan rapat si mati. Selongkarlah tempat penyimpanan dokumen si mati kerana mungkin banyak dokumen si mati yang belum pernah diketahui oleh waris sebelum si mati meninggal. Berjumpalah dengan pihak-pihak yang berkaitan untuk melaksanakan wasiat si mati dan bagi mengesahkan tentang kesahihan wasiat tersebut.

4. Hak tentang harta sepencarian

Setelah harta si mati dibahagikan bagi melaksanakan urusan-urusan di atas, baki harta si mati bolehlah dikira dan dibahagikan kepada pasangan si mati sebagai harta sepencarian. Walau bagaimanapun, pengiraan harta sepencarian adalah optional. Sekiranya pasangan si mati memilih untuk tidak menuntut harta sepencarian, kerana menganggap harta pusaka si mati lebih baik dibahagikan terus kepada waris-waris si mati yang lain, maka tuntutan harta sepencarian boleh dilangkau (skip).

Sekiranya pasangan si mati mahukan pembahagian harta sepencarian ini tidak dipertikaikan oleh waris-waris yang lain, satu permohonan secara formal boleh dibuat oleh pasangan si mati di mahkamah syariah yang berkaitan. Mahkamah akan menentukan portion atau bahagian yang sewajarnya kepada pasangan (atau pasangan-pasangan, jika si mati berpoligami) berdasarkan fakta sesuatu kes yang dikemukakan di hadapan hakim syarie.

5. Pembahagian harta pusaka kepada waris

Setelah itu barulah harta pusaka si mati dibahagikan kepada waris-waris yang lain. Jika anda tidak pasti tentang cara pembahagiannya, anda boleh membuat permohonan sijil faraidh di mahkamah syariah yang berkaitan. Secara alternatifnya, jika si mati ada meninggalkan harta tak alih seperti rumah dan tanah, anda boleh membuat permohonan bicara pusaka di unit pesaka kecil di pejabat tanah yang berkaitan.

- Urusan bicara pusaka dan penjualan hartanah si mati telah saya huraikan sebelum ini dan boleh dibaca di sini.

- Untuk membaca dengan lebih lanjut tentang perkara di atas, anda juga boleh membaca majalah Solusi isu # 26 & 27, bahagian Faraid yang ditulis oleh Ustaz Md. Yazid Ahmad seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).




- Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di laman web berikut: http://www.stormreaders.net/pustakamizi

- Untuk menyertai rangkaian Stormreaders, sila layarihttp://www.stormreaders.co/

No comments: