Saturday, January 8, 2011

Menjual Semula Sebelum Membayar Penuh Harga Jual Beli

Ada yang bertanya kepada saya soalan berikut:

Saya ingin membeli rumah daripada si A dengan harga RM120,000. Kemudian saya ingin menjual kembali rumah tersebut kepada si B dengan harga RM150,000. Walau bagaimanapun, saya tidak mampu untuk membayar tunai secara sekaligus kesemua harga jual beli sebanyak RM120,000 tersebut. Saya hanya mampu membayar secara tunai sekaligus kepada si A sebanyak RM70,000 sahaja.

Baki RM50,000 akan saya bayar secara ansuran setiap bulan secara langsung ke akaun bank si A memandangkan itulah jumlah yang si A berhutang dengan banknya sekarang. Dalam masa pembayaran ansuran dibuat, saya bercadang untuk menjual semula rumah tersebut kepada si B dengan harga RM150,000 dan selepas itu si B akan membayar baki hutang si A (mungkin sudah sedikit berkurangan, contohnya RM45,000).

Beza antara baki hutang si A dengan harga jual beli saya dengan si B adalah dikira keuntungan saya. Sila sediakan perjanjian jual beli dan dokumen-dokumen berkaitan bagi maksud tersebut.

Jawapan saya:

Keuntungan yang anda perolehi daripada transaksi seperti di atas mungkin tidak sama dengan keuntungan riba, tetapi saya beranggapan bahawa ianya adalah dilarang. Walaupun mungkin ada instrumen undang-undang (berdasarkan kelemahan perundangan undang-undang tanah di Malaysia), dan sebagai peguam, saya boleh menyediakan instrumen dokumen tersebut, tetapi saya agak keberatan memandangkan terdapat beberapa unsur kesamaran (gharar).

Terdapat satu hadis sebagaimana berikut:

Hakim bin Haizam bertanya: “Ya Rasulullah, telah datang kepada aku seorang lelaki dan ia ingin sesuatu yang tidak aku miliki. Adakah boleh untukku menjual kepadanya apa yang ada di pasar.” Baginda menjawab: “Jangan kamu menjual benda yang belum kamu miliki.” (Riwayat Abu Daud, no. 3503; al-Tirmizi, hadis hasan dan disetujui oleh al-Munziri)

Al-Mubarakfuri mencatat dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwazi:

“Hadis ini dalil haramnya jual benda yang tidak dimiliki dan tidak termasuk di bawah milik dan kemampuannya diberikan pengecualian dalam bab Bai’ al-Salam kerana terdapat dalil khusus yang mengecualikannya daripada umum hadis ini.”

Beliau menjelaskan lagi, haram menjual sesuatu yang belum menjadi milik anda tatkala akad jualan dibuat. Inilah yang berlaku dalam contoh kes soalan di atas, iaitu anda belum menjelaskan kesemua bayaran jual beli dengan si A tetapi telah menjualnya semula kepada si B.

Walau bagaimanapun, ada cara atau kaedah untuk menjadikannya halal iaitu sebagaimana berikut:

Anda hendaklah berterus-terang dengan si A sebelum menjualnya semula dengan si B. Si A berhak untuk tidak bersetuju anda menjualkan rumah tersebut kepada si B kerana rumah tersebut masih milik si A.

Jika si A bersetuju anda menjual rumah tersebut kepada si B, bermakna si A seolah-olah telah melantik anda sebagai wakil. Tatkala itu, halal bagi anda menjual kepada si B.

Tentang jumlah beza daripada harga asal RM120,000 dan harga jual beli kepada si B sebanyak RM150,000 adalah bergantung kepada si A apabila mewakilkan anda menjual kepada si B. Jika si A mengatakan bahawa harga antara si A dan anda ialah RM120,000 sahaja dan terpulang kepada kepada anda untuk tentukan sendiri harga jual beli dengan si B, jadi beza RM30,000 tersebut adalah halal kerana ia dinamakan wakalah mutlaqah dari sudut harga.

Kesimpulannya ialah, apa yang penting bagi saya ialah konsep transparent (berterus-terang). Sesuatu transaksi boleh jadi dibenarkan dan boleh jadi tidak dibenarkan, semuanya bergantung kepada cara transaksi tersebut diuruskan. Jika selepas berterus-terang dengan si A, si A tidak membenarkannya, saya memohon maaf, saya tidak boleh menyediakan instrumen atau dokumen yang anda arahkan.

- Artikel di atas boleh dibaca dan/atau dimuatturun di pautan berikut: Menjual Semula Sebelum Sah Jual Beli

- Jawapan saya adalah berdasarkan pemahaman saya daripada tulisan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dalam majalah Solusi Isu # 27, pada muka surat 43.


- Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di laman web berikut: http://www.stormreaders.net/pustakamizi

- Untuk menyertai rangkaian Stormreaders, sila layari www.stormreaders.co

No comments: