Thursday, January 20, 2011

Wasiat keseluruhan harta, dan dibahagikan samarata kepada waris

Soalan:

Saya nak mewasiatkan semua harta saya kepada isteri & 4 orang anak saya (1 perempuan & 3 lelaki) secara samarata. Tolong sediakan dokumen wasiat tersebut.

Jawapan:

Sebelum saya menyediakan dokumen wasiat tersebut, anda perlu faham sekurang-kurangnya tiga (3) perkara tentang wasiat berkaitan hasrat anda ini sebagaimana berikut:

1. Wasiat kepada waris sendiri;

2. Wasiat keseluruhan harta; dan

3. Mewasiatkan pembahagian harta secara samarata.

Saya akan menerangkan satu-persatu isu di atas secara ringkas seperti berikut:

1. Wasiat kepada waris sendiri

Secara dasarnya, orang Islam dilarang mewasiatkan hartanya kepada waris sendiri. Ini adalah kerana ahli waris sudah pasti akan mendapat bahagian mereka masing-masing daripada harta pusaka si mati. Jadi, hak waris sentiasa terjaga dan wasiat kepada waris tidak diperlukan.

Wasiat pada asalnya adalah untuk menjaga kepentingan orang lain yang mempunyai hubungan rapat dengan pewasiat tetapi bukan waris kepada pewasiat seperti anak angkat atau sesiapa yang menjaga kebajikan pewasiat semasa hayatnya seperti jiran atau rakan, atau orang yang disayangi oleh pewasiat seperti tok guru, atau pak lebai dan sebagainya, atau orang yang banyak berjasa kepada pewasiat seperti adik-beradik, ipar-duai, sepupu-sepapat, dan sebagainya.

Wasiat juga bertujuan supaya pewasiat boleh mewakafkan hartanya untuk tujuan kebajikan supaya pewasiat sentiasa mendapat pahala amal jariah yang berterusan selepas pewasiat meninggal dunia.

Jadi, wasiat kepada waris memang tak perlu dan ramai ulama' yang menyatakan bahawa wasiat kepada waris adalah tidak sah, kecuali mendapat keizinan daripada ahli waris yang lain. Keizinan tersebut pula hendaklah diperolehi selepas pewasiat meninggal dunia kerana ijab & qabul wasiat akan hanya berlaku selepas kematian pewasiat.

Walau bagaimanapun, ada ulama' yang berpendapat bahawa wasiat kepada waris sendiri adalah dibolehkan asalkan tidak melebihi kadar satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pewasiat.

Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk membahaskan perbezaan pendapat antara ulama'-ulama', tetapi memadai untuk saya nyatakan bahawa Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 telah menerima pendapat bahawa wasiat kepada waris sendiri adalah dibenarkan asalkan kadarnya tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pewasiat.

Saya ada menulis tentang kedudukan wasiat kepada waris di negari Selangor dalam artikel sebelum ini dan boleh dibaca di pautan berikut: http://mizico.blogspot.com/2009/08/peruntukan-undang-undang-tentang-wasiat.html

Bagi negeri-negeri yang tiada peruntukan tentang wasiat, kedudukan wasiat kepada waris adalah berdasarkan keputusan mahkamah syariah di tempat berkenaan (sekiranya ada dicabar kesahihan sesuatu wasiat) dan artikel ini tidaklah ditulis untuk mengkaji kes demi kes yang berlaku di negara kita tentang wasiat kepada waris. Mungkin dikesempatan yang lain, akan saya huraikan secara detail tentang perbezaan pendapat ini dan hujah-hujah ulama' tentang perkara ini.

Beruntunglah orang Islam Negeri Selangor kerana kerajaan negeri Selangor telah meluluskan Enakmen Wasiat pada tahun 1999 lagi dan perbezaan pendapat ulama' tentang isu ini adalah tidak relevan lagi untuk dibahaskan di mahkamah di Selangor, dan ia cuma relevan untuk perbahasan akademik sahaja.

2. Wasiat keseluruhan harta

Wasiat keseluruhan harta memang jelas adalah dilarang kerana hal ini akan menafikan hak-hak waris yang lain yang juga berhak kepada harta pewasiat. Wasiat keseluruhan harta akan hanya dikira sah jika kesemua ahli waris bersetuju untuk melepaskan hak masing-masing bagi menyempurnakan hasrat pewasiat tadi.

Siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa semua ahli waris boleh bersetuju jika kesemua harta diwasiatkan seratus peratus (100%). Lagipun, kebenaran atau persetujuan waris ini hendaklah diambilkira selepas pewasiat meninggal dunia dan bukan semasa pewasiat masih hidup.

Jadi, saya tidak menggalakkan wasiat sebegini sebab kesahihannya boleh dipertikaikan. Saya berpendapat adalah lebih baik menyediakan satu dokumen yang memang sah & berkuatkuasa tanpa apa-apa risiko bantahan berbanding daripada menyediakan satu dokumen yang boleh dipertikaikan suatu hari nanti.

3. Kandungan wasiat yang bercanggah dengan hukum Syariah

Apabila anda berhasrat untuk membahagikan harta secara samarata di antara isteri dan anak-anak lelaki dan perempuan, pembahagian sebegini adalah bercanggah dengan pembahagian faraidh yang mana hak isteri bagi suami yang mempunyai anak ialah satu perlapan (1/8), manakala pembahagian anak lelaki adalah dua (2) kali ganda daripada pembahagian kepada anak perempuan. Kadar ini adalah berasaskan ayat-ayat al-Quran yang sepatutnya tiada orang Islam boleh mempertikaikannya.

Artikel ini tidak bertujuan untuk menghuraikan tentang kadar pembahagian faraidh, cuma yang pasti, pembahagian secara samarata adalah bercanggah dengan pembahagian faraidh dan wasiat sebegini adalah tidak sah.

Berdasarkan penerangan di atas, jadi saya agak keberatan untuk menyediakan dokumen wasiat bagi anda sebagaimana yang anda hajatkan.

Soalan:

Susahnya nak buat wasiat. Banyak pulak syarat-syaratnya. Tak payah buatlah kalau macam tu.

Jawapan:

Jangan pula anda salah faham. Bukanlah wasiat itu untuk menyusahkan umat Islam dengan segala syarat yang perlu dipenuhi bagi menjadikannya sah dan berkuatkuasa. Syarat-syarat yang dibuat adalah antara lainnya untuk menjaga kebajikan ahli waris yang lain supaya semuanya dapat menikmati harta pusaka si mati secara adil dan saksama.

Soalan:

Habis tu, apa yang perlu saya buat sekarang supaya harta saya itu dibahagikan secara sama rata pada isteri dan anak-anak saya itu. Saya tak mahu mereka bergaduh sesama sendiri selepas saya meninggal nanti.

Jawapan:

Mungkin anda hanya menyebut istilah wasiat padahal anda sendiri tidak faham apa itu wasiat. Jika anda benar-benar ingin membahagikan semua harta secara sama banyak kepada waris sendiri, tak perlulah membuat dokumen wasiat. Bagi ajelah sekarang ini (semasa anda hidup) sama ada secara dokumen hibah atau melalui instrumen-instrumen lain yang lebih bertepatan dengan hasrat/hajat anda itu berdasarkan jenis dan status harta anda itu.

Satu perkara yang perlu anda faham adalah, pembahagian samarata tidak semestinya adil.

Anda mungkin tidak perlu memberikan harta yang banyak kepada isteri anda kerana mungkin selepas kematian anda, dia boleh berkahwin dengan orang lain yang mempunyai harta yang lebih banyak daripada anda!?

Perlu juga anda ingat bahawa isteri anda boleh menuntut harta sepencarian daripada anda selepas anda meninggal dunia. Dokumen perjanjian harta sepencarian inipun sebenarnya boleh disediakan sekarang ini. Baki daripada harta sepencarian barulah dikira sebagai harta pusaka. Jadi, 1/8 bahagian untuknya daripada harta pusaka adalah memadai. Wasiat tidak perlu.

Anak perempuan anda akan mempunyai suami dan suaminya adalah bertanggungjawab untuk mencari nafkah bagi menyara hidup anak perempuan anda. Jadi bahagiannya yang secara relatif agak sedikit berbanding anak lelaki adalah logik kerana tanggungannya yang sedikit.

Anak-anak lelaki anda perlu bekerja keras bagi menyara hidup keluarganya. Jadi, jika harta pusaka yang anda tinggalkan untuk mereka secara relatifnya sedikit berbanding dengan pembahagian faraidh yang memberikan mereka hak yang lebih banyak, susahlah mereka untuk mendapatkan rezeki tambahan kerana anda sendiri telah menyempitkan mereka dengan mengurangkan hak mereka.

Sesungguhnya undang-undang pewarisan Islam adalah sangat adil. Cuma umat Islam itu sendiri yang kekurangan ilmu untuk memahami dan menghayati keindahan dan keadilan tersebut.

Untuk mengelakkan isteri dan anak-anak anda daripada bergaduh sesama sendiri, berilah ilmu dan kesedaran tentang penghayatan Islam kepada mereka. Insya-Allah, dengan izin Allah, tiada umat Islam akan mempertikaikan hak mereka dan hak orang lain jika mereka benar-benar memahami ajaran Islam.

-Isu-isu di atas ada juga dihuraikan dalam majalah Solusi, isu #19 pada bahagian Faraid.

-Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di laman web berikut: www.stormreaders.net/pustakamizi

-Maklumat lanjut tentang stormreaders boleh didapati di www.stormreaders.co


No comments: