Saya biasa mendengar ada orang-orang tua semasa mereka berbual, mereka ada sebut istilah 'waris patah titi'. Apa itu waris patah titi?
Jawapan:
Waris patah titi merujuk kepada cucu yang kematian bapa/ibu terlebih dahulu sebelum kematian datuk/nenek mereka. Mereka akan terhalang daripada menerima harta pusaka datuk/nenek mereka kerana kewujudan bapa/ibu saudara mereka yang menjadi 'asabah kepada harta pusaka peninggalan datuk/nenek.
Waris patah titi berlaku dalam contoh keadaan sebegini.
Adam meninggal dunia dan meninggalkan seorang orang anak lelaki bernama Idris dan seorang ayah bernama Saleh. Tidak ada apa-apa harta pusaka ditinggalkan oleh Adam kepada anaknya Idris yang masih kecil itu. Idris kemudiannya dijaga oleh datuknya, iaitu Saleh. Selepas itu, Saleh pula meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Ibrahim iaitu adik kepada Adam (bapa Idris yang telah meninggal lebih awal tadi). Mengikut hukum faraidh, harta pusaka Saleh jatuh kepada Ibrahim. Sementara Idris pula tidak mewarisi harta datuknya Saleh kerana terdinding dengan sebab adanya waris yang lebih dekat yang menjadi 'asabah, iaitu Ibrahim.
Jadi, kedudukan Idris di sini dikenali oleh orang melayu dulu-dulu sebagai 'waris patah titi'.
Soalan:
Kalau macam tu, kesianlah pada nasib Idris yang dahla yatim, tidak pula mewarisi harta datuknya. Tak adillah macam tu.
Jawapan:
Memanglah disebabkan nasib waris patah titi yang sebegini, ada sesetengah orang menganggap bahawa undang-undang pewarisan Islam adalah undang-undang yang tidak adil.
Tapi, jangan menuduh terlalu cepat. Jika dilihat pada beberapa enakmen di negara kita, nasib waris patah titi ini memang dijaga/terbela. Peruntukan tentang hak waris patah titi ini dikenali dengan istilah 'wasiyyah wajibah'.
Soalan:
Apa pula wasiyyah wajibah tu?
Jawapan:
Wasiyyah wajibah merujuk kepada konsep wasiat yang seolah-olah wujud daripada datuk/nenek kepada cucunya sebelum datuk/nenek itu meninggal dunia
. Wasiat pada asalnya bukanlah wajib. Tetapi bagi menjaga maslahat/kepentingan waris patah titi, wasiat ini seakan-akan wajib ada yang diwajibkan adanya oleh pemerintah melalui penguatkuasaan undang-undang.
Konsep wasiyyah wajibah ini juga sebenarnya tidak asing di negara-negara Islam yang lain. Konsep wasiyyah wajibah ini lahir berdasarkan siayasah syar'iah dalam sesebuah negara Islam bagi menjaga maslahat umat Islam di negara/negeri terbabit.
Walau bagaimanapun, kadar wasiyyah wajibah ini hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada keseluruhan harta si mati. Syarat-syarat lain tentang wasiyyah wajibah ada dinyatakan dalam peruntukan undang-undang secara jelas.
Untuk memahami lebih mendalam tentang peruntukan wasiyyah wajibah ini, jom kita lihat contoh peruntukan dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, dalam Seksyen 27 seperti berikut:
"(1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.
(2) Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kematian datuknya:
Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka simati.
(3) Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut wasiat wajibah:
Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris."
Apa yang menjadi sedikit permasalahan dari segi praktisnya ialah; adakah ahli waris yang lain bersedia untuk mengisytiharkan kepada mahkamah atau unit pesaka kecil tentang kewujudan waris patah titi ini memandangkan hal ini akan mengurangkan jumlah harta pewarisan yang akan mereka terima. Di sinilah pentingnya peranan peguam supaya dapat menyiasat waris seadil mungkin dan menasihatkan ahli waris supaya memasukkan waris patah titi dalam senarai waris-waris dan memberikan hak waris patah titi terlebih dahulu berdasarkan peruntukan wasiyyah wajibah dan selepas itu barulah baki harta pusaka dibahagikan kepada ahli waris yang lain.
Jika waris tidak diwakili peguam, adalah menjadi tanggungjawab hakim/pegawai unit pesaka bagi menyiasat hal ini semasa sesi perbicaraan. Semoga nasib waris patah titi terbela.
-Perbincangan tentang waris patah titi dan wasiyyah wajibah ini ada dimuatkan dalam majalah Solusi isu #17 pada mukasurat 88.
-Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di www.stormreaders.net/pustakamizi
-Maklumat lanjut tentang stormreaders boleh didapati di www.stormreaders.co
No comments:
Post a Comment