Soalan:
Semua harta pusaka mesti dibahagikan ikut faraidh ke? Tak boleh ke kalau kitaorang nak bahagikan ikut cara lain?
Jawapan:
Harta pusaka tak semestinya dibahagikan ikut faraidh. Anda boleh membahagikan harta pusaka mengikut cara-cara yang lain contohnya seperti berikut:
1. Cara permuafakatan bersama; dan
2. Cara penolakan hak.
1. Cara permuafakatan bersama
Bagi saya, inilah cara yang terbaik. Kesemua ahli waris sama-sama duduk berbincang dan membuat keputusan secara muafakat tentang cara mana nak diagihkan harta pusaka si mati.
Selalunya ahli waris akan bersetuju untuk bahagikan harta secara samarata sesama mereka.
Mungkin ada juga yang mencadangkan supaya harta pusaka yang berupa harta tak alih dijual supaya wang tersebut boleh digunakan sesama mereka bagi membantu waris yang lebih memerlukan wang tunai.
Mungkin juga ada yang bermuafakat supaya wang pusaka disimpan dalam tabung berasingan yang mana dibuat perlantikan antara waris supaya ada yang menguruskan wang tabungan tersebut yang akan digunakan dari semasa ke semasa bagi tujuan kebajikan ahli waris.
Mungkin ada yang bermuafakat supaya harta si mati ditukar milik kepada syarikat yang ditubuhkan yang mana pemegang saham syarikat tersebut adalah ahli waris dan seterusnya harta si mati boleh dijadikan modal perniagaan bagi syarikat tersebut memulakan perniagaan dan menggandakan perolehan.
Mungkin akan ada juga ahli waris yang bermuafakat untuk menubuhkan yayasan kebajikan bagi memanfaatkan harta pusaka peninggalan si mati untuk tujuan-tujuan amal seperti wakaf, dan derma atau bantuan kepada yang kurang bernasib baik.
Macam-macam boleh dilakukan jika ada permuafakatan bersama yang mana ini semua boleh mambawa kebaikan kepada bukan sahaja si mati di alam barzakh tetapi juga kepada waris-waris peninggalan si mati.
Apa yang menyedihkan ialah, apabila ahli waris tidak boleh diajak berunding dan masing-masing berkeras dan tamakkan harta pusaka serta tiada kepercayaan antara sesama sendiri.
2. Cara penolakan hak
Cara penolakan hak juga sebenarnya adalah hasil daripada kesefahaman antara ahli waris.
Contohnya dalam kes si mati meninggalkan seorang anak perempuan dan seorang isteri. Jadi, adik beradik lelaki dan perempuan si mati juga berhak ke atas harta pusaka si mati kerana mereka adalah 'asabah mengikut kiraan faraidh.
Mereka boleh menolak hak mereka kepada anak perempuan si mati, iaitu anak saudara mereka sendiri yang dalam kebanyakan kes lebih memerlukan harta pusaka peninggalan si mati.
Contoh lain ialah apabila si mati meninggal dunia tanpa meninggalkan anak isteri kerana masih bujang tetapi ada meninggalkan harta. Harta pusaka akan jatuh kepada ibu bapa dan adik beradik lelaki dan perempuan si mati. Mungkin adalah lebih baik bagi adik beradik si mati menolak hak mereka dan membahagikan harta pusaka kepada si ayah atau ibu mereka yang mana faedahnya untuk mereka juga nanti.
Sesungguhnya, pembahagian harta pusaka dalam Islam tidaklah rigid kepada pembahagian ikut faraidh semata-mata. Pembahagian mengikut kiraan faraidh adalah bagi membuka kepada penyelesaian kes-kes umum pembahagian harta pusaka yang mana ahli waris sebenarnya berhak memutuskan secara persetujuan bersama sesama mereka, mana yang lebih menguntungkan dan sesuai bagi sesama mereka.
Dalam beberapa kes yang saya handle, ada juga ahli waris yang berkeras supaya harta pusaka dipindahmilik kepada mereka mengikut portion pembahagian faraidh walaupun tanah peninggalan si mati hanyalah sekangkang kera.
Memang kita tidak boleh menafikan hak waris tersebut. Cuma, saya selalu ingatkan kepada anak guam saya bahawa sepatutnya apabila berlaku kematian dikalangan ahli keluarga, hal ini akan membawa kepada hubungan silaturrahim antara keluarga makin kukuh.
Sebagai contoh, apabila seorang bapa meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak daripada bekas isteri yang diceraikannya dulu-dulu dan anak-anak daripada isterinya semasa hayat si mati, pada masa selepas kematian si bapa tadi, sepatutnya anak-anak tadi (adik-beradik sebapa berlainan ibu) mengambil kesempatan dan peluang untuk memperbaiki hubungan silaturrahim sesama mereka.
Apa yang berlaku dulu-dulu adalah peristiwa antara bapa dan ibu mereka dan mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka dan melihat hikmah disebalik takdir. Sebab itulah, hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga amat dititikberatkan dalam Islam supaya antara lainnya, isu pembahagian harta pusaka dapat diselesaikan secara teratur dan mudah bagi faedah ahli waris itu sendiri.
No comments:
Post a Comment