Thursday, January 13, 2011

Putus Tunang-Anda boleh saman bekas tunang anda!

Para ulama' telah berbincang masalah berkaitan dengan mungkir pertunangan. Berikut adalah pandangan mereka.

Hanafi
Jika hadiah-hadiah itu masih sempurna dan belum bertukar keadaannya atau dimakan atau dimusnahkan, pemberi boleh meminta balik hadiah tersebut, jika kemungkiran janji oleh pihak yang lain.

Maliki
Jika kemungkiran janji itu dari pihak lelaki, dia tidak berhak meminta balik hadiah-hadiah yang diberi olehnya. Sebaliknya, jika kemungkiran itu oleh pihak perempuan, lelaki itu boleh meminta balik hadiah yang diberi olehnya, sama ada hadiah itu masih ada atau tidak. Jika hadiah itu telah dimusnahkan, harganya harus dibayar.

Shafi'i
Hadiah-hadiah itu hendaklah dikembalikan sama ada dia masih wujud atau tidak. Jika barang-barang itu masih ada, barang-barang itu hendaklah dikembalikan. Jika barang-barang itu telah dimakan atau digunakan atau telah hilang, harganya hendaklah dikembalikan.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (AUKI) Wilayah Persekutuan 1984

Seksyen 15 AUKI menyebut:

"Jika seseorang telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut hukum Syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi kepada kontrak itu, tanpa apa-apa sebab yang sah manakala, pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persiapan bagi perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan mahkamah."

Rumusan dari peruntukan tersebut

- Pihak yang mungkir janji sahaja yang akan memulangkan pemberian.
- Hanya keengganan berkahwin tanpa sebab-sebab yang sah sahaja yang akan dikenakan pemulangan balik pemberian.
- Pihak yang mungkir hendaklah membayar segala apa yang telah dibelanjakan oleh pihak yang satu lagi bagi membuat persediaan perkahwinan.

Kes-kes Mahkamah

- Nafsiah lwn Abdul Majid [1969] 2 MLJ 174
- Hussin lwn Moh [1972] 1 JH 44
- Aishah lwn Jamaluddin [1978] 3 JH 104

Cuma isu tentang tuntutan gantirugi am akibat rasa dianiaya dan dimalukan, secara dasarnya tiada perenggan yang khusus berkaitan tuntutan keaiban yang boleh dituntut oleh pihak yang dimungkiri. Sekilas pandang, tuntutan ganti rugi keaiban adalah diluar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hal ini juga menjadi masalah jika dibuat tuntutan di mahkamah sivil kerana mahkamah sivil juga agak keberatan untuk mendengar kes-kes putus pertunangan kerana ia dianggap sebagai di bawah bidangkuasa mahkamah syariah.

Saya berpendapat, perlu ada keberanian dan kreativiti di pihak hakim-hakim mahkamah syariah, yang walaupun tiada perenggan khusus berkaitan gantirugi am, adalah tidak menjadi kesalahan jika hakim mengeluarkan perintah gantirugi am tersebut kerana ia masih berkaitan urusan putus tunang yang sememangnya dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

- Isu putus tunang ini juga ada dibincangkan oleh Ustaz Badli Shah Alauddin di majalah Solusi isu
#18 pada mukasurat 76.

- Anda boleh mendapatkan majalah solusi secara online di www.stormreaders.net/fizabooks
- Maklumat lanjut tentang stormreaders di www.stormreaders.co

8 comments:

Aishi said...

bagaimana sekiranya pihak lelaki telah memutuskan pertunangan 2minggu selepas bertunang?

boleh kah perempuan meminta ganti rugi untuk duit kenduri,hantaran dan semua persiapan yg ditanggung semua oleh pihak perempuan?

apakah prosedur untuk saman malu?

tq.

Termizi said...

Sekiranya pihak lelaki memutuskan pertunangan tanpa kesalahan di pihak perempuan, pihak perempuan boleh menuntut di mahkamah syariah daripada pihak lelaki perkara-perkara berikut:

1. Hadiah dan/atau nilai hadiah pertunangan pemberian pihak perempuan kepada pihak lelaki dipulangkan kepada pihak perempuan;

2. Kos-kos bagi persiapan perkahwinan yang telah dibuat oleh pihak perempuan.

Tuntutan di atas dinamakan sebagai tuntutan gantirugi khas yang perlu dinyatakan satu-persatu lengkap dengan segala keterangan sama ada dokumen bertulis atau kesaksian atau apa-apa bukti lain.

Tuntutan saman malu agak sukar kerana kedua-dua mahkamah (sivil dan syariah) masing-masing kata tiada bidangkuasa untuk dengar kes. Ini adalah masalah sistem perundangan di Malaysia yang masih terjajah dengan sistem dualism yang ditinggalkan penjajah.

Saya mencadangkan agar tuntutan kerugian malu (gantirugi am dan/atau gantirugi teladan) dimasukkan dalam salah satu tuntutan di mahkamah syariah. Terpulang kepada kebijaksanaan peguam syarie untuk berhujah dan kearifan hakim untuk membenarkan atau tidak membenarkan tuntutan saman malu tersebut. Sehingga ke hari ini, setakat yang saya tahu, belum ada tuntutan saman malu bagi kes putus tunang yang berjaya.

Anonymous said...

sekiranya situasi saya begini, saya sepatutnya bernikah pada bulan march 2011 tetapi pihak lelaki telah memutuskan pertunangan pada bulan Jan 2011, sedangkan persiapan rapi telah di buat. sekiranya saya ingin membuat tuntutan adakah masih boleh?

Termizi said...

Masih boleh.

Linda Salam said...

Salam.

Bagaimana sekiranya pihak lelaki telah meluahkan kata-kata yg berunsur penghinaan terhadap wali pihak perempuan dengan mencadangkan bahawa beliau diketepikan dlm urusan perkahwinan (tanpa sebab munasabah), lalu atas rasa kekecewaan dan malu - pihak perempuan membuat keputusan untuk tidak lagi memeruskan pertunangan tersebut?

Harap nasihat.

Unknown said...

askum..
saya telah putus tunang 3minggu sebelum tarikh perkahwinan yang sepatutnya berlaku tahun lepas. baru-baru ini, emak pihak si lelaki ingin menuntut semula separuh dari wang hantaran yang telah diberikan kepada saya sedangkan anak dia sendiri yang ingin memutuskan pertunangan tersebut. mengikut awal perjanjian, emak dia berhajat utk memberi separuh dari wang hantaran kepada saya sebagai persediaan perkhahwinan, tetapi si lelaki telah memasukkan semua wang hantaran kepada saya tanpa pengetahuan emaknya. di sini saya ingin bertanya, bolehkah emak si lelaki menuntut balik separuh dari wang belanja hantaran yg telah diberikan kepada saya? perlukah sayan memulangkan semula duit tersebut, ikutkan saya juga telah rugi dari segi wang, tenaga, perasaan saya dan maruah keluarga yg sedikit tercalar akibat pembatalan majlis perkahwinan di saat2 akhir? minta pendapat tuan untuk memberi pendapat.

Auni Noorhakimah said...

Salam,sekiranya duit dr merisik hingga ke duit tung dan hantaran bnyk di keluarkan oleh perempuan,dan perempuan tersebut merasakan jika dia berkahwin akan datang menyusahkan blh kah die memohon putus tung?dan jika hantaran yang sepatutnya 10k hanya di bg 3k oleh pihak lelaki dan yang len perempuan yg keluarkan,perlu kah phak perempuan membayar ganti rugi?sekian trma ksh

Termizi said...

Kepada Auni Noorhakimah,

Adakah perasaan jika berkahwin akan datang menyusahkan boleh dikira sebagai alasan yang munasabah untuk membatalkan pertunangan?

Kena yakinkan mahkamah bahawa alasan pembatalan pertunangan adalah munasabah. Jika gagal meyakinkan mahkamah, hanya sekadar rasa-rasa aje, pihak perempuan mungkin akan dianggap sebagai tiada alasan munasabah untuk membatalkan pertunagan. Pihak perempuan berkemungkinan akan disaman oleh pihak lelaki.

Saya kurang faham tentang wang hantaran. Hantaran sepatutnya dibayar semasa kawin. Yang paling penting perlu faham adalah pihak yg mungkir kena bayar kepada pihak yg tak bersalah tak kiralah 3k atau berapa ribu sekalipun.