Arwah suami saya ada mendirikan sebuah surau. Beberapa orang penduduk kampung telah datang untuk mewakafkan wang tunai bagi membantu pembinaan surau tersebut. Setelah arwah suami saya meninggal, surau tersebut tidak digunakan dan terbiar begitu sahaja. Boleh tak ahli waris merobohkan surau tersebut dan membayar kembali wang yang telah diwakafkan oleh orang kampung tadi kepada masjid yang berkaitan bagi membolehkan ahli waris membangunkan tanah tapak surau tersebut untuk manfaat ahli waris? Perlu difahami bahawa hanya surau yang menjadi harta wakaf sewaktu suami saya hidup dan bukan tanah tapak surau tersebut.
Jawapan:
Saya berpendapat adalah diharuskan bagi ahli waris mengalihkan wang wakaf yang diterima bagi pembinaan surau tersebut memandangkan manfaat asal wang wakaf tersebut sudahpun terhenti dengan terhentinya manfaat surau tersebut.
Perlu difahami bahawa antara objektif wakaf ialah untuk ganjaran pahala yang berterusan kepada orang yang mewakafkan. Dan dalam hal ini, oleh sebab surau tersebut sudah pun terbiar, jadi saya berpendapat adalah harus dialihkan wang wakaf dari pembinaan surau (dikira kembali berdasarkan harga semasa) dan diwakafkan kembali bagi pihak pewakaf pertama kepada bangunan yang setaraf atau lebih daripada yang asal tadi (dalam kes ini kepada masjid) kerana manfaat wakaf masih tidak hilang begitu sahaja.
Hal ini boleh dikiyaskan sebagai ahli waris telah membeli bangunan surau tersebut dengan harga semasa dan hasil jualan bangunan surau itu dialihkan kepada bangunan wakaf lain yang setaraf dengannya.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berpendapat dibolehkan menjual wakaf demi kemaslahatan, dengan menggantinya, iaitu yang lebih baik. Beliau berdalil dengan kisah seorang lelaki yang bernazar; “Jika Allah membukakan kota Makkah untuk Rasulullah s.a.w., maka dia akan solat di Baitul Maqdis. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Solatlah di sini saja. Beliau mengulanginya dua atau tida kali, lalu Baginda bersabda: Terserahlah pada kamu.”
Pada situasi tersebut, Nabi s.a.w. mengizinkan orang tersebut untuk mengubah nazarnya dari yang utama kepada sesuatu yang lebih utama. Sebagaimana yang kita maklumi bahawa nazar untuk sesuatu ketaatan wajib dilaksanakan. Maka wakaf pun boleh dialihkan atau dijual untuk dialihkan kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.
No comments:
Post a Comment