Saturday, January 22, 2011

Beza antara wakaf dan wasiat

Soalan:

Apa beza antara wakaf dan wasiat?

Jawapan:

Banyak beza antara wakaf dan wasiat. Antara beza yang paling jelas ialah tentang efektifnya wakaf dan wasiat.

Jika seseorang itu mewakafkan tanahnya untuk masjid, efektif wakafnya itu adalah pada saat dia mewakafkan tanah tersebut, serta merta.

Tak perlu tunggu qabul dari jawatankuasa masjid atau sebagainya.

Dari segi praktisnya, apabila seseorang itu mewakafkan tanahnya kepada masjid sebagai contohnya, maka dokumen pindahmilik tentang tanah wakaf itu hendaklah disediakan segera.

Mengikut undang-undang wakaf di Selangor, semua tanah wakaf hendaklah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Jadi, dokumen Borang 14A Kanun Tanah Negara 1965 antara pewakaf dan MAIS sebagai contohnya hendaklah disediakan segera untuk ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan pindahmilik hendaklah didaftarkan di pejabat tanah yang berkaitan.

Semuanya dibuat sewaktu pewakaf masih hidup. Jadi pewakaf tidak boleh lagi/terhalang menggunakan tanah itu untuk kegunaan peribadinya lagi sebab itu dah jadi tanah wakaf.

Hati pewakaf akan terus bergembira dan dia akan tersenyum lebar selepas itu jika sekiranya selepas itu tanah itu dibangunkan sebagai sekolah tahfiz contohnya kerana pewakaf dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri hasil wakafnya itu.

Banyak pahala pewakaf ini.

Berlainan halnya dengan wasiat. Efektif wasiat adalah berlaku selepas kematian pewasiat. Dengan syarat lagi bahawa tanah yang diwasiatkan itu (contohnya seperti kes di atas, bezanya cuma dia berniat wasiat, bukan wakaf) tidak boleh melebihi kadar satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pewasiat.

Efektif wasiat itu juga adalah bergantung kepada penerima wasiat selepas pewasiat meninggal. Teorinya, jika MAIS tidak mahu menerima wasiat tersebut dan ingin menyerahkan tanah itu kepada waris, wasiat tidak boleh dilaksanakan kerana tiada qabul disebelah penerima wasiat. Tapi ini saya rasa tak akan berlaku kecuali wasiat kepada waris sendiri yang mana mungkin ada penerima wasiat yang enggan menerima wasiat.

Wasiat ini pula boleh ditarik balik. Contohnya jika pewasiat tadi melihat masjid di tempatnya tadi sudahpun ada tanah lain yang lebih luas, atau imam yang disanjungnya itu sudah meninggal, dia boleh menarik balik wasiatnya sebelum ini dan tanah tersebut akan jadi harta pusaka selepas dia meninggal dunia.

Sebab itulah dari segi praktisnya, apabila seseorang itu berwasiat, hanya dokumen wasiat sahaja yang disediakan. Dokumen pindahmilik belum disediakan kerana pindahmilik belum berlaku. Yang ada hanyalah niat yang tulus ikhlas yang lahir daripada pewasiat diterjemahkan dalam bentuk dokumen wasiat sebagai penzahiran kepada ahli waris pewasiat tentang wasiatnya itu.

Jadi, anda boleh memilih sama ada nak mewakafkan harta anda atau nak mewasiatkannya. Inilah indahnya undang-undang pentadbiran harta dalam Islam kerana umat Islam boleh memilih instrumen mana yang lebih relevan dengan hajatnya.

- Panduan tentang Wakaf, Hibah, dan Wasiat ada dihuraikan secara detail dalam buku Panduan Wakaf, Hibah dan Wasiat Menurut al-Quran dan as-Sunnah karangan Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin.

- Anda boleh mendapatkan buku tersebut secara online di www.stormreaders.net/pustakamizi
- Maklumat lanjut tentang stormreaders di www.stormreaders.co

No comments: