Friday, January 21, 2011

Harta Sepencarian atau Harta Masing-masing?

Soalan:

Saya bekerja. Suami saya juga bekerja. Saya simpan duit saya, dia simpan duit dia. Saya beli rumah dengan duit saya. Dia beli kereta dengan duit dia. Sekarang kami dalam proses nak bercerai. Bolehkah suami saya mendakwa bahawa rumah saya sekarang sebagai harta sepencarian?

Jawapan:

Saya berpendapat bahawa suami anda tak boleh mendakwa rumah anda sekarang sebagai harta sepencarian. Ini adalah kerana tak semua harta dalam masa perkongsian hidup suami isteri dikira sebagai harta sepencarian.

Dalam kes anda, ternyata anda telah mengasingkan harta anda dan harta suami anda daripada awal-awal lagi. Masing-masing kerja, masing-masing simpan duit masing-masing secara asing-asing. Tak bercampur.

Anda beli harta lain iaitu rumah. Suami anda beli harta lain iaitu kereta. Bagi saya adalah jelas, ini bukan harta sepencarian.

Walau bagaimanapun, suami anda memang boleh menuntutnya di mahkamah Syariah. Hakim Syarie yang arif lagi bijaksana akan menentukan sama ada sesuatu harta itu boleh dikira sebagai harta sepencarian atau tidak.

Secara umumnya, harta sepencarian ialah harta yang dicari secara bersama-sama oleh pasangan suami isteri yang mana cara mendapatkan harta itu adalah daripada sumber bersama dan bercampur-campur dan sukar untuk diasingkan secara fizikal dalam tempoh perkahwinan mereka.

Bagi isteri yang tidak bekerja, anda jangan bimbang. Kerja anda sebagai suri rumah dikira oleh mahkamah sebagai satu kerja yang mana hasil kecemerlangan anda sebagai suri rumah menjadikan suami anda lebih berdaya maju untuk menghasilkan lebih banyak harta dan harta suami anda itu dikira sebahagiannya sebagai harta sepencarian kerana anda juga membantu secara tidak langsung dalam mencari dan mendapatkan harta tersebut.

Begitu jugaklah kalau sesuatu harta itu diperolehi secara bersama antara suami isteri. Cuma dalam kes soalan di atas, saya amat berat menghujahkan bahawa ia bukan harta sepencarian bahkan ia adalah harta masing-masing.

Beberapa contoh harta lain yang tidak dianggap sebagai harta sepencarian ialah sebagaimana berikut:

  1. Harta yang sudah dimiliki oleh masing-masing sebelum mereka menjadi pasangan suami isteri;
  1. Harta pusaka yang masing-masing terima daripada ahli keluarga masing-masing;
  1. Harta yang masing-masing usahakan, simpan dan masing-masing beli dan tidak bercampur seperti dalam kes soalan di atas; dan
  1. Harta yang masing-masing terima untuk diri masing-masing seperti hadiah, hibah, derma, (dan harapnya janganlah pulak rasuah).

Perlu juga dinyatakan bahawa kadar harta sepencarian tidak semestinya 50-50. Ianya mengikut kadar pencarian antara suami isteri tadi. Sebab itulah, untuk memastikan harta sepencarian ini tidak dicabar kesahihannya suami isteri sepatutnya buat perjanjian tentang harta sepencarian walaupun tidak ada unsur-unsur hendak berpisah. Tak perlu tunggu suami nak poligami baru nak tuntut harta sepencarian.

Perlu juga difahami bahawa harta sepencarian juga boleh dituntut walaupun pasangan masing-masing sudah meninggal dunia.

- Isu mengenai harta sepencarian ini juga ada dibincangkan di majalah Solusi isu # 25 dalam bahagian Faraid.

- Anda boleh membeli majalah Solusi secara online di www.stormreaders.net/pustakamizi
- Maklumat lanjut tentang stormreaders di www.stormreaders.co

No comments: