Soalan:
Kenapa dalam pengiraan faraidh, lelaki dapat lebih daripada perempuan? Tak adillah macam tu. Patutnya dapat sama rata la…
Jawapan:
Kenapa pulak tak adilnya. Adil tak semestinya sama banyak, tak semestinya sama rata. Kadang-kadang perkara yang tak sama banyak pun, dikira adil sebab tak semua perkara boleh disamaratakan.
Anda mungkin terpengaruh dengan fahaman gerakan sama rata antara jantina yang banyak diperjuangkan oleh pihak barat yang sengaja ingin mengelirukan masyarakat dan sekaligus menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang berat sebelah (kononnya).
Antara lelaki dan perempuan, secara biologi pun berbeza. Perempuan boleh mengandung dan boleh melahirkan anak. Lelaki, walau macamana nak rasa mengandung dan melahirkan anak pun, tetap tak boleh. Perut boleh buncit, tapi mustahil untuk mengandung.
Secara fizikal antara lelaki dan perempuan pun berbeza. Secara umumnya lelaki diberikan kulit yang lebih kasar, badan yang lebih tegap, suara yang lebih kuat berbanding dengan perempuan yang diberikan kulit yang lebih halus, badan yang lebih kecil molek, suara yang lebih merdu dan sebagainya.
Secara emosinya, lelaki dan perempuan juga berbeza. Lelaki selalunya bengis, tak suka menangis, suka marah-marah, dan selalunya direct to the point. Perempuan pula selalunya agak kuat merajuk, mudah cemburu, cakap berkias atau berlapik dan sebagainya.
Oleh sebab itu, agama Islam telah meletakkan hak dan tanggungjawab yang berbeza antara lelaki dan perempuan kerana berbezanya biologi, fizikal, dan emosi mereka.
Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada orang lelaki. Apabila mereka baligh, mereka hendaklah sembahyang fardhu lima (5) kali sehari semalam tanpa cuti, tak kira sihat atau sakit, tak kira sibuk atau lapang, tak kira dalam keadaan biasa atau bermusafir, sembahyang tetap sembahyang, sehinggalah mereka meninggal dunia.
Perempuan pula, walaupun mereka baligh, ada juga masanya mereka rehat daripada sembahyang lebih kurang tujuh (7) hari dalam sebulan sebab uzur syarie. Untunglah perempuan. Kalau macam ni, lelaki pun nak minta rehat jugaklah. Tapi tak boleh kan…
Jadi, sekali lagi ingin saya tegaskan tentang tanggungjawab lelaki adalah berbeza dengan tanggungjawab perempuan dan sebab itulah hak lelaki adalah berbeza dengan hak perempuan.
Lelaki bertanggungjawab untuk menyara hidup anak, isteri, dan keluarga. Manakala perempuan tidak bertanggungjawab untuk menyara hidup keluarga. Apa yang mereka lakukan sekarang adalah kerana rasa cinta pada suami dan keluarga. Jadi, mereka ‘membantu’ suami mereka. Hukum asalnya, kalau isteri tak kerja pun tak berdosa. Tetapi lelaki mesti cari nafkah dan kalau tak berusaha, mereka berdosa.
Itulah antara hikmahnya orang lelaki mendapat bahagian faraidh yang lebih berbanding dengan perempuan, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh seorang yang bernama lelaki.
Lagipun kenapa anda nak bising. Kalau anda ada suami, bukankah suami anda dapat lebih harta pusaka yang ditinggalkan oleh keluarganya? Jadi anda sebagai perempuan juga senang.
Secara mudahnya, apa yang diperolehi oleh lelaki daripada harta pusaka adalah harta lelaki tersebut tetapi dalam masa yang sama harta itu ialah harta untuk keluarga lelaki tersebut jugak, termasuk anda sebagai isterinya.
Tetapi harta pusaka yang anda terima, walaupun secara perbandingannya sedikit, harta itu adalah hak eksklusif anda. Suami anda tak berhak terhadap harta pusaka yang anda terima. Harta tersebut juga tidak boleh dituntut oleh suami anda sebagai harta sepencarian. Ianya milik seorang yang bernama perempuan dan untuk perempuan itu sahaja, selama-lamanya. Tak berdosa pun kalau dia nak kedekut harta pusaka itu, sebab itu harta dia secara mutlak berbanding dengan harta pusaka yang diterima oleh suami dikira sebagai harta bersama untuk keluarga.
Tak adil lagi ke macam tu? Saya rasa, kalau semua orang faham tentang perkara ini, tak akan timbul lagi soalan yang macam tadi tu. Bahkan mungkin si lelaki pula yang rasa tak adil…
No comments:
Post a Comment