Friday, September 17, 2010

RAMAH BINTI TA'AT v. LATON BINTI MALIM SUTAN

RAMAH BINTI TA'AT v. LATON BINTI MALIM SUTAN
MAHKAMAH RAYUAN NEGERI-NEGERI BERSEKUTU SELANGOR
RAYUAN SIVIL BIL 7 TAHUN 1927

ACTON, J, THORNE, J DAN FARRER-MANBY, JJ

28 NOVEMBER 1927

Gompertz HB

Yang menuntut ialah balu bagi Mat Dawi bin Suroh yang meninggal dunia pada tahun 1926 tanpa membuat wasiat. Ia menuntut yang kenatuntut, juga seorang balu kepada almarhum Mat Dawi bin Suroh dan seorang pentadbir bersama kepada harta yang dipertikaikan, untuk mendapat satu kenyataan Mahkamah bahawa kesemua harta almarhum pada saat ia meninggal dunia adalah harta syarikat mengikut mazhab Shafii dalam undang-undang Islam yang mana dengan itu yang menuntut berhak mendapat separuh bahagian harta itu selain dari bahagian yang dia berhak mendapat dari bahagian separuh lagi mengikut undang-undang warisan Islam. Keterangan yang menyokong tuntutannya ialah almarhum adalah seorang yang miskin yang tidak pernah mempunyai wang ringgit sendiri. Ia diketahui sebagai seorang yang mengambil upah di beberapa tempat untuk beberapa orang, dengan bayaran tidak melebihi $30 sebulan. Yang menuntut menerangkan ia adalah seorang janda yang diceraikan oleh suaminya yang pertama dan ia kemudian itu berkahwin dengan almarhum semenjak 35 tahun dahulu. Mengikutnya, pada masa perkahwinannya ia ada memiliki sebuah rumah kedai dan tanah di Beranang dan barang-barang kemas yang bernilai $150 tunai. Harta di Beranang dijual dan ia membeli sekeping tanah di Tanjong Malim yang kemudiannya dijualkan pula mendapat untung. Mengikutnya, tanah yang dituntut itu telah dibeli dengan hasil ini dan lain-lain tanah yang dibelinya sebahagiannya dengan hasil keuntungannya jual balik dan keuntungan dari kedai-kedai yang dibuka olehnya untuk penjualan kuih-kuih. Tanah ini didaftarkan di atas nama almarhum. Secara kebetulan yang menuntut ada mempunyai tanah-tanah lain yang dianggar seluas 10 ekar didaftarkan dengan namanya yang juga dibeli dengan hasil yang sama.

Keterangan-keterangannya ada berlainan dan bercanggahan antara satu sama lain, akan tetapi dia nampaknya bercakap benar dan setengah-setengah keterangannya disokong oleh saksi-saksi lain. Harus diingati bahawa yang menuntut adalah seorang kampung yang sudah dewasa yang memperkatakan perkara-perkara yang telah terjadi dari semenjak lama. Secara keseluruhannya, saya menerima tuntutannya bahawa tanah yang dipertikaikan itu atau sebahagian besarnya dibeli dengan wang yang diberi olehnya.

Isu yang berikut adalah lebih sukar. Mr. Bailey memulakan dengan takrif harta syarikat sebagai perkongsian dalam harta. Pada kebiasaan, keterangan perkongsian dapat dilihat dengan adanya satu perjanjian bertulis sebelum tanah itu dibeli atau dikerjakan. Persetujuan resmi antara suami-isteri adalah suatu yang luarbiasa dan perkongsian boleh dibukti dari keadaan-keadaan. Perkongsian seperti ini dikenali sebagai syarikat kesamaran. Mr. Bailey secara jelas menolak sebarang tuntutan upah atau pampasan, lihat kes Haji Ramah v Alpha (1924) 4 FMSLR 179. Saya mencadangkan kepada peguam supaya tuntutan pihak menuntut boleh diasaskan kepada alasan-alasan selain daripada prinsip undang-undang Islam itu dan saya bertanya sama ada ia mahu mengubah alasan tuntutan itu akan tetapi cadangan itu tidak diterima. Berhubung dengan undang-undang Islam, yang menuntut telah memanggil dua orang saksi yang pakar.

Saksi pertama ialah Kadhi Ulu Langat. Beliau telah mempelajari undang-undang Islam di Mekah selama tujuh tahun dan memegang jawatan sekarang dari semenjak 22 tahun. Ia menyebut bahawa harta syarikat adalah sebahagian daripada undang-undang Islam atau hukum syarak seperti yang diketahui di kalangan mazhab Shafii. Perkataan itu menunjukkan adanya perkongsian baik berbentuk modal atau tenaga. Kemudian Kadhi itu menyebut tentang upah atau pampasan. Sebagai ringkasan dia berkata seorang suami dan isteri adalah berhak mendapat bahagian daripada harta tanah yang diperolehi bersama atau oleh salah seorang daripada kedua mereka, mengikut kadar modal atau usaha yang diberi.

Mr. Bailey selepas itu memajukan beberapa soalan yang khusus kepada saksi tersebut. Saya memberikan ringkasan soalan dan jawapan itu:

1. Seseorang lelaki dan perempuan yang tidak berharta berkahwin, kemudian mereka memperolehi harta benda dari usaha mereka. Apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia, harta itu dibahagi dua bahagian; satu bahagian diberi kepada pihak yang masih hidup, dan yang sebahagian lagi itu dibahagikan mengikut undang-undang warisan.

2. Sekiranya kedua-dua belah pihak mempunyai banyak sumber pencarian dan kepunyaan mereka dicampurkan dan kekayaan mereka bertambah dan pada masa kematian sisuami ataupun isteri — kiranya pihak yang masih hidup tidak dapat bersetuju dengan waris-waris tentang bahagian mereka, setiap orang mestilah bersumpah, dan sumpah seorang yang sedang menduduki tanah adalah yang muktamad.

3. Sekiranya seorang lelaki miskin mengahwini seorang wanita kaya dan kekayaan mereka bertambah, pada masa kematian si suami — kesemua harta itu menjadi kepunyaan isteri, tidak ada yang boleh dijadikan pesaka mengikut undang-undang warisan.

4. Dalam kes yang sama, di mana sisuami menolong bercucuk tanam dan berusaha atas tanah — Ia berhak mendapat satu bahagian sebagai upah.

5. Dalam keadaan harta benda diperolehi oleh suami selepas perkahwinan, hasil usahanya — dikira sebagai pesaka apabila ia meninggal dunia.

Saksi yang sama juga menyebut bahawa ia mempunyai kuasa kehakiman tertentu di sisi undang-undang. Prinsip-prinsip yang disebutnya itu adalah sebahagian daripada undang-undang Islam, bukannya daripada adat. Asas undang-undang Islam ialah Al-Quran. Mengikut saksi itu harta syarikat tidak disebut dalam Al-Quran secara jelas. Akan tetapi pengertian mengikut ertikata Al-Quran dan perkataan-perkataannya telah ditambah dari maksud kitab suci itu dan dari maksud itulah prinsip ini diambil. Rujukannya mungkin kepada Al-Quran,

Surah IV, Bahagian V, Ayat 32, Tafsiran Maulvi Mohammad Ali, edisi 1917 —

"Golongan lelaki berhak mendapat faedah dari usaha mereka dan golongan wanita juga berhak mendapat faedah dari usaha mereka."

Saksi itu menyebut harta tanah yang kecil di Selangor telah dibuat pembahagiannya oleh Pemungut Hasil Tanah berasaskan kepada sijil tuan Kathi. Saksi sendiri telah menyelesai kes-kes antara 500–600 dalam tempoh 22 perkhidmatannya. Harta syarikat telah dituntut sebanyak 5 atau 6 kali, tetapi tidak pernah dilulus. Tidak ada kaedah atau peraturan yang diterima oleh Pemungut Hasil Tanah.

Saksi juga ada menyebut dalam pemeriksaan ba-las, bahawa Nawawi adalah seorang Ulama yang ma-syor dalam mazhab Shafii (telah diakui bahawa mazhab Shafii yang diikuti di sini). Apabila rujukan dibuat kepada kitab Nawawi, saksi mengaku tidak terdapat dalam Bab 13 mengenai "perkongsian" atau dalam Bab 28 mengenai pembahagian hartabenda, apa-apa disebut mengenai perkongsian jenis ini; dan tidak juga terdapat apa-apa dalam bab perkahwinan. Ia menyebut bahawa buku itu tidak lengkap akan tetapi ia mengaku bahawa ini tidak jelas diperkatakan dalam kitab tersebut. Akhirnya saksi di penghujung pemeriksaan balasnya menyebut bahawa:

"Satu undang-undang patut diluluskan untuk menjadikan harta syarikat sebagai undang-undang di sini. Ianya tidak di-laksanakan di sini."

Dalam pemeriksaan semula ia menambah bahawa ia ada membicarakan satu kes di Klang di mana siisteri selepas bercerai menuntut harta syarikat. Ia menyebut bahawa keputusannya ialah supaya tuntutan itu diselesaikan dengan damai "dengan cara pembahagian dua bahagian atau tiga bahagian mengikut persetujuan mereka."

Saksi kedua ialah Kadhi Besar Negeri Selangor yang menjawat jawatan itu semenjak 1914. Jawapan Kadhi Besar kepada soalan-soalan Mr. Bailey adalah selari dengan jawapan yang telah diberi oleh saksi pertama. Beliau berkata —

"Harta syarikat sebagai yang saya sebutkan adalah di negeri ini sebahagian daripada undang-undang Islam."
Ia mengaku bahawa kitab 'Minhaj et Talibin' tidak menyebut tentang harta syarikat di antara suami dan isteri. Tapi ia merujuk kepada tulisan Abdul Rahman bin Muhammad, seorang Mufti Hadramaut dan memetik satu potongan dari muka surat 159 seperti berikut:

"Jika sesuatu harta dipunyai oleh suami dan isteri akan tetapi bahagian mereka tidak dapat ditentukan, tidak ada apa-apa yang menunjuk kadar bahagian masing-masing dan pada masa penceraian atau kematian berlaku tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan menuntut bahagiannya melainkan bahagian masing-masing ditentukan atau mereka mencapai satu persetujuan. Sekiranya bahagian itu boleh ditentukan ia adalah jelas. Sekiranya ia tidak boleh ditentukan mereka mestilah bersabar sehingga mencapai satu persetujuan. Sekiranya waris-waris membuat pembahagian dengan persetujuan bersama mereka, pembahagian mereka mungkin disamakan atau tidak disamakan. Kedua-dua belah pihak mestilah sudah dewasa. Sekiranya satu pihak telah memberi sumbangan tenaga yang lebih, pembahagian hendaklah diasaskan kepada kadar tenaga yang diberi."

Dalam pemeriksaan balas saksi juga menyebut bahawa kadar tenaga yang diberi boleh dijadikan ukuran yang munasabah, jadi kalau sisuami memberi sumbangan $700 dan siisteri $300, bahagian mereka di dalam harta itu hendaklah mengikut kadar itu. Saksi telah dirujukkan kepada kitab Abdul Rahim "Muhammadan Jurisprudence" m.s. 333 dan ia menjawab "Saya tidak berani mengatakan sama ada dia betul. Apakah mazhabnya?" Kemudiannya ia berkata "Saya tidak mengingat tentang tuntutan harta syarikat hanya satu kes yang disebutkan oleh saksi pertama." Dirujukkan kepada "Minhaj et Talibin" Bab "Perkong-sian", saksi itu berkata: "Saya tidak suka memberi pendapat saya sendiri. Saya lebih suka merujuk kepada kitab-kitab dan menyatakan apa yang betul dan benar." Dia terus berkata "Masalah upah atau harta syarikat pernah berlaku dalam satu kes. Orang ramai pernah bertanya saya tentang perkara ini. Dalam sijil-sijil pembahagian harta yang saya keluarkan, saya tidak pernah mengambil kira tentang upah atau harta syarikat."

Saya harus mengatakan bahawa berasas kepada soalan dan jawapan (3) di atas, Mr. Bailey berhujjah bahawa yang menuntut berhak kepada semua tanah itu sebagai kepunyaannya. Akan tetapi ia hanya ingin menuntut setengah bahagian mengikut prinsip jawapan (1) dan (2) di atas.

Mr. Freeman bagi pihak yang dituntut tidak membawa apa-apa keterangan. Ia berhujjah babawa Mr. Bailey tidak berasaskan tuntutannya kepada adat tempatan, sebaliknya ia berasaskan tuntutan itu semata mata kepada undang-undang Islam. Jika adat dinyatakan dan diasaskan, perlu dibincangkan sama ada adat itu sah. Iaitu adat itu hendaklah sahih dan tidak bercanggah dengan nas undang-undang seperti disebut dalam kitab Abdul Rahim "Muhammadan Jurisprudence" m.s. 137. Dia menunjukkan tidak terdapat dalam Al-Quran atau dalam kitab-kitab penulis yang terkemuka mengenai perkara itu yang disebutkan olehnya (Tuan Hakim Ameer Ali, Hakim Abdul Rahim, Nawawi dan Tyabji), prinsip yang dikemukakan itu disebut atau di-akui. Lagipun ulama yang disebutkan oleh Kadhi Besar, Abdul Rahman, tidak dirujukkan mana-mana oleh penulis-penulis di dalam kitab mereka. Kitabnya tidak didapati antara empat kitab yang diangap sebagai authoriti dalam mazhab Shafii oleh Hakim Ameer Ali — 'Introduction', m.s. 1 — dan tidak pula termasuk dalam senarai empat belas authoriti yang diberi oleh Tyabji, m.s. 83. Lagipun kedua-dua tuan Kadhi yang arif menyebut bahawa dalam pengetahuan mereka prinsip ini (harta syarikat) tidak pernah diakui oleh mana-mana mahkamah dan ia tidak akan diterima oleh Pemungut Hasil Tanah (saya anggap mengikut seksyen 37(i) Enakmen Tanah 1911).

Cubalah kita perhatikan sama ada terdapat keputusan yang dilaporkan tentang perkara ini. Dalam kes Awee v Ibrahim (1916) 1 FMSLR 274 terdapat tajuk-kes seperti berikut:

"Enakmen Mahkamah 1918 — Bidangkuasa Mahkamah Agong dalam perkara-perkara yang ditetapkan oleh undang-undang Islam (harta syarikat)."

Yang menuntut adalah janda kepada yang dituntut. Mereka berkahwin dalam tahun 1908 dan empat tahun kemudian mereka meminjam $115 dan telah membeli sekeping tanah yang didaftarkan atas nama yang dituntut. Tanah itu ditanam dengan getah dan dalam tahun 1912 tanah itu dinilai dengan harga $1,200. Dalam tahun 1916 yang dituntut telah mencerai yang menuntut dan kemudiannya yang menuntut telah membuat tuntutan di bawah undang-undang Islam dan adat tempatan, bahawa ia berhak mendapat ½ bahagian tanah tersebut. Yang Ariff Ketua Pesuruhjaya Kehakiman telah menolak tuntutan itu dengan hujjah bahawa Mahkamah Agong tidak mempunyai bidang-kuasa, oleh kerana hak Baginda Sultan memberi kuasa kepada Kadhi-Kadhi dan penolong-penolong Kadhi dalam perkara-perkara penceraian mengikut undang-undang Islam telah diiktiraf oleh seksyen 61 (sekarang seksyen 65) Enakmen Mahkamah-Mahkamah. Kes yang kemudian yang dilaporkan ialah kes Haji Ramah v Alpha (1924) 4 FMSLR 179. Yang menuntut, seorang janda dan pentadbir harta pesaka Haji Mahmud, menuntut, bahawa selain dari bahagiannya sebagai janda dari tanah simati, dia berhak mendapat ½ bahagian dari 2 keping tanah sebagai pampasan (upah) dengan alasan ia telah membantu bekas suaminya membuka dan bercucuk tanam di atas tanah itu. Tidak ada mas-alah bidangkuasa yang ditimbulkan dan peguam tidak hadir. Pesuruhjaya Kehakiman Reay memutuskan bahawa bidangkuasa diberi oleh seksyen 49 Enakmen Mahkamah-Mahkamah dan dia memberi keputusan bagi pihak yang menuntut. Isu yang ketara dalam kes ini ialah perkara fakta, tentang perkhidmatan yang diberi oleh yang menuntut. Pesuruhjaya Kehakiman yang ariff memberi pandangan katanya:
"Pihak-pihak yang berkenaan dalam kes ini secara jelas mahukan saya mengikut kaedah undang-undang Islam. Ke-terangan yang ada pada saya mengenai kaedah itu hanya dari Kadhi Besar. Ia menyebut bahawa jika seorang isteri menolong suaminya untuk membersih atau menanam ataupun bercucuk tanam di atas tanah itu, ia berhak mendapat pampasan (upah); tidak ada bezanya bagaimana sisuami memperolehi tanah tersebut; seorang janda boleh menuntut satu bahagian dari tanah sebagai ganti bayaran duit pampasan (upah); dan bahagian itu hendaklah diberi kepadanya atas budibicara Mahkamah. Dalam jawapan kepada soalan saya, ia menyebut bahawa 'Setiap isteri orang Melayu dalam negeri ini yang menolong suaminya menanam padi adalah berhak dibayar sekira ia menuntut. Kebiasaan mereka tidak menuntut.'

Dan ia menerangkan bahawa sekiranya isteri itu diceraikan, sisuami hendaklah membayar pampasan tetapi kalau sisuami meninggal dunia, tuntutan isteri itu ditujukan kepada harta pesaka peninggalannya. Kadhi Kuala Selangor menyebut bahawa yang menuntut telah membawa tuntutannya kepada Kadhi itu pada peringkat awal dan ia telah memberitahu yang menuntut bahawa ia tidak dapat membuat keputusan dan telah merujukkannya kepada Kadhi Besar. Dia menerangkan bahawa ia tidak pernah membicarakan tuntutan seperti ini dan ia mengaku bahawa itu adalah suatu tuntutan yang luarbiasa bagi seorang isteri."

Kes Negeri-negeri Selat, Tijah v Mat Ali (1886) 4 Ky 124, telah diputuskan dalam tahun 1886. Tuntutan yang dibuat kepada Mahkamah Tuntutan (Court of Requests) dinilaikan $50 dan dibawa oleh seorang isteri yang menuntut bahagian ½ dari hartabenda suami setelah bercerai tuntutan itu berasas kepada satu kaedah yang dikatakan ada mengikut undang-undang Islam dalam hal pendapatan bersama antara suami dan isteri. Telah diputuskan bahawa kes ini tidak termasuk di bawah Ordinan Perkahwinan Islam 1880 dan oleh kerana itu undang-undang Inggeris terpakai. Laporan itu terlalu ringkas dan harta syarikat secara khusus tidak disebut akan tetapi tidak syak lagi bahawa prinsip inilah yang dikemukakan.

Saya telah merujuk kepada dua kes yang dibicarakan di negeri Perak yang tidak terdapat dalam laporan kes-kes. Dalam Dakwaan Sivil No. 3 tahun 1916 yang menuntut adalah isteri kepada yang dituntut selama 23 tahun dan telah diceraikan dalam tahun 1915. Yang menuntut berkata bahawa pada masa perkahwinan, yang kenatuntut tidak mempunyai harta benda dan pada masa itu yang menuntut adalah seorang janda dan bekerja berniaga sebagai penjual perkakas emas. Selepas perkahwinan kedua pihak telah hidup bersama dan meneruskan pekerjaan menjual perkakas emas. Hasil pekerjaan itu yang menjadi keuntungan bersama telah dilaburkan dalam pembelian tanah yang didaftarkan atas nama yang kenatuntut. Tuntutan itu seterusnya adalah —
"Mengikut undang-undang Islam seperti yang ditetapkan oleh Baginda Sultan, bahawa yang menuntut berhak mendapat 1/3 daripada harta tersebut, lihat perenggan 7 dalam minit Majlis Negeri bertarikh 18hb Januari 1907."

Perkara itu kemudiannya dirujukkan kepada Raja Chulan pada masa itu Penolong Pendaftar untuk pemeriksaan dan laporannya. Pakar rujuk yang ariff itu dalam keputusannya mengikut ketetapan Majlis Negeri Perak, yang mana Kadhi Besar sebutkan adalah suatu adat lama yang dihidupkan kembali dan berasas kepada undang-undang Islam. Pakar rujuk menambah:

"Undang-undang syarikat Islam seperti yang terdapat di Kedah dan Negeri-Negeri Melayu bahagian Pantai Timur tidak diikuti sepenuhnya oleh mahkamah-mahkamah di Perak oleh kerana adanya ketetapan Majlis tersebut yang dilampirkan salinannya."

Minit Majlis adalah seperti berikut (Gazette Kerajaan Perak 5hb April 1907 m.s. 241):
"Majlis ini mengisytiharkan dan mengarah supaya direkodkan bahawa Adat Orang-Orang Melayu Negeri Perak tentang pembahagian harta benda selepas penceraian apabila harta itu diperolehi oleh kedua-dua belah pihak atau salah seorang daripada kedua mereka dalam masa perkahwinan ia hendaklah dibahagi dua bahagian kepada sisuami dan satu bahagian kepada siisteri dan pemberian antara suami-isteri adalah tidak boleh ditarikbalik sama ada dalam masa perkahwinan atau selepas perceraian. Majlis ini juga telah melahirkan keinginannya supaya mahkamah dapat memanggil Kadhi-Kadhi sebagai penasihat dalam prinsip-prinsip kes yang seperti ini."

Kes yang seterusnya ialah Dakwaan Sivil No. 337, tahun 1925. Yang menuntut seorang isteri yang telah diceraikan, telah membuat tuntutan ke atas bekas suaminya untuk mendapat 1/3 bahagian daripada harta yang diperolehi daripada pendapatan bersama. Perkara ini, dengan persetujuan dua-dua pihak telah dirujukkan kepada orang yang sama (Raja Chulan) yang telah bergelar Raja di Hilir Perak, C.M.G. dan seorang anggota Majlis Persekutuan, untuk peperiksaan dan lapuran. Pakar rujuk dalam keputusannya telah merujuk kepada Minit Majlis 1907. Ia membenarkan tuntutan yang menuntut dengan kadar 1/3 daripada harta tanah yang dimiliki mengikut kaedah itu dan dia telah lampirkan minit yang ditulis olehnya tentang prinsip harta sepencarian, perkataan yang dia pilih gunakan. Saya berikan petikan daripada minit dalam K.K.D. 28/22 bertarikh 2hb Jun 1922 yang memberi penjelasan dalam masalah yang ada di hadapan saya:

"Harta sepencarian atau syarikat pada masa yang lepas difahami oleh orang-orang Melayu Perak sebagai dua perkara yang sama hanya berbeza yang pertama dalam Bahasa Melayu dan yang satu lagi dalam Bahasa Arab.
(2) * * *
(3) * * *
(4) Semenjak mangkat Sultan Idris, para ulama memutuskan bahawa harta sepencarian bukanlah suatu yang sama dengan syarikat, kerana syarikat ialah suatu perkataan Arab yang membawa makna 'perkongsian' dan oleh kerana itu harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan tidak boleh dipanggil syarikat, kecuali terdapat ada perjanjian sama ada bertulis atau secara lisan.
(5) Ekurannya timbullah soalan bagaimana harta sepencarian ditentukan dan mengikut undang-undang mana, dalam perkara pembahagian hartabenda selepas penceraian.
(6) Para ulama berpendapat mengikut undang-undang Islam seorang isteri berhak menuntut bahagian atas usaha yang dilaksanakan olehnya dalam masa perkahwinan, bukan saja dalam menolong suaminya di luar rumah dan kerja rumah, akan tetapi juga dalam memberi susu kepada anak-anak yang lahir dari perkahwinan itu, jika ada.
(7) Mungkin adalah menjadi kesukaran bagi seorang perempuan yang diceraikan untuk memberi butir-butir tuntutan walaupun masa perkakwinannya itu singkat, katakan 2 tahun.
(8) Tetapi kesukaran itu diatasi oleh undang-undang Islam yang menetapkan bahawa Raja mempunyai budibicara untuk mengenakan undang-undang Allah yang tertentu. Dengan sebab ini dan untuk menyelesaikan masalah serta perbelanjaan dalam perbicaraan tuntutan yang dibuat oleh perempuan tersebut, adat sepencarian dibenarkan oleh undang-undang Islam apabila dikuat-kuasakan oleh Raja bagi sebuah negeri.
(9) Dalam hal ini saya sertakan untuk pengtahuan tuan satu peraturan yang dibuat oleh Al-Marhum Sultan Idris dalam Majlis mengenai harta sepencarian atau harta yang di perolehi bersama-sama semasa tempoh perkahwinan serta cara pembahagiannya.
(10) Meskipun di kebanyakan negeri-negeri Islam sebelah timur dari India, pembahagian harta itu dibuat secara sama banyak, Almarhum Sultan Idris berhujjah bahawa seorang lekaki secara umumnya bekerja lebih kuat daripada seorang perempuan dan patut mendapat bahagian lebih atas sumbangannya itu. Dari itu diputuskan dalam Majlis bahawa pembahagian hendaklah 2/3 untuk lelaki dan 1/3 untuk perempuan.
(11) Oleh kerana peraturan Majlis itu tidak dimansuhkan oleh Sultan yang ada, saya berpendapat arahan tersebut masih berjalan kuatkuasanya kecuali jika perlu di sisi undang-undang Sultan memperkukuhkan peraturan yang dibuat oleh ayahandanya.
(12) Satu perkara yang harus diperhatikan bahawa Almarhum Sultan Idris tidak menyebut tentang tuntutan harta sepencarian selepas kematian mana-mana pihak, dan perempuan, mengikut undang-undang yang ada, hanya mendapat apa yang dia berhak mendapat dibawah undang-undang pusaka; kalau suaminya meninggal dan kehilangan tuntutannya kepada apa yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan.
(13) * * *
(14) * * *"

Sekianlah mengenai kes-kes tempatan.

Saya merujuk kemudiannya kepada satu buku yang masyor "The Achehnes" karangan Dr. C. Snouck Hungronje. Beliau berkata pada m.s. 365:

"Di daerah-daerah dimana sudah menjadi adat kebiasaan yang seorang isteri menolong suaminya dalam pekerjaan, harta yang terkumpul dalam tempoh perkahwinan dengan daya usaha mereka dibahagi apabila berlaku perceraian sama rata antara kedua-dua mereka atau ahli waris masing-masing.

Apabila salah seorang daripada kedua mereka meninggal dunia, pihak yang masih hidup berhak mendapat di samping ½ bahagian ini, bahagiannya yang sah dari bahagian yang separuh lagi yang dianggap sebagai harta pesaka. Justeru itu didapati di Acheh suatu keadaan yang sama seperti terdapat di Java, Madura dan kebanyakan negeri-negeri Melayu iaitu di mana isteri adalah kawan kerja bagi suami, secara sedikit demi sedikit telah wujud sejenis perkongsian antara kedua mereka."

Mr. R.J. Wilkinson juga dalam "Papers on Malay Subjects" m.s. 54 menyebut seperti berikut —
"Kawalan Islam atas penceraian terburu-buru ialah mahr. Kawalan di Indonesia yang lama adalah apa yang digelarkan sebagai syarikat.

Di daerah-daerah dimana kadar mas kahwin itu ditentukan mengikut adat kita dapati bahawa seorang isteri yang diceraikan atau seorang janda mempunyai hak menuntut ke atas hartabenda suaminya sebanyak 1/3 daripada pendapatan yang diperolehi sama.

Sebenarnya, adat Melayu dahulu itu telah memberi kepada wanita kedudukan yang lebih baik daripada yang ia perolehi dari pemikiran Islam."

Pada pendapat saya adalah jelas daripada bahan-bahan yang saya kumpulkan di atas bahawa ada terdapat — di sabahagian negeri-negeri Melayu — kaedah undang-undang yang menyokong prinsip yang dihuj-jahkan oleh Mr. Bailey. Saya menggunakan perkataan undang-undang bukannya adat kerana berdasarkan keterangan ternampak kepada saya bahawa prinsip itu ada, jika dia ada, bukan di tempat-tempat berhampiran atau tempatan tertentu, akan tetapi terdapat di keseluruhan negeri dan dikatakan bahawa ianya terpakai bukan kepada orang-orang tertentu sahaja akan tetapi kepada semua anggota masyarakat — iaitu semua orang-orang Melayu Islam yang tertakluk kepada undang-undang Negeri. Jikalau menggunakan contoh dalam bahasa Inggeris "Satu-satu kebiasan tidak boleh diperluaskan kepada seluruh pelusuk negeri dan tidak boleh diterima oleh setiap anggota masyarakat, kerana jika demikian ia akan membawa kepada Undang-Undang Am Negara (Common Law)." (10 Halsbury ms 219). Sekiranya prinsip ini telah menjadi sebahagian daripada undang-undang awam di negeri-negeri Melayu di kawasan Timur Jauh dan sekiranya Kadhi-Kadhi, sebagai pakar dalam bidang ini, telah memberi pengakuan kepadanya sebagai satu undang-undang yang baik, adalah tidak bijak untuk menyatakan bahawa undang-undang ini tidak menepati kehendak perkataan lahir dari Al-Quran dan oleh kerana itu adalah tidak sah — atau menyatakan ia bukan undang-undang oleh kerana dia tidak disebut di dalam kitab-kitab rujukan, terbanyaknya oleh ahli undang-undang dari India, yang terdapat di Perpustakaan Mahkamah ini. Tidak syak lagi ianya menjadi undang-undang dalam beberapa tempat. Hurgronje menyebut ia adalah menjadi undang-undang di Acheh. Raja di Hilir menyebut tentang prinsip "seperti yang terdapat di Negeri Kedah dan negeri-negeri pantai timur Semananjung." Beliau juga menyebut di dalam para 12 dalam minit yang dirujukan di atas berkata tentang undang-undang Negeri Perak

"perempuan, mengikut undang-undang yang ada, hanya mendapat apa yang dia berhak mendapat dibawah undang-undang pusaka; kalau suaminya meninggal dan kehilangan tuntutannya kepada apa yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan."

Juga dalam para 8 ia menyebut:

"Adat sepencarian dibenarkan oleh undang-undang Islam apabila dikuatkuasakan oleh Raja bagi sebuah negeri."
Sayugia diperhatikan bahawa Yang Mulia Raja di Hilir selaku salah seorang anggota kerabat Raja yang memerintah Negeri Perak telah memutuskan atas sebab-sebab yang diberi bahawa tuntutan harta sepencarian tidak dilayan bagi pihak yang masih hidup pada masa kematian suami atau isterinya di dalam negeri itu. Saya tidak dapati satu keterangan rasmi di Selangor tentang hak janda atau duda untuk mendapat harta sepencarian. Hak kedua belah pihak apabila bercerai diberi perhatian oleh Majlis Undang-Undang Negeri dalam tahun 1924, di mana diperuntukkan bahawa Kadhi-Kadhi hendaklah menjalankan kuasa sehingga $500 dan Kadhi Besar mempunyai kuasa yang tidak terhad.

Kadhi Ulu Langat apabila memberi keterangan di hadapan saya sebagai seorang pakar dalam undang-undang Islam dan bercakap tentang hak-hak waris yang masih hidup, telah berkata —

"Satu undang-undang patut diluluskan untuk menjadikan harta syarikat sebagai undang-undang di sini. Ianya tidak dilaksanakan di sini."

Akan tetapi apabila keterangan setiap Kadhi yang ariff itu dibaca secara keseluruhan, seperti yang seharusnya dibuat, adalah jelas bahawa saksi-saksi tersebut ingin memberitahu mahkamah bahawa prinsip harta sepencarian adalah sebahagian daripada undang-undang Islam yang berkuatkuasa di Negeri Selangor. Mereka bersetuju bahawa tuntutan seperti ini biasanya jarang dibawa oleh seorang janda akan tetapi mereka tidak ragu-ragu bahawa tuntutan seperti itu memang ada. Apabila mereka menyebut bahawa undang-undang ini tidak dilaksanakan dalam negeri ini, mereka bermaksud bahawa prinsip itu tidak disusun dalam satu undang-undang bertulis dan kerana itu ianya tidak diiktiraf oleh pemungut-pemungut hasil tanah. Ataupun mereka boleh jadi menganggapkan bahawa prinsip itu adalah bercanggah dengan Enakmen Pendaftaran Hakmilek (Registration of Titles Enactment). Kalau ini yang mereka maksudkan saya percaya mereka itu tersalah. Sebenarnya tidak ada percanggahan yang penting, akan tetapi hak seorang yang menuntut adalah semestinya tertakluk kepada peruntukan dalam Enakmen tersebut. Saya juga tidak terfikir bahawa boleh terdapat apa-apa dari pengakuan mereka bahawa mereka tidak mengambil kira prinsip ini dalam pemberian sijil pembahagian harta simati. Dalam hal kematian, pihak yang masih hidup boleh memajukan satu tuntutan, terhadap harta tanah atau harta diri, ke atas harta pesaka yang mesti diputuskannya sebelum boleh diketahui apa harta yang ada untuk dibahagikan. Isu seperti ini adalah saya kata dengan hormatnya di luar bidangkuasa seorang Kadhi. Ianya harus diputuskan oleh mahkamah yang sesuai. Saya dapat menyatakan bahawa saya menemui kesukaran untuk mengikuti sebab-sebab yang diberi oleh Yang Arif Ketua Pesuruhjaya Kehakiman dalam kes yang dilaporkan dalam 1 FMSLR ms 274. (1916) 1 FMSLR 274. Laporan itu terlalu pendek. Ada kemungkinan isu yang sebenar tidak dibawa ke hadapan mahkamah secara yang sepatutnya. Sekiranya keputusan itu dibaca dengan pengertian bahawa perkara sarahidup yang dituntut oleh scorang janda adalah dalam lingkungan bidangkuasa seorang Kadhi dan bukannya dalam lingkungan bidangkuasa mahkamah, saya yakin bahawa keputusan itu tidak boleh dipersoalkan. Sebaliknya jika ia memutuskan bahawa perkara harta syarikat dalam makna yang luas tidak boleh dibicarakan oleh Mahkamah Sivil saya mengaku saya lebih cenderung kepada alasan Reay P.K. dalam kes Haji Ramah v Alpha (1924) 4 FMSLR 179. Mungkin Badan Perundangan dapat menimbangkan ada baiknya untuk mengisytiharkan dan mengkanunkan undang-undang tersebut bagi Persekutuan seluruhnya atau untuk beberapa negeri di dalam Persekutuan.

Kembali kepada kes untuk diputuskan, saya berpendapat bahawa yang menuntut membuat tuntutan bahawa semua harta almarhum adalah harta syarikat. Keterangan di dalam kes ini menunjukkan bahawa prinsip ini hanya terpakai kepada tanah. Pada pendapat saya keputusan yang wajar ialah bahawa yang menuntut adalah berhak mendapat ½ daripada nilai harta takalih bagi almarhum pada masa kematiannya sebagai harta syarikat. Hak ini tertakluk kepada hak-hak pihak ketiga di bawah Enakmen Pendaftaran Tanah dan Enakmen Tanah dan tidak mengganggu kepada haknya sebagai seorang balu dalam baki harta pesaka itu.

Belanja kedua-dua belah pihak dibayar daripada harta si mati: Bentuk keputusan boleh diselesaikan dalam Kamar Hakim jika perlu.

Pihak kenatuntut telah merayu ke Mahkamah Rayuan.

MAHKAMAH RAYUAN.

Freeman bagi pihak merayu.
Bailey bagi pihak menentang.

Acton H

Saya telah berpeluang membaca keputusan Hakim Thorne dalam rayuan ini. Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan beliau.

Thorne H

Yang merayu dalam kes ini seorang balu dan pentadbir harta pesaka almarhum Mat Nawi bin Suroh.
Yang menentang ialah seorang balu lain kepada almarhum dan dia telah membuat tuntutan terhadap yang merayu selaku pentadbir untuk mendapat satu pengisytiharan bahawa semua harta beralih dan takalih almarhum pada masa kematiannya adalah harta syarikat mengikut mazhab Shafii dalam undang-undang Islam dan dia berhak mendapat ½ bahagian dari harta tersebut. Yang Ariff Hakim Besar telahpun memberi keputusan kepada pihak menentang rayuan dengan mengisytiharkan bahawa semua harta yang takalih bagi almarhum yang ada pada masa kematiannya adalah harta syarikat dan oleh kerana itu yang menentang rayuan berhak mendapat ½ bahagian tertakluk kepada hak-hak orang ketiga dan juga mengisytiharkan bahawa pihak menentang rayuan berhak mendapat bahagian daripada harta almarhum sebagai seorang balunya mengikut undang-undang Islam. Yang merayu telah membuat rayuan atas keputusan ini. Isu terbesar dalam kes ini ialah sama ada prinsip undang-undang Islam, yang dikenali sebagai Harta Syarikat, terpakai di dalam kes ini dan jika demikian sama ada di dalam keadaan-keadaan kes ini, pihak menentang rayuan berhak mendapat pengisytiharan yang dituntut.
Pada masa perbicaraan, saksi-saksi telahpun dipanggil untuk membuktikan undang-undang Islam dan secara khusus, Kadhi Ulu Langat, Haji Abdul Hamid dan Kadhi Besar Selangor, Raja Haji Osman. Tidak seorang daripada mereka berdua dapat melahirkan pendapat peribadi yang kukuh tentang undang-undang Islam, tapi kedua-dua memetik potongan daripada kitab-kitab undang-undang Islam dan mereka menyebutkan apa di dalam pendapat mereka ialah undang-undang Islam di dalam perkara itu seperti yang terdapat dari kitab-kitab itu. Perkara yang dipersoalkan bukanlah, di dalam pandangan saya, satu soal undang-undang asing, akan tetapi ianya, di dalam keadaan yang telah berlaku, apa dia hak-hak pihak menuntut dalam hartabenda bekas suaminya mengikut undang-undang negeri ini. Undang-undang tempatan adalah suatu perkara yang mesti diberi pengiktirafan kehakiman. Mahkamah hendaklah menerangkan undang-undang itu, dan tidaklah boleh mahkamah membenarkan keterangan diberi untuk menunjukkan apakah dia undang-undang tempatan itu.

Sekiranya saya tersilap dan persoalannya adalah mengenai pada asasnya persoalan undang-undang asing, maka kitab-kitab yang saya sebutkan itu tidak menjadi keterangan yang seharusnya di dalam kes ini oleh kerana kitab tersebut tidak mematuhi peruntukan-peruntukan seksyen 38, Enakmen Keterangan.

Oleh yang demikian kitab-kitab tersebut dan keterangan lisan oleh saksi-saksi yang membuat petikan daripada kitab-kitab itu telah salah diterima. Apabila rayuan ini didengar, Mr. Freeman bagi pihak yang merayu membawa perhatian kita kepada dua kes tempatan. Yang pertama ialah kes Awee binti Ujang v Ibrahim bin Jamal (1916) 1 FMSLR 274. Laporan kes ini amat ringkas. Hakim perbicaraan ialah mendiang Sir Thomas Braddell yang membuat keputusan bahawa Mahkamah Agong tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan satu tuntutan dari seorang janda ke atas bekas suami pada masa hidup suami itu bagi mendapatkan ½ kadar tanah yang dibeli oleh pihak-pihak tersebut dan diusahakan tanamannya pada masa perkahwinan mereka. Hakim yang Arif dalam kes itu telah merujuk kepada seksyen 61, Enakmen Mahkamah 1905, akan tetapi dengan penuh penghormatan kepada pandangan yang Ariff Hakim Besar itu, ternyata kepada saya seksyen 61 Enakmen Mahkamah menetapkan bidangkuasa kadhi dan naib kadhi, akan tetapi ia tidak mengenepikan bidangkuasa Mahkamah Agong dalam kes yang seperti itu, seperti mana juga seksyen 53 Enakmen tersebut yang menetapkan bidangkuasa Majistret, tidak menjejaskan bidangkuasa Mahkamah Pesuruhjaya Kehakiman. Seksyen 65, Enakmen Mahkamah No. 14, 1918 adalah tepat sama dengan seksyen lama 61 itu.

Kes lain ialah Haji Ramah binti Mat Darus v Alpha binti Osman (1924) 4 FMSLR 179. Ini adalah suatu tindakan yang dibawa oleh pihak yang menuntut, seorang balu dan pentadbir bagi pesaka almarhum suaminya untuk mendapat pampasan (upah) atas alasan bahawa ia telah memberi pertolongan kepada almarhum suaminya untuk membuka clan bercucuk tanam atas beberapa bahagian tanah itu. Yang Arif Hakim perbicaraan kes itu, Reay H., memutuskan bahawa Mahkamah Agong ada bidangkuasa memutuskan tuntutan tersebut dan dalam perkara ini saya bersetuju dengan keputusannya. Saya tidak berpeluang untuk merujuk kepada catitan penuh kes tersebut, akan tetapi adalah jelas daripada laporan tersebut di muka surat 180, bahawa hakim yang arif menerima keterangan Kadhi Besar mengenai kaedah undang-undang Islam, yang terpakai di dalam kes itu. Pada hemat saya dalam perkara ini hakim yang arif telah silap oleh kerana dia telah menerima keterangan lisan mengenai undang-undang negeri yang mana pada pandangan saya adalah tidak betul. Tuntutan pihak menuntut ialah untuk mendapat pampasan dan telah dibuat terhadap harta pesaka almarhum bekas suaminya dan saya sangat meragui sama ada tuntutan sedemikian boleh dibuat mengikut undang-undang Islam. Perkara ini tidak dibincangkan di hadapan saya dengan secukupnya sama ada dalam kes ini maupun dalam kes lain untuk membolehkan saya memberi satu-satu pandangan yang jelas dalam perkara tersebut, akan tetapi apa yang saya faham ialah bahawa kaedah undang-undang Islam yang biasanya disebut sebagai Harta Syarikat, akan tetapi yang saya percaya, lebih sesuai dinamakan sebagai Harta Sepencarian, adalah satu kaedah undang-undang yang terpakai hanya dalam kes di mana seorang isteri yang diceraikan menuntut ke atas suaminya semasa suaminya masih hidup dan lebih tepat lagi pada masa penceraian, atas usaha yang telah ia sumbangkannya dalam tempoh perkahwinan, dan jika tuntutan ini tidak dibuat semasa hidup suaminya, hak isteri itu akan hilang. Fahaman saya ialah tuntutan seorang balu Islam untuk mendapat bahagian dalam harta pesaka almarhuni bekas suaminya adalah dihadkan kepada bahagian warisan dari harta pesaka bekas suami itu yang dinamakan "Pesaka".

Atas sebab-sebab ini saya amat ragu, walaupun saya tidak mahu membuat keputusan yang tepat dalam perkara ini, sama ada seorang balu itu berhak mendapat satu bahagian yang lebih besar dari harta pesaka almarhum bekas suaminya lebih dari haknya sebagai "Pesaka".

Dengan penuh penghormatan kepada Hakim perbicaraan yang arif saya berpendapat rayuan ini hendaklah dibenarkan dan keputusannya dibatalkan. Berikutnya ialah persoalan apakah yang patut dibuat. Bagi pihak saya sungguhpun saya diminta memutuskan soalan undang-undang Islam yang timbul dari masa kesemasa saya tidak mendakwa mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam undang-undang Islam dan jika kes ini dihantarkan untuk dibicara semula sebagaimana yang sepatutnya, hakim perbicara anakan menghadapi kesulitan yang sama seperti yang telah dirasai oleh Hakim Besar yang arif yang berakhir dengan memberi kebenaran untuk mendengar keterangan pakar-pakar dalam undang-undang Islam. Apa yang terfikir kepada saya ialah kes ini harus dihantarkan untuk dibicarakan semula dan saya cadangkan kepada hakim perbicaraan yang arif bahawa langkah yang baik baginya ialah merujukkan kes itu kepada pakar rujuk khusus di bawah peruntukan-peruntukan seksyen 14 Enakmen Timbangtara. Dengan berbuat demikian pada hemat saya, semua persoalan yang timbul dari surat-surat guaman dalam kes ini haruslah dirujukkan dan pakar rujuk dijemput melaporkan masalah yang berkaitan dengan keseluruhan kes tanpa terikat dengan mana-mana keputusan-keputusan yang dibuat oleh hakim pembicaraan atau Mahkamah ini. Keterangan yang mana tidak diputuskan oleh mahkamah ini telah diterima secara tersilap ada baiknya dengan persetujuan semua pihak yang terlibat digunakan di hadapan pakar rujuk, akan tetapi kedua-dua belah pihak hendaklah bebas memanggil semula mana-mana saksi, memeriksa balas mana-mana saksi dan mengemukakan apa-apa keterangan baharu di hadapan pakar rujuk mengikut kemahuan pihak itu.

Mungkin tidak keterlaluan jika saya melahirkan pandangan saya bahawa masa telah sampai supaya pandangan kerajaan di bawa kepada kedudukan undang-undang yang ada yang melibatkan orang-orang Islam dalam negeri-negeri Melayu Bersekutu. Undang-undang Islam adalah berbeza dalam negeri-negeri di Persekutuan dan dalam setengah-setengah perkara di setengah daerah negeri ia telah dibezakan dengan adanya adat-adat tempatan yang berkuatkuasa sebagai undang-undang dan oleh kerana itu tidak wajar mengadakan Enakmen Persekutuan yang dikenakan kepada semua negeri-negeri di dalam Persekutuan itu.

Sungguhpun begitu, pada hemat saya, Enakmen-enakmen Negeri ada baiknya diluluskan untuk menyelesaikan masalah-masalah hak semua pihak selepas perceraian dan sebagai hak warisan kepada harta benda almarhum yang tidak membuat wasiat seperti yang biasanya berlaku dan memberikan kuasa kepada mahkamah-mahkamah untuk mengambil keterangan dalam kes-kes yang rumit yang tidak diperuntukkan di dalam enakmen itu mengenai undang-undang yang seharusnya dikenakan. Sungguhpun saya telah memutuskan bahawa Mahkamah Agong mempunyai bidangkuasa memutuskan kes-kes seperti itu pada masa sekarang, soalnya timbul sama ada Mahkamah Agong adalah mahkamah yang tepat untuk menyelesaikan kes-kes ini dan sama ada tidak lebih selaras dengan pandangan mereka yang berugama Islam supaya Baginda Sulian dalam Majlis di tiap-tiap negeri harus mengadakan mahkamah khas untuk menyelesaikan kes-kes seperti itu dengan memberi hak rayuan kepada Baginda Sultan dalam Majlis bagi setiap kes; dan seharusnya bidangkuasa Mahkamah Agong dan Mahkamah Rayuan disingkirkan oleh enakmen itu.

Rayuan ini mestilah berjaya dengan pembayaran perbelanjaan dan ketetapan Hakim yang arif hendaklah dibatalkan, kecuali tentang arahan pembayaran perbelanjaan semua pihak perbicaraan di hadapan mahkamah di bawah ditentukan terhadap peguam dan anak guaman dan dibayar dari harta pesaka almarhum, yang mana arahan membayar akan diperkukuhkan. Kes ini akan dihantar kepada Hakim perbicaraan untuk dibicarakan semula.

Farrer-Manby H

Dalam perkara ini persoalan ialah sama ada prinsip Harta Syarikat harus dilaksanakan dalam Negeri ini.
Di mahkamah di bawah keterangan telah mempunyai dua bahagian, pertama, berhubung dengan fakta-fakta kes dan yang keduanya ialah berkenaan dengan nasihat kadhi-kadhi berhubung dengan prinsip ini dan kewujudannya di kalangan penganut-penganut tempatan ugama Islam.

Dalam Mahkamah Rayuan, soal permulaan yang dikemukakan oleh peguam pihak yang merayu bahawa walau apapun
diperkatakan bahagian terakhir keterang itu telah diterima secara tersilap memandangkan bahawa mahkamah sepatutnya mengarah diri mereka sendiri tanpa keterangan mengenai undang-undang di dalam bidang-kuasa mereka.

Selepas hujjah itu dibuat dan dijawab kemudiannya rakan-rakan saya yang arif telah memberi pandangan menyokong hujjah pihak yang merayu mengenai perkara ini dan kemudiannya peguam pihak menentang rayuan telah bersetuju kes ini dirujukkan kepada Hakim perbicaraan supaya rujukan dibuat kepada pakar rujuk khas di bawah Enakmen Timbangtara.

Dengan penuh penghormatan saya ingin melahirkan pendapat saya mengenai perkara ini. Setakat ini saya tidak bersetuju dengan majoriti Mahkamah. Saya berpendapat mahkamah adalah layak mengambil keterangan mengenai undang-undang Islam seperti juga dalam perkara-perkara adat berdasarkan sekurang-kurangnya kepada seksyen 57, Enakmen Keterangan. Ulasan Ameer Ali dalam kitabnya menunjukkan bahawa keterangan undang-undang Hindu di India adalah diterima di India.

Sungguhpun ada kemungkinan selepas mendengar keseluruhan perbicaraan rayuan, saya dapat memberi persetujuan akan tetapi buat masa ini saya berpendapat belum lagi dinyatakan bahawa mahkamah-mahkamah harus meninggalkan amalannya yang sudah teguh semenjak beberapa tahun yang silam dalam menerima keterangan tentang undang-undang Islam bukan hanya dalam kes-kes yang telah dipertikaikan bahkan juga di dalam pentadbiran harta benda orang-orang Islam boleh dikatakan pada setiap minggu, di mana terdapat amalan kadhi-kadhi memperakukan bahagian-bahagian yang wajar bagi mereka yang berhak dalam setiap kes.

1 comment:

Termizi said...

Tuntutan Harta Sepencarian tidak dianggap sebagai berlakunya suatu kontrak yang boleh diputuskan melalui Akta Kontrak 1950 kerana tidak ada suatu perjanjian bertulis yang membolehkannya dituntut di bawah undang-undang ini.

Dalam kes di atas, dalam menentukan hukum Syarak atau hukum adat, pada masa itu dibuat melalui keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri [iaitu sebelum ditubuhkan institusi Mufti secara rasmi dan kerana itu diperkenalkan Enakmen Penentuan Hukum Syarak bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu]. Berdasarkan kepada Minit Mesyuarat tersebut, yang dimaksudkan dengan harta syarikat ialah harta yang mempunyai perjanjian secara bertulis. Cuma, dalam kes ini mahkamah keliru sebenarnya apa yang dibangkitkan oleh Laton ialah harta sepencarian yang beliau namakan sebagai harta syarikat. Harta Syarikat dibincangkan secara khusus dalam kitab-kitab fiqh iaitu dalam bab muamalat dan harta sepencarian disentuh secara tidak langsung dalam fatwa-fatwa atau ijtihad ulama sebagai harta atau peralatan rumah yang dipertikaikan oleh suami isteri.