Nama Kes: Re Ismail Bin Rentah Si Mati Haji Hussain Bin Singah Lwn. Liah
Binti Lerong & 3 Yang Lain
Rujukan: [1939] 1 LNS 88; atau [1940] MLJ 98
Mahkamah: Mahkamah Tinggi, Negeri Sembilan
Hakim: Raja Musa A-G J.
Tarikh keputusan: 22 Disember 1939
Peguam: Kesemua pihak tidak diwakili.
Rujukan statut: - Enakmen Persatuan Koperasi (Cooperative Societies Enanctment)
Negeri Sembilan (Enakmen No. 7 tahun 1922)
- Akta Persatuan Persahabatan (Friendly Societies Act) England 1896
Rujukan kes: Arthur lwn. Bokesham 11 Mod m/s. 150
Queen lwn. Morris LR 1 CCR m/s. 150
Urquhart lwn. Butterfield [1887] 36 Ch D 55
Keputusan: Rayuan ditolak tanpa kos.
Fakta Kes:
Ismail Bin Rentah (“Si Mati”) adalah ahli Persatuan Koperasi Kredit Pekerja-pekerja Melayu Berhad (Malay Sevants’ Cooperative Credit Society Ltd.) Negeri Sembilan (“Persatuan”).
Mengikut peruntukan seksyen 22 Enakmen Persatuan Koperasi, Si Mati telah menamakan anak perempuannya (Maznah) sebagai penama untuk menerima saham atau apa-apa kepentingannya sebagai ahli persatuan setelah kematiannya.
Si Mati telah meninggal dunia pada 15 Julai 1937, meninggalkan keseluruhan harta bernilai RM519.42 termasuk nilai RM271.58 bagi sahamnya di dalam Persatuan.
Semasa kematiannya, berikut ialah senarai waris Si Mati:
- Ibu (Liah Binti Lerong)
- Isteri (Zainab Binti Mohamed Amin)
- Saudara Seibu Sebapa Lelaki (Suda Bin Rentah)
- Saudara Seibu Sebapa Perempuan (Jaharah Binti Rentah)
- Anak Perempuan Pertama (Maznah Binti Ismail)
- Anak Perempuan Kedua (Zainon Binti Ismail)
Penolong Pendaftar di Kuala Pilah telah memerintahkan supaya nilai RM271.58 dibahagikan di kalangan semua waris Si Mati mengikut kadar faraidh. Kes ini seterusnya dirayu ke mahkamah tinggi.
Isu Undang-undang:
Sama ada wang yang tersimpan di dalam Persatuan yang dimiliki oleh Si Mati menjadi milik mutlak penama sepenuhnya atau patut dibahagikan kepada waris-waris yang lain mengikut hukum pusaka Islam.
Alasan Penghakiman:
Undang-undang Islam terpakai ke atas orang Islam dan Melayu ditakrifkan sebagai beragama Islam. Oleh hal yang demikian, dokumen penamaan yang dirujuk oleh Enakmen Persatuan Koperasi hendaklah ditafsirkan berdasarkan undang-undang pusaka Islam.
Sekiranya penamaan ditafsirkan sebagai wasiat, ia adalah wasiat yang tidak boleh berkuatkuasa kerana ia melebihi kadar 1/3 yang mana ini boleh menjejaskan kepentingan waris-waris yang lain.
Dokumen penamaan tidak boleh ditafsirkan sebagai hadiah (hibah) kerana hibah berkuatkuasa serta merta sedangkan tujuan penamaan dalam enakmen tersebut tidak bermaksud sebegitu.
Oleh hal yang demikian, adalah lebih tepat bahawasanya kesemua wang yang terkumpul di dalam Persatuan menjadi harta pusaka Si Mati kepada waris-warisnya dan mestilah dibahagikan kepada semua ahli waris yang berhak mengikut hukum pusaka dalam Islam.
Inilah common law bagi orang Islam bagi kes harta peninggalan Si Mati dan perkara ini tidak disekat atau dibatasi oleh seksyen 22 Enakmen Persatuan Koperasi tersebut.
Perkataan ‘penama’ yang digunakan dalam enakmen tersebut bermaksud melantik seseorang bagi menguruskan harta peninggalan Si Mati tetapi bukan bermaksud menyerahkan kesemua harta peninggalan Si Mati seluruhnya kepada penama tersebut. Penama di sini lebih tepat dikenali sebagai penjaga amanah bagi harta Si Mati bagi kepentingan semua waris Si Mati.
Analisis Dan Komen:
Penulis bersetuju dengan penghakiman dalam kes di atas. Keputusan ini adalah selaras dengan fatwa berhubung dengan konsep penamaan mengikut undang-undang Islam di Negara kita. Contoh konsep penamaan yang digunapakai pada hari ini ialah bagi wang simpanan yang terkumpul di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, syarikat-syarikat insurans, dan sebagainya. Ringkasan hukumnya mengikut hukum pusaka dalam Islam ialah, penama tadi dikategorikan sebagai wasi atau pelaksana (executor) dan bukan pemilik mutlak bagi harta peninggalan si mati.
Sebagai contoh, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 20 September 1973 dan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada 19 September 2000, memutuskan bahawa penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta dan penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraidh.
Malangnya sesetengah penama tidak menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya oleh pihak yang menamakannya. Mereka mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri; waris-waris yang berhak menerima harta si mati seperti dilupakan begitu sahaja. Hal ini berlaku mungkin kerana kejahilan penama itu sendiri atau memang sifat penama tersebut yang tidak amanah.
Keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim dalam kes di atas adalah jauh lebih terdahulu daripada keputusan yang dibuat oleh para mufti. Penulis amat kagum dengan pendekatan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim yang cuba membuat penafsirannya sendiri bersandarkan semangat Islam walaupun Yang Arif Hakim tidak dibantu oleh mana-mana peguam (kerana semua pihak tidak diwakili) dan tidak juga dibantu oleh saksi pakar (expert witnesses) kerana tiada saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan.
Apa yang dibuat oleh Yang Arif Hakim ialah cuba menggunakan ilmu kiyas, walaupun mungkin dalam ruang lingkup bersandarkan undang-undang Inggeris (kerana Yang Arif Hakim ada merujuk pada undang-undang di England dan beberapa kes di barat), tetapi bersandarkan semangat undang-undang tempatan akhirnya menafsirkan undang-undang tempatan hendaklah bersandarkan undang-undang Islam, dan selepas itu pula cuba memahami konsep wasiat dan hibah mengikut hukum pusaka Islam. Sikap dan semangat mesra Islam (Islamic friendly) sebeginilah yang sepatutnya ada pada pengamal undang-undang pada hari ini.
Sebagai cadangan bagi mengatasi kejahilan penama tentang tugasnya sebagai wasi, penulis berpendapat adalah amat perlu suatu perubahan atau pindaan dibuat pada dokumen-dokumen penamaan supaya ianya ditulis dengan jelas bahawa penama adalah wasi atau petadbir harta bagi si mati. Atau mungkin suatu pindaan undang-undang yang mewajibkan semua harta peninggalan si mati diserahkan terlebih dahulu kepada Amanah Raya Berhad (ARB) (seperti yang dipraktiskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekarang ini) dan ARB akan hanya mengeluarkan harta peninggalan si mati secara terus kepada waris-waris si mati mengikut perintah pembahagian oleh unit pesaka kecil di pejabat tanah atau oleh mahkamah tinggi (mengikut bidangkuasa masing-masing) atau sekurang-kurangnya mengikut sijil faraidh yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah. Penama hanyalah bertindak sebagai pemohon atau pempetisyen sebagaimana yang diamanahkan oleh si mati.
Kesedaran tentang tanggungjawab amanah ini kepada penama perlu dijana agar segala kekeliruan dan salah faham ini dapat diuraikan dan dijernihkan demi melahirkan generasi Muslim yang benar-benar mempraktikkan konsep amanah. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukuman antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”
No comments:
Post a Comment