Tuesday, September 14, 2010

Contoh Pengiraan Faraidh; Isteri Dalam Tempoh ‘Iddah

Ada yang bertanya kepada saya soalan berikut:

Ayah saya meninggal dunia dengan meninggalkan seorang isteri, lima (5) orang anak perempuan, dan empat (4) orang anak lelaki. Isteri arwah ayah saya adalah ibu tiri saya yang baru bercerai dengan arwah ayah saya tetapi masih dalam tempoh ‘iddah semasa ayah saya meninggal. Bagaimana pengiraan faraidh bagi harta pusaka peninggalan arwah ayah saya?

Jawapan:

Isteri yang diceraikan tetapi masih dalam tempoh ‘iddah masih layak menerima harta pusaka suaminya. Dalam contoh kes yang diberikan di atas, kadar untuk isteri ialah 1/8 kerana si mati ada meninggalkan anak.

Seterusnya baki harta simati iaitu 7/8 hendaklah dibahagi mengikut ta’sib antara anak perempuan (1 bahagian) dan anak lelaki (2 bahagian). Dalam contoh kes yang diberi, setelah dita’sibkan antara anak perempuan dan anak lelaki;

Bahagian anak perempuan = 5 orang x 1 bahagian
= 5/13

Bahagian anak lelaki = 4 orang x 2 bahagian
= 8/13

Setelah itu, hendaklah dicari pembawah yang sama. Dalam contoh di atas, pengiraan adalah sebagaimana dibawah:

Bahagian anak perempuan = 5/13 daripada 7/8 bahagian
= 35/104

Bahagian anak lelaki = 8/13 daripada 7/8 bahagian
= 56/104

Jadi, pembahagian akhir menjadi sebagaimana berikut:

Isteri = 13/104 dibesarkan daripada jumlah asal 1/8
Anak perempuan = 35/104 dibahagikan kepada 5 orang menjadikan setiap
orang mendapat 7/104
Anak lelaki = 56/104 dibahagikan kepada 4 orang menjadikan setiap
orang mendapat 14/104

Wallahu a’lam.

2 comments:

Mekar said...

Salam Sdra Termizi,

Mana datangnya nisbah 7/8 tu?

Termizi said...

Nisbah 7/8 tu datangnya daripada baki harta si mati yang telah ditolak bahagian isteri iaitu sebanyak 1/8. Dalam contoh kes di atas, baki harta si mati ialah 7/8 dan dibahagikan kepada 'asabah iaitu antara anak lelaki dan anak perempuan. Dalam mana-mana pengiraan faraidh, selalunya bahagian pasangan si mati akan dikira terlebih dahulu, lepas tu dikira juga bahagian waris-waris fardhu yang lain. Bahagian 'asabah hanya dikira hasil daripada baki setelah ditolak kesemua bahagian waris-waris fardhu.