Saturday, September 25, 2010

Kajian Kes: Syed Ibrahim Bin Omar Alsagoff & Satu Lagi lwn. Peguam Negara

Nama Kes: Syed Ibrahim Bin Omar Alsagoff & Satu Lagi lwn. Peguam Negara

Rujukan: [1947] 1 LNS 102; atau [1948] MLJ 155

Mahkamah: Mahkamah Tinggi, Singapura

Hakim: Jobling, J

Tarikh keputusan: 19 Disember 1947

Rujukan kes: 1. Santos lwn. Illidge 141 Eng Rep 1404

2. Buron lwn. Denman 154 Eng Rep 450

3. Madrazo lwn. Willes 3 B & Ald 353 Eng Rep 106

4. Luther lwn. Sagor [1921] 3 KB m/s. 558

5. Dynamit Actien Gesellschaft lwn. Rio Tinto Co. [1918] AC m/s. 299

6. Sayad Mir Ujmuddin Khan lwn. Zia-ul-Nissa Benam & Satu Lagi ILR 3

Bom 422

Rujukan statut: Aturan Mahkamah Tinggi, Singapura

Akta Penghapusan Perhambaan 1833

Akta India (Akta No.5 tahun 1843)

Ordinan Singapura 1880 (No. 26 pindaan tahun 1923)

Peguam: Laycock bagi pihak Plaintif

Butterfield bagi pihak Peguam Negara

Keputusan: Tuntutan Peguam Negara ditolak.

Fakta kes:

Plaintif memfailkan petisyen bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir (Letters of Administration) bagi harta peninggalan Salim Agha @ Salim Aga Alsagoff @ Haji Salim (Si Mati). Peguam Negara telah memfailkan kaveat tentang perkara ini.

Si Mati bermazhab Shafi’i telah meninggal dunia pada 1 Januari 1946, meninggalkan harta tetapi tidak meninggalkan waris. Si Mati telah menjadi hamba kepada bapa Plaintif. Plaintif mendakwa sebagai tuan hamba kepada Si Mati kerana mewarisi dari bapanya yang meninggal dunia pada tahun 1927.

Isu Undang-undang:

Apakah kedudukan mahkamah dalam menilai status perhambaan yang wujud di Singapura, dan sekiranya memang benar perhambaan itu diiktiraf, apakah status harta peninggalan hamba tersebut? Sama ada mahkamah tidak mengiktiraf perhambaan sebagaimana mahkamah di British atau undang-undang Islam terpakai kepada harta peninggalan orang-orang Islam?

Alasan Penghakiman:

Berdasarkan pindaan pada tahun 1923 terhadap Ordinan Singapura, undang-undang Islam terpakai bagi harta peninggalan si mati yang beragama Islam. Undang-undang ini telah memansuhkan undang-undang sebelum ini yang merujuk kepada Akta India yang menerima pakai status mahkamah di British yang tidak mengiktiraf kewujudan perhambaan.

Seterusnya berdasarkan kepada terjemahan daripada kitab Minhaj Et Talibin yang merupakan rujukan utama undang-undang Islam bagi mazhab Shafi’i, harta peninggalan seseorang hamba adalah menjadi milik tuannya selepas kematian hamba tersebut. Oleh hal yang demikian, harta Si Mati tidaklah menjadi harta kerajaan.

Analisis Dan Komen:

Mahkamah dalam kes ini telah mengiktiraf undang-undang pusaka Islam sebagai undang-undang yang terpakai di Singapura bagi harta peninggalan si mati yang beragama Islam.

Sesuatu yang menarik dalam kes ini juga ialah mahkamah telah pergi secara lebih terperinci dengan merumuskan bahawa undang-undang Islam yang terpakai di Singapura ialah undang-undang Islam bagi mazhab Shafi’i. Sebagai contohnya, mahkamah telah merujuk kepada terjemahan kitab Minhaj Et Talibin karangan Imam al-Nawawi dalam mendapatkan status hukum tentang harta peninggalan seseorang hamba yang beragama Islam.

Penulis bersetuju dengan pendekatan mahkamah yang merujuk kepada mazhab Shafi’i dalam memutuskan kes di atas berdasarkan fakta bahawasanya si mati bermazhab Shafi’i. Apa yang ingin penulis nyatakan di sini ialah, dalam memutuskan sesuatu kes berdasarkan perundangan Islam, mahkamah tidak sepatutnya hanya merujuk kepada hukum dalam mazhab Shafi’i semata-mata. Mahkamah hendaklah menilai fakta kes dan membuat keputusan berdasarkan keadilan kepada pihak-pihak yang terlibat dan memutuskan kes demi keadilan walaupun terpaksa berdasarkan kepada pandangan mazhab yang lain selain mazhab Shafi’i.

Sebagai contohnya, jika dalam kes wasiat kepada ahli waris, apa yang dikodifikasikan di Selangor dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 bukanlah mengikut pandangan mazhab Shafi’i. Sebaliknya penggubal undang-undang menerima mazhab yang lain iaitu pandangan mazhab Syi’ah Ithna ‘Asyariyyah, kerana mengikut enakmen tersebut, wasiat kepada ahli waris adalah sah sekiranya tidak melebihi daripada satu pertiga harta.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah tentang pendekatan mahkamah dan badan penggubal undang-undang yang sepatutnya melaksanakan sesuatu undang-undang itu selaras dengan pertimbangan sosial semasa.

Dalam kes wasiat kepada waris ini, penulis sendiri telah berdepan dengan keraguan yang dinyatakan oleh anak guam penulis tentang kesahihan wasiatnya kepada ahli waris berdasarkan pemahamannya mengikut mazhab Shafi’i. Walau bagaimanapun, peruntukan di dalam enakmen wasiat di Selangor tadi telah memberi keyakinan kepadanya untuk meneruskan hajatnya membuat dokumen wasiat kepada ahli warisnya.

Penulis berharap, apa yang berlaku di Selangor ini menjadi satu anjakan yang besar bagi mahkamah dan penggubal undang-undang pusaka Islam di Malaysia untuk juga menilai mazhab-mazhab yang lain yang lebih selari dengan kehendak sosial masyarakat hari ini.

Satu lagi isu yang menarik dalam kes ini ialah tentang isu kewujudan sistem perhambaan di Singapura sekurang-kurangnya sehingga tahun 1946 yang mana mahkamah telah mengiktiraf bahawa si mati dalam kes ini ialah seorang hamba. Walaupun sistem perhambaan sudah lama dipersetujui dibarat untuk dihapuskan hampir 100 tahun sebelumnya, faktanya di Singapura, sistem tersebut masih terus diamalkan sekurang-kurangnya sehingga tahun 1946 seperti terbukti dalam kes ini. Mungkin juga si mati dalam kes ini adalah lelaki hamba terakhir di dunia!

Wallahu a’lam…

No comments: