Antara perkara yang perlu difahami oleh bakal pembeli sebelum mereka membeli rumah secara subsale adalah tentang status hartanah yang hendak dibeli. Antara yang perlu dipastikan adalah perkara-perkara berikut:
1. Hartanah tersebut suda memiliki hakmilik individu/strata atau masih di bawah hakmilik induk (master title)
Perlu dilihat terlebih dahulu sama ada hartanah yang hendak dibeli sudah mempunyai hak milik individu/strata atau masih dibawah hak milik induk. Selalunya bagi rumah teres, semi-D, atau banglo, hak milik individu sudah dikeluarkan. Bagi rumah flat, apartmen, dan kondominium, perlu dilihat sama ada pihak berwajib sudah mengeluarkan hakmilik strata atau rumah tersebut masih di bawah hak milik induk.
Status hartanah ini begitu penting kerana prosedurnya adalah jauh berbeza. Jangkamasa pembelian juga adalah berbeza.
2. Hakmilik individu/strata sudah dipindahmilik kepada nama penjual atau masih di atas nama pemilik asal
Status ini juga perlu dipastikan supaya pembeli boleh betul-betul memahami prosedur pembelian. Jika hakmilik individu/strata sudahpun dipindahmilik atas nama penjual, proses penjualan dan pembelian hartanah akan menjadi mudah. Sebaliknya jika nama yang tertera atas hakmilik individu/strata masih atas nama tuan tanah asal atau pemaju, perlu pula dipastikan sama ada pindahmilik kepada pembeli boleh dibuat secara terus (direct transfer) atau perlu dibuat pindahmilik kepada penjual terlebih dahulu dan barulah selepas itu pindahmilik dibuat kepada pembeli baru (double transfer).
3. Hartanah berstatus pegangan bebas (freehold) atau berstatus pajakan (leasehold)
Ini juga perlu difahami kerana bagi kes tanah-tanah pajakan, selalunya hartanah tersebut mempunyai sekatan kepentingan yang menjadi prasyarat bagi penjualan dan pindahmilik. Selalunya jualanl pindahmilik, dan gadaian hanya dibenarkan selepas mendapat kebenaran pindahmilik dan kebenaran menggadai daripada kerajaan negeri.
Setakat ini dahulu buat kali ini. Pada siri yang akan datang, saya akan terangkan tentang perbezaan antara hakmilik individu, hakmilik strata, dan hakmilik induk.
No comments:
Post a Comment