Wednesday, August 25, 2010

Hujahan Elegant Advisory Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan bagi Permohonan Kebenaran Merayu


Fakta-fakta latarbelakang

[1] Pemohon merupakan Plaintif di dalam Guaman Sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur No. D5-22-1082-2008.

[2] Responden merupakan Defendan di dalam Guaman Sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur No. D5-22-1082-2008 yang diguamkan selaku Pegawai Awam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organisation (UMNO)) selaras dengan peruntukan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

[3] Tuntutan Pemohon/Plaintif terhadap Responden/Defendan adalah bagi pembekalan air mineral, peralatan-peralatan kempen pilihanraya seperti poster, baner, sepanduk, bendera dan sebagainya dan perkhidmatan pengangkutan (“Perkhidmatan dan Barangan tersebut”). Perkhidmatan dan Barangan tersebut telah digunakan oleh Responden bagi Pilihanraya Umum pada tahun 2004. Pemohon mempunyai bukti-bukti yang cukup kuat dan jelas untuk membuat tuntutan terhadap Responden di Mahkamah dan pihak Pemohon sangat bersedia untuk membuktikannya sekiranya diberi peluang yang secukupnya oleh Mahkamah. Pemohon amat percaya bahawa sekiranya dibenarkan dan diberi peluang, sangat banyak bukti-bukti boleh diberikan untuk dilihat, dinilai dan dipertimbangkan. Namun apa yang berlaku, perkara ini tidak pernah diberi peluang atau masih belum boleh dikemukakan kerana perbicaraan penuh di mana bukti-bukti boleh dikemukakan masih belum berjalan.

[4] Pada 17.7.2008, Pemohon telah memperolehi Penghakiman Ingkar terhadap Responden.

[5] Pada 24.7.2008, Responden telah memfailkan Saman Dalam Kamar (Lampiran 7 di Mahkamah Tinggi) dan Afidavit Sokongan (Lampiran 8 di Mahkamah Tinggi) untuk permohonan Responden mengenepikan Penghakiman Ingkar tersebut.

[6] Berdasarkan kepada Afidavit Sokongan permohonan untuk Lampiran 7 untuk Responden/Defendan mengenepikan Penghakiman Ingkar, pihak Responden/Defendan telah hanya membangkitkan dan berhujah dengan 2 isu sahaja iaitu seperti berikut:

(i) Isu salah pihak (misjoinder), di mana Responden/Defendan sepatutnya disaman di atas nama Pegawai Awamnya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966; dan

(ii) Isu Res Judicata, di mana Responden/Defendan mendakwa bahawa tindakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur No. S5-22-326-2005 oleh subkontaktor-subkontraktor yang dilantik oleh Pemohon/Plaintif adalah tindakan berulangan (res judicata).

Sementara 2 lagi isu yang dinyatakan iaitu isu tidak wujud pertalian kontrak dan isu dokumen-dokumen yang dihantar serah adalah tidak teratur dan cacat, hanya dinyatakan secara ringkas sahaja dan tidak dihuraikan dengan terperinci seperti dua isu lagi yang lain di dalam Afidavit Sokongan untuk permohonan (Lampiran 7) tersebut. Malah, tidak pula dihujahkan di dalam hujahan bertulis Responden semasa pendengaran permohonan Responden/Defendan mengenepikan Penghakiman Ingkar (Lampiran 7) tersebut, seolah-olah Peguamcara Responden pada masa itu tidak berminat untuk berhujah di atas dua isu lagi yang lain tersebut.

[7] Pada 21.1.2009, permohonan Responden untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar tersebut dibenarkan, setelah pihak-pihak membalas afidavit-afidavit dan memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

[8] Pada 29.1.2009, Pemohon telah memfailkan pula Saman Dalam Kamar (Lampiran 27 di Mahkamah Tinggi) dan Afidavit Sokongan untuk permohonan Pemohon meminda Saman dan Pernyataan Tuntutan. Pihak Responden tidak membalas apa-apa afidavit untuk permohonan ini, tetapi pada 19.5.2009 telah memfailkan suatu notis niat untuk menggunakan Afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh pihak Responden sebelum ini.

[9] Manakala pada 12.2.2009, Responden pula telah memfailkan Saman Dalam Kamar (Lampiran 29 di Mahkamah Tinggi) dan Afidavit Sokongan untuk permohonan membatalkan Saman dan Pernyataan Tuntutan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

[10] Berdasarkan kepada Afidavit Sokongan untuk permohonan Responden/Defendan di Lampiran 29 iaitu permohonan untuk membatalkan Saman dan Pernyataan Tuntutan, pihak Responden/Defendan hanya membangkitkan 2 isu sahaja di mana ianya adalah isu yang sama semasa permohonan Responden/Defendan mengenepikan Penghakiman Ingkar iaitu:

(i) isu salah pihak (misjoinder); dan
(ii) isu Res Judicata.

Perkara ini sangat jelas di dalam Saman Dalam Kamar (Lampiran 29) (muka surat 78 – 80, ekshibit ‘SIB-3’) dan Afidavit Sokongan (muka surat 114 – 120, ekshibit ‘SIB-3’) hanya 2 isu sahaja dinyatakan. Manakala isu tiada pertalian kontrak (no privity of contract) hanya dibangkitkan secara mengejut di dalam Hujahan Bertulis Peguamcara Responden (muka surat 228 – 233, eskhibit ‘SIB-3’) yang dibantah keras oleh Pemohon.

[11] Pada 30.7.2009, Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh bicara untuk kedua-dua permohonan (Lampiran 27 dan Lampiran 29) di hadapan Yang Arif Hakim Dato’ Azhar bin Mohamed.

[12] Pada tarikh 30.7.2009 tersebut, Yang Arif Hakim Dato’ Azhar bin Mohamed telah memutuskan untuk mendengar permohonan Lampiran 27 terlebih dahulu. Setelah Yang Arif Hakim mendengar hujahan-hujahan kedua-dua peguamcara, Yang Arif Hakim mengarahkan peguam Pemohon/Plaintif supaya memfailkan Hujahan Bertulis Tambahan dan seterusnya menetapkan tarikh 3.9.2009 sebagai tarikh keputusan untuk Lampiran 27.

[13] Seterusnya pada 1.9.2009 peguamcara Pemohon telah menerima panggilan telefon daripada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memaklumkan bahawa pada tarikh 3.9.2009 seperti yang telah ditetapkan, kes tersebut akan didengar oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinater, dan bukannya Yang Arif Hakim Dato’ Azhar bin Mohamed. Tetapi, di dalam Afidavit Basalan Responden, (di Perenggan 16) Responden menyatakan tidak mengetahui perkara ini. Adalah mustahil Responden dan/atau Peguamcara Responden tidak mengetahui mengenai pertukaran Hakim yang mendengar kes kerana jika Responden dan/atau Peguamcara Responden tidak mengetahuinya, bagaimana pula Peguamcara Responden boleh hadir di Mahkamah di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Penghakiman Anantham Kasinater pada 3.9.2009 tersebut?

[14] Pada 3.9.2009, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinater telah memutuskan bahawa permohonan Lampiran 27 iaitu permohonan Pemohon/Plaintif untuk meminda Saman dan Pernyataan Tuntutan dibenarkan. Seterusnya, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman meneruskan bicara pada hari yang sama untuk Lampiran 29 pula, iaitu Permohonan Responden/Defendan untuk membatalkan Saman dan Pernyataan Tuntutan dan menetapkan tarikh 10.9.2009 sebagai tarikh keputusan untuk Lampiran 29 setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak.

[15] Pemohon berhujah di sini bahawa salah satu isu yang dibangkitkan oleh Responden/Defendan tersebut iaitu isu salah pihak telah menjadi isu akedemik kerana pihak Pemohon/Plaintif telah berjaya meminda Saman dan Pernyataan Tuntutan untuk mematuhi peruntukan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 (muka surat 59 ekshibit ‘SIB-3’, di perenggan ke-3 Alasan Penghakiman). Oleh yang demikian, pihak Responden/Defendan hanya bergantung kepada isu Res Judicata.

[16] Walau bagaimanapun, Peguamcara Responden/Defendan telah membangkitkan pula isu baru iaitu pihak Responden/Defendan mendakwa bahawa tiada kewujudan kontrak dan pertalian (‘privity of contract’). Isu ini tidak pernah dibangkitkan di dalam Afidavit Sokongan Responden/Defendan, sebaliknya hanya dibangkitkan di dalam Hujahan Bertulis Responden/Defendan semasa permohonan Lampiran 29 tersebut didengar. Pihak peguamcara Pemohon/Plaintif telah membantah isu ini kerana tidak pernah dibangkitkan dan dibuat secara mengejut (surprise).

[17] Dakwaan Responden tidak perlu menggunakan Notis Niat Untuk Menggunakan Afidavit bagi hujahan bertulis Kandungan 29 dan mendakwa merupakan antara prosiding yang dibicarakan (part of proceeding) adalah sangat mengelirukan. Jika diperhatikan, Responden telah mengakui bahawa isu tiada kewujudan dan pertalian kontrak tidak dibangkitkan semasa Permohonan Responden membatalkan Saman (Lampiran 29), sebaliknya isu tersebut hanya dibangkitkan semasa Permohonan Responden/Defendan untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar (Lampiran 7) sahaja. Tetapi penyataan Responden di mana Notis Niat untuk Menggunakan Afidavit dalam Kandungan 7 (Lampiran 7) tidak diperlukan adalah tidak konsisten dan berbolak balik kerana kenapa pada masa yang sama Responden telah pula memfailkan Notis Niat Untuk Menggunakan Afidavit untuk Permohonan Pemohon/Plaintif untuk meminda Saman dan Pernyataan Tuntutan (Lampiran 27)?

[18] Pada 10.9.2009, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinater telah membuat keputusan bahawa permohonan Responden/Defendan untuk Lampiran 29 iaitu permohonan untuk membatalkan Saman dan Pernyataan Tuntutan dibenarkan.

[19] Pada 2.10.2009, Pemohon telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keseluruhan keputusan oleh Mahkamah Tinggi.

[20] Pada 28.1.2010, Mahkamah Rayuan telah menetapkan sebagai pengurusan kes dan menetapkan tarikh bicara pada 27.4.2010.

[21] Mahkamah Rayuan telah menulis surat bertarikh 22.2.2010 kepada kedua-dua pihak mengenai pengesahan tarikh bicara dan mengarahkan pihak-pihak memfailkan ringkasan hujahan masing-masing pada atau sebelum 13.4.2010 (muka surat 32 & 33, Ekshibit “SBI-1”).

[22] Peguamcara Pemohon telah memfailkan Ringkasan Hujahan Perayu pada 12.4.2010. Tetapi, peguamcara Responden telah gagal untuk memfailkan pada atau sebelum 13.4.2010 seperti arahan amalan Mahkamah Rayuan tersebut, sebaliknya peguamcara Responden telah memfailkan pada 19.4.2010. Peguamcara Pemohon telah menulis surat bertarikh 20.4.2010 kepada Mahkamah Rayuan untuk membantah kemasukan Ringkasan Hujahan Responden tersebut (muka surat 36, Ekshibit “SBI-2”). Walaupun pihak Responden telah menulis surat meminta maaf, Pihak Responden sepatutnya mengambil berat mengenai arahan yang diberikan oleh pihak Mahkamah dan tidak hanya dengan meminta maaf kerana arahan-arahan tertentu akan menentukan keadilan sesebuah kes di Mahkamah.

[23] Pada 27.4.2010, Mahkamah Rayuan telah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak dan seterusnya menetapkan pada 28.4.2010 sebagai tarikh keputusan.

[24] Pada tarikh bicara 27.4.2010 tersebut, peguamcara Pemohon telah membangkitkan bantahan mengenai Ringkasan Hujahan Responden yang telah gagal mematuhi arahan amalan. Walau bagaimanapun, memandangkan Mahkamah kesuntukan masa, Mahkamah telah mengarahkan peguamcara Pemohon meneruskan hujahan selanjutnya. Dakwaan pihak Responden tidak mengetahui mengenai bantahan tersebut adalah mustahil kerana kerana bantahan tersebut dibuat lebih awal lagi melalui surat Peguamcara Pemohon kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 20.4.2010 seperti di ekshibit ‘SIB-2’ (muka surat 36) yang diserahkan sesalinan kepada Peguamcara Responden dan semasa hari perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 28.4.2010 sebelum Peguamcara Pemohon berhujah setelah kes dipanggil, Peguamcara Pemohon telah membangkitkan sekali lagi bantahan ini di hadapan Yang Arif-Yang Arif Hakim yang mendengar kes yang turut didengar oleh barisan Peguamcara Responden.

[25] Pada 28.4.2010, Mahkamah Rayuan (keputusan sebulat suara) telah menolak Rayuan dengan kos. Walau bagaimanapun, kami berhujah bahawa tindakan Pemohon memfailkan Notis Usul di Mahkamah Persekutuan di sini kerana Pemohon amat yakin bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak tepat. Malah, pada masa yang sama, Mahkamah Rayuan sendiri menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi adalah suatu keputusan yang telah pergi jauh dari sepatutnya dan telah melampau dengan melihat kepada merit kes.

[26] Seterusnya, Pemohon di sini memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang diberikan pada 28.4.2010.

Fakta-fakta kes yang dipersetujui

[27] Kami berhujah bahawa berdasarkan kepada Afidavit-afidavit dan hujahan-hujahan yang telah difailkan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, beberapa fakta yang telah dipersetujui seperti berikut:

(i) Adalah dipersetujui bahawa Pemohon telah menghantar dan membekalkan Barangan melalui Nota Penghantaran.

(ii) Adalah dipersetujui bahawa Responden telah menggunakan Barangan tersebut untuk faedah mereka.

(iii) Adalah dipersetujui bahawa Pemohon telah melantik beberapa subkontraktor termasuk Percetakan Rina Sdn. Bhd., Setia Kawan Printers Sdn. Bhd., Art Printing Works Sdn. Bhd. Dan NHK Transport & Warehouse Sdn. Bhd. (“Subkontraktor-subkontraktor tersebut”).

(iv) Subkontraktor-subkontraktor terbabit telah memfailkan saman (Saman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur No. S5-22-326-2005) (“Saman Subkontraktor-subkontraktor tersebut”) secara terus kepada Responden bagi menuntut sejumlah RM8,571,300.00.

(v) Adalah dipersetujui bahawa di dalam Saman Subkontraktor-subkontraktor tersebut, Subkontraktor-subkontraktor tersebut telah mengakui bahawa Pemohon telah mengarahkan untuk mencetak, mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar Barangan kepada Responden, dan seterusnya Pemohon telah melantik beberapa subkontraktor termasuk Subkontraktor-subkontraktor tersebut.

[28] Fakta-fakta yang dinyatakan di perenggan 34 (i), (ii), (iii) dan (v) adalah berdasarkan kepada pengakuan oleh Responden sendiri di dalam Afidavit-afidavit yang difailkan oleh Responden sebelum ini dan berdasarkan kepada dokumen-dokumen oleh yang dibuat oleh Responden sendiri. Banyak penyataan-penyataan yang dinyatakan oleh Responden sendiri dan dokumen-dokumen di dalam Afidavit-afidavit yang berkenaan yang menunjukkan samada secara langsung atau tidak langsung akan perkara-perkara yang dijadikan sebagai fakta-fakta yang dipersetujui dan di antara yang boleh saya tunjukkan di sini adalah di muka surat-muka surat seperti berikut:

(i) Muka surat 87 ekshibit ‘SIB-3’, di perenggan 8.5;
(ii) Muka surat 88 ekshibit ‘SIB-3’, di perenggan 9.4;
(iii) Muka surat 118 ekshibit ‘SIB-3’, di perenggan 10.2;
(iv) Muka surat 137 hingga 140 ekshibit ‘SIB-3’, merupakan dokumen Nota-nota penghantaran yang diakui penerimaannya oleh Responden dan/atau wakil-wakil Responden;
(v) Muka surat 176 hingga 187 ekshibit ‘SIB-3’, khususnya muka surat 183 di perenggan 9 dan muka surat 187;
(vi) Muka surat 195 ekshibit ‘SIB-3’, surat peguamcara Responden pada masa material kepada peguamcara Pemohon pada masa material;
(vii) Muka surat 197 ekshibit ‘SIB-3’, surat Responden kepada Pemohon untuk penyelesaian di luar Mahkamah; dan
(viii) Muka surat 232 ekshibit ‘SIB-3’, khususnya di perenggan yang ke-3 di dalam Hujahan Peguamcara Responden.

[29] Seterusnya saya ingin juga menyatakan bahawa fakta-fakta yang dipersetujui ini juga telah dilihat dan dikenalpasti oleh Yang Arif Pesuruhjaya Penghakiman yang mendengar kes ini di Mahkamah Tinggi di mana Yang Arif telah membuat kesimpulan bahawa tuntutan telah diselesaikan melalui tuntutan yang dibuat oleh empat subkontraktor-subkontraktor (muka surat 66 ekshibit ‘SIB-3’, perenggan ke-2). Bukankah semua ini menunjukkan dengan jelas dan menyokong kepada fakta-fakta di mana Pemohon telah menghantar barangan, Responden telah menggunakan barangan untuk faedah mereka, Pemohon telah melantik subkontraktor tersebut dan pengakuan subkontraktor telah menerima arahan daripada Pemohon selaku Kontraktor Utama (Main Contractor)? Malah pada masa yang sama, Responden mengakui pula perenggan 34 (iv) Afidavit Sokongan Pemohon tersebut yang mana perenggan ini menerangkan fakta yang berkaitan dengan fakta-fakta di perenggan (i), (ii), (iii) dan (v)?
Kuasa tindakan Pemohon dan keputusan Mahkamah Tinggi

[30] Pemohon mendakwa kewujudan kontrak dalam Pernyataan Tuntutan.

[31] Pemerhatian secara teliti pada Pernyataan Tuntutan akan membuahkan perkara-perkara berikut:-

31.1. Pada atau sekitar Mac 2004, Pemohon setelah diminta oleh Responden, telah memberikan dan/atau membekalkan Perkhidmatan & Barangan kepada Responden.

(perenggan 3 dalam Pernyataan Tuntutan (”PT”) – muka surat 73).

Perenggan ini sudah mencukupi bagi menunjukkan adanya kontrak lisan antara Pemohon dan Responden untuk memberikan dan/atau membekalkan Perkhidmatan & Barangan, dengan balasan pembayaran oleh Responden (“Perjanjian”).

31.2. Bagi memenuhi permintaan segera daripada Responden, Pemohon telah melantik beberapa kontraktor untuk menghasilkan barangan yang diperlukan.

(perenggan 4 pada PT, muka surat 73)

Ini menunjukkan adanya tindakan yang diambil oleh Pemohon sebgaimana yang diminta dalam Perjanjian.

31.3. Responden telah menerima Perkhidmatan & Barangan yang telah diberikan dan/atau dibekalkan oleh Pemohon dengan mengaku terima Nota-nota Penghantaran (muka surat 137 - 140 – ini hanyalah sebahagian daripada Nota-nota Penghantaran yang diekshibitkan)

Kewujudan kontrak dan pertalian

[32] Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila memutuskan bahawa:-

“Applying the law to the statement of claim and the affidavit evidence relevant to the striking out application, it is evident that paragraph 3 of the statement of claim does not include material facts necessary to establish a viable legal right enforceable against the Defendant, in contract. This paragraph:-

1. does not plead the existence of an agreement;

2. does not indicate whether the agreement (if any) was made orally or writing and if, in writing, identify the contract; if oral, identify the parties who concluded the contract; if concluded with the registered officer, then, the basis of his authority to conclude a contract of this amount;

3. does not stipulate the relevant terms relied upon by the Plaintiff so as to entitle it to obtain from the Court the particular remedy against the Defendant and, finally,

4. there is no mention of the consideration involved. In this respect, it must be borne in mind that the Plaintiff’s claim is for the price of goods and services purportedly rendered to the Defendant…”

(perenggan disusun semula bagi memudahkan rujukan)

[33] Dengan rasa rendah diri kami menyatakan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam merungkai perenggan 3 Pernyataan Tuntutan sebagaimana berikut:-

37.1 Perkataan “…atas permintaan dan arahan Defedan sendiri, Plaintif melalui ejen-ejennya, wakil-wakilnya dan/atau pengkhidmat-pengkhidmatnya telah membekalkan…” dan “…sebagaimana yang telah dipersetujui bersama antara Plaintif dan Defendan” dinyatakan secara jelas kewujudan perjanjian. Pesuruhjaya Kehakiman nampaknya telah mengabaikan frasa “dipersetujui bersama” yang secara jelas menunjukkan adanya persetujuan bersama.

37.2 Fakta bahawa perjanjian dibuat secara lisan boleh difahami daripada perenggan 3 itu sendiri. Memandangkan Pemohon tidak menyatakan secara jelas mana-mana dokumen yang menunjukkan adanya perjanjian, ia sepatutnya boleh difahami bahawa perjanjian tersebut adalah perjanjian lisan.

37.3 Perenggan 3 secara jelas menentukan pihak yang terlibat iaitu Pemohon dan Responden itu sendiri. Hendaklah kita fahami bahawa perjanjian ini adalah di antara parti politik dan sebuah syarikat. Pihak yang terlibat ialah parti politik dan syarikat. Tidak ada peruntukan dalam mana-mana undang-undang untuk menunjukkan individu mana yang terlibat dalam perjanjian. Dalam keadaan mana sekalipun, Pemohon telah menyatakan dalam Pernyataan Tuntutan bahawa pematuhan Pemohon terhadap perjanjian adalah melalui ejen-ejennya, pekerja-pekerjanya, wakil-wakilnya dan/atau pengkidmat-pengkhidmatnya.

37.4 Terma-terma yang relevan dalam perjanjian lisan sudahpun dinyatakan sebagaimana berikut:-

37.4.1 Frasa “Berikutan keperluan yang banyak dan segera” dalam perenggan 5 Pernyataan Tuntutan, telah menunjukkan terma bahawa Perkhidmatan & Barangan hendaklah dibekalkan segera.

37.4.2 Frasa “…dan lain-lain keperluan untuk Pilihanraya Umum ke 11…” dalam perenggan 4 menunjukkan terma bahawa Barangan mestilah boleh digunakan dan sesuai bagi kegunaan Pilihanraya yang ke 11. Secara jelas, perkataan baner, sepanduk, bendera atau bahan-bahan percetakan lain mesti selari dengan Pilihanraya Umum ke 11.

37.5 Balasannya ialah pembayaran bagi Perkhidmatan & Barangan yang diberikan dan/atau dibekalkan, dan tiada balasan lain selainnya. Pesuruhjaya Kehakiman sendiri menyatakan bahawa “it must be borne in mind that the Plaintiff’s claim is for the price of goods and services”. Ini bermakna bahawa pembacaan sepintas lalu pada Pernyataan Tuntutan akan menunjukkan tentang adanya balasan kepada perjanjian.

[38] Pesuruhjaya Kehakiman dalam penghakimannya seterusnya menyatakan:-

“When pressed to provide evidence of privity of contract with the Defendant, during oral submissions, Counsel for the Plaintiff submitted that the invoices pleaded in paragraph 11 of the statement of claim are a sufficient plea of existence of privity. With respect, as invoices are invariably issued subsequent to the conclusion of the contract, I cannot accept that the two invoices represent the terms of the alleged contract…”

[39] Dengan rendah diri kami menyatakan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam undang-undang dan fakta sebagaimana berikut:-

39.1 Pesuruhjaya Kehakiman telah meminta secara jelas kepada Pemohon untuk memberikan KETERANGAN semasa perbicaraan bagi permohonan pembatalan saman. Ini adalah berlawanan dengan prinsip yang sudah terpakai bahawa Mahkamah tidak boleh membuat pemeriksaan pada dokumen dan fakta kes, dan bicara tidak sepatutnya bersandarkan pada affidavit-afidavit. [The Golf Cheque Book Sdn Bhd & Satu Lagi lwn Nilai Springs Bhd (2006) 1 CLJ 259 [TAB 2 IA(P) pada mukasurat 260-261, 263 ]

39.2 Pesuruhjaya Kehakiman hanya menumpukan pada invois-invois, tetapi telah mengabaikan fakta bahawa wujudnya nota-nota serahan yang diakui terima oleh Responden.

[40] Pesuruhjaya Kehakiman seterusnya menyatakan bahawa:-

“Accordingly, I see no purpose in allowing this monstrous claim for RM218 million to hang over the head of the Defendant, when all that the Plaintiff has been able to produce by way of relevant documentary evidence are four delivery orders of inconsequential value”.

[41] Dengan rasa rendah dirinya kami menyatakan bahawa pernyataan di atas menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi telah khilaf sebagaimana berikut:-

41.1 Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf apabila menumpukan pemikirannya untuk melepaskan beban tuntutan daripada kepala Responden, tanpa mengambil peduli bahawa Pemohon sepatutnya diberi hak untuk membuktikan kesnya dalam perbicaraan yang selayaknya.

41.2 Sekali lagi, Pesuruhjaya Kehakiman meminta keterangan bertulis dikemukakan pada prosiding pembatalan saman.

41.3 Pesuruhjaya Kehakiman telah gagal memberi alasan kepada dirinya tentang kenapa dia memutuskan bahawa nota-nota serahan adalah tidak memberi nilai yang penting, walaupun Responden tidak pernah menafikan mengakuterima perkara tersebut.

[42] Oleh hal yang demikian, dengan ini kami menegaskan bahawa perenggan 3 dan keseluruhan Pernyataan Tuntutan adalah memadai bagi membuktikan kewujudan kontrak yang mana Pemohon ada mempunyai pertalian dalam kontrak tersebut.

[43] Dalam beberapa keadaan, Responden telah mengaku kewujudan kontrak antara Pemohon dan Responden sebagaimana berikut:-

43.1 Apabila Responden mengakuterima Barangan yang telah dihantar melalui nota-nota serahan, tanpa bantahan. Responden dengan itu dihalang daripada menafikan fakta-fakta tersebut.
[Sediperak Sdn Bhd lwn Baboo Chowdhury (1999) 5 CLJ 31 [TAB 3 IA(P), muka surat 45]

43.2 Apabila Responden melalui surat bertarikh 28.08.2006 melalui peguamcara mereka dan surat bertarikh 1.9.2006 daripada mereka sendiri, bersetuju untuk berbincang dan menyelesaikan perkara ini diluar Mahkamah. Jika tiada langsung kontrak, kenapa bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini (muka surat 195 - 197).

43.3 Apabila Responden mengakui bahawa hanya penyampaian dokumen yang tidak teratur, salah pihak dan jumlah yang tidak tepat. Kenapa Responden mengakui hal ini jika mereka mendakwa bahawa mereka tidak bertanggungjawab untuk membayar? Berapakah jumlah yang tepat? (perenggan 9.4 Afidavit Sokongan Defendan/Responden - muka surat 88).

43.4 Apabila Responden tidak menyangkal fakta-fakta yang telah diperakui dalam saman subkontraktor-subkontraktor terbabit bahawa Pemohon telah diarahkan oleh Responden untuk membekalkan dan/atau memberi Perkhidmatan & Barangan.

43.5 Apabila Responden telah menyelesaikan di luar Mahkamah Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit dengan membayar jumlah tuntutan yang dituntut oleh Subkontraktor-subkontraktor terbabit.

[44] Oleh hal yang demikian, kewujudan kontrak antara pihak-pihak yang terlibat tidak boleh dinafikan lagi. Pemohon yang mempunyai pertalian kontrak mempunyai kausa tindakan yang munasabah terhadap Responden.

Seksyen 71 sebagai satu kausa tindakan yang tersendiri

[45] Walaupun jika sekiranya Mahkamah memutuskan bahawa tiada perjanjian lisan antara pihak-pihak yang terlibat (yang Pemohon menafikannya), Pemohon tidak boleh dibiarkan tanpa apa-apa pampasan, sedangkan kerja-kerja sudahpun dibuat bagi manfaat Responden.

[46] Adalah tidak dinafikan bahawa Pemohon telah berjaya mengemukakan kausa tindakan dibawah Seksyen 71 [TAB 1, IA(P)] dalam Writ Saman mereka (muka surat 68 - 77).

Undang-undang

[47] Di dalam kes Goh Soon Ann lwn Sandvik (M) Sdn Bhd (1984) 1 CLJ(Rep) 137 [TAB 4 IA(P) muka surat 139], Mahkamah Persekutuan telah menggariskan 4 syarat yang perlu dipenuhi supaya tindakan di bawah Seksyen 71 berjaya. ‘Perbuatan atau menghantar barangan’ yang dirujuk dalam seksyen tersebut:-

47.1 Mestilah sah disisi undang-undang
47.2 Mestilah dibuat untuk orang lain
47.3 Mestilah dibuat tanpa niat melakukannya secara percuma
47.4 Mestilah orang lain tersebut menikmati manfaat daripada perbuatan atau penyampaian tersebut

[48] Seksyen 71 memperuntukkan satu kausa tindakan yang tersendiri dan bebas. Permohonan untuk pembatalan saman tidak sepatutnya dibenarkan kerana Seksyen 71 boleh dibawa sebagai satu kausa tindakan yang tersendiri.
[Sediperak (supra) muka surat 51]

[49] Kegagalan untuk memohon pampasan di bawah Seksyen 71 dalam Pernyataan Tuntutan bukanlah kegagalan yang membawa maut.
[Sediperak (supra), muka surat 50]

[50] Pampasan di bawah Seksyen 71 juga boleh dirayu di dalam kes yang diasaskan oleh kontrak atau berdasarkan kontrak.
[Sediperak (supra) muka surat 51-52]
[Aw Yong Wai Choo & Lain-Lain lwn. Arief Trading Sdn Bhd & Satu Lagi (1991) 2 CLJ 294 [TAB 5 IA(P) pada muka surat 308]

Pemakaian Undang-undang

[51] Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta yang memuaskan kesemua syarat-syarat yang dinyatakan di atas di bawah Seksyen 71:-

51.1 Adalah tidak salah di sisi undang-undang untuk membekalkan air mineral, baner dan sepanduk-sepanduk.

51.2 Pengakuan penerimaan pada nota-nota serahan dengan jelas menunjukkan bahawa penghantaran Barangan telah dibuat untuk dan kepada Responden.

51.3 Adalah diluar daya imaginasi untuk kita fikirkan bahawa terlalu dermawannya Pemohon membekalkan Barangan tersebut dengan percuma tanpa apa-apa bayaran.
[Multi-Purpose Credit Sdn Bhd lwn Tan Sri Dato’ Paduka (Dr) Ting Pek Khing (2006) 6 CLJ 205 [TAB 6 IA(P) pada muka surat 219]

51.4 Secara jelasnya, Responden telah memanfaatkan dan menggunakan Barangan yang telah dibekalkan untuk kepentingan mereka, dan mereka seterusnya telah berjaya mendapat kejayaan yang besar dalam pilihanraya.

[52] Pesuruhjaya Kehakiman telah memutuskan dalam penghakimannya:-

“Secondly, based on the commentary in Atkins, in my judgment, the Plaintiff can be said to have abandoned its claim pursuant to S.71 since this claim appears only in the indorsement of the writ but not the statement of claim. The Plaintiff’s only prayer in the statement of claim is for the price of goods and not compensation under S71”. (penekanan ditambah)

[53] Kami dengan rendah diri menyatakan bahawa Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan di bawah Seksyen 71 dalam Pernyataan Tuntutan, sebagaimana berikut:-

53.1 Perenggan 3 Pernyataan Tuntutan telah menerangkan kewujudan perjanjian antara pihak-pihak yang terlibat.

53.2 Perenggan 16 (muka surat 76) menerangkan bahawa Pemohon telah mengalami kerugian akibat tiada pembayaran daripada Responden sebagaimana berikut:-

“Plantif menyatakan bahawa oleh sebab yang demikian, Plaintif telah mengalami kerugian dari segi wang ringgit dan juga reputasi Plaintif telah terjejas teruk dengan pihak-pihak ketiga kerana ketiadaan bayaran daripada Defendan...”

53.3 Perenggan 16 di atas dengan jelasnya menunjukkan bahawa Pemohon menuntut pampasan di bawah Seksyen 71.

53.4 Perenggan 19 Pernyataan Tuntutan (muka surat 77) hanya menyatakan bahawa Pemohon menuntut sejumlah RM218,013,475-00. Ia tidak pernah menyatakan bahawa jumlah yang dituntut tersebut adalah jumlah bagi harga barangan. Oleh hal yang demikian, adalah menjadi tanda tanya apabila Pesuruhjaya Kehakiman telah boleh membuat kesimpulan bahawa permohonan dalam Pernyataan Tuntutan hanyalah bagi jumlah barangan dan bukan untuk pampasan.

[54] Dalam mana-mana keadaan sekalipun, sekiranya Pemohon gagal untuk menyatakan secara formal Seksyen 71 dalam Pernyataan Tuntutan (yang dinafikan oleh Pemohon), kegagalan ini tidaklah boleh membawa maut, dan Mahkamah masih boleh memasukkan Seksyen 71 untuk memberi pampasan kepada Pemohon.
[Sediperak (supra) pada muka surat 50]

[55] Pesuruhjaya Kehakiman seterusnya menyatakan:-

“S.71 can only be invoked by the supplier of the goods”.

[56] Dengan ini kami menyatakan bahawa pernyataan tersebut adalah bercanggah dengan prinsip yang sudah termaklum sebagaimana berikut:-

56.1 Dalam kes Aw Yong Wai Choo (supra) pada muka surat 308, Mahkamah telah menggunapakai S.71 walaupun terdapat kontrak bertulis antara Plaintif dan Defendan. Oleh hal yang demikian, S. 71 tidaklah semata-mata terikat kepada pembekal barangan.

56.2 Sekiranya S. 71 Akta Kontrak 1950 hanya terpakai kepada kes-kes yang tercipta daripada kontrak dan sebagai contoh, Pesuruhjaya Kehakiman menyatakan bahawa ianya hanya terpakai kepada pembekal, kami dengan ini menghujahkan bahawa prinsip tersebut akan mengakibatkan kecelaruan kepada perniagaan dan industri kerana pihak ketiga atau subkontraktor akan dapat menuntut secara langsung daripada pihak pertama dalam sesuatu kontrak tanpa melibatkan pihak yang kedua.


Permohonan Pembatalan Saman

Undang-undang

[57] Kuasa Mahkamah mengikut Aturan 18 Kaedah 19 hanya boleh digunapakai dalam pernyataan yang mudah dan kes-kes yang jelas yang mana jalan keluar sepatutnya melalui proses ringkasan (summary process) mengikut aturan tersebut.
[Bandar Builders Sdn Bhd & 2 Ors lwn United Malayan Banking Corporation Bhd (1993) 4 CLJ 7; (1993) 3 MLJ 36 [TAB 7 1A(P) pada muka surat 7]

[58] Permohonan bagi pembatalan saman dibawah Aturan 18 Kaedah 19 tidak sepatutnya tertumpu kepada bicara pada afidavit-afidavit.
[The Golf Cheque Book Sdn Bhd & Satu Lagi lwn Nilai Springs Bhd (2006) 1 CLJ 259 [TAB 2 1A(P) pada muka surat 260-261 ]

[59] Ianya tidak boleh dinilai melalui penilaian ringkas kepada dokumen-dokumen dan fakta-fakta kes, untuk memastikan sama ada pihak yang terlibat mempunyai kausa tindakan atau pembelaan.
[The Golf Cheque Book (supra) menggunapakai Wenlock lwn Moloney & Lain-lain (1965) 1 WLR 1238]

[60] Selagi mana dokumen-dokumen yang difailkan telah membuka beberapa kausa tindakan atau membangkitkan beberapa persoalan yang sesuai untuk diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, fakta bahawa kes tersebut adalah lemah dan seolah-olah tidak akan berjaya pada perbicaraan bukanlah alasan bagi permohonan tersebut dibatalkan.
[Bandar Builders (supra) pada muka surat 7]

[61] Mahkamah mempunyai budibicara untuk menilai fakta-fakta bagi setiap kes sama ada permohonan tersebut wajar untuk dibatalkan atas alasan gagal mengemukakan kausa tindakan atau meminta supaya ianya dipinda. Jika sekiranya Mahkamah berpuashati bahawa tiada pindaan yang boleh dibuat bagi menyelamatkan sesuatu permohonan, barulah wajar permohonan tersebut dibatalkan.
[Shahidan Shafie lwn Atlan Holdings Bhd & Satu Lagi & Lain Lain Rayuan (2005) 3 CLJ 793 [TAB 8 1A(P) pada muka surat 795]

[62] Jika sekiranya ada isu undang-undang yang memerlukan perbincangan secara serius, bantahan sepatutnya dibenarkan pada permohonan tersebut dan isu tersebut perlu dibawa bagi hujahan di bawah Aturan 33 Kaedah 2 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi.
[The Golf Cheque Book (supra)

Pemakaian Undang-undang

[63] Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta-fakta yang menunjukkan kewujudan kontrak secara lisan, dan Pemohon mempunyai pertalian kontrak (sebagaimana dinyatakan sebelum ini).

[64] Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta-fakta bagi mematuhi syarat-syarat Seksyen 71.

[65] Terdapat beberapa isu yang sepatutnya diputuskan dalam perbicaraan penuh, antara lain sebagaimana berikut:-

65.1 Sama ada Responden telah menerima Barangan tanpa rungutan dan kecacatan?

65.2 Sama ada Responden telah dihalang daripada menafikan tanggungjawabnya setelah mengakuterima nota serahan tersebut?

65.3 Sama ada Responden telah menggunakan atau memanfaatkan Barangan yang telah dibekalkan oleh Pemohon?

65.4 Sama ada Responden telah mendapat faedah daripada penggunaan Barangan tersebut? dan lain-lain sebagainya.

[66] Pemohon pada Perenggan 18 Pernyataan Tuntutan (muka surat 76) telah membentangkan bahawa Pemohon mempunyai rekod video-video, gambar-gambar, keratan-keratan akhbar bagi menunjukkan bahawa Responden telah menggunakan baner, sepanduk, dan bendera-bendera yang telah dibekalkan oleh Pemohon. Bukti yang kukuh ini tidak sepatutnya ‘disapu dibawah lantai’ dengan menutup hak Pemohon bagi mendapatkan perbicaraan penuh.

[67] Terdapat beberapa isu undang-undang yang memerlukan penyiasatan dan hujahan-hujahan tambahan dalam perbicaraan penuh atau perbicaraan mengikut Aturan 33 Kaedah 2:-

67.1 Pemakaian Seksyen 71
67.2 Pemakaian doktrin ‘estoppel’ terhadap Responden

[68] Isu undang-undang di atas tidak dapat dirungkai pada peringkat permohonan pembatalan saman.

Permohonan Aturan 18 Kaedah 19 dan kaitannya dengan Saman Sub-kontraktor

[69] Subkontraktor-subkontraktor terbabit bukanlah hanya subkontraktor-subkontraktor yang telah dilantik oleh Pemohon. Terdapat ramai lagi yang menuntut pembayaran daripada Pemohon.

[70] Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit pada jumlah RM8,571,300-00, hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan yang dituntut oleh Pemohon.

[71] Nota-nota serahan dengan jelas menunjukkan bahawa Barangan telah dibekalkan oleh Pemohon kepada Responden. Adalah diluar jangkauan akal kenapa Responden telah menyelesaikan tuntutan oleh Subkontraktor terbabit, tetapi pada masa yang sama berlawan habis-habisan menentang Pemohon.

[72] Keadilan bagi kes ini hendaklah mengatasi segala-galanya. Adalah menjadi kebiasaan dalam amalan industri ini melantik subkontrakor-subkontraktor untuk melakukan beberapa tugasan tertentu. Walau bagaimanapun, subkontraktor-subkontraktor tersebut tidak sepatutnya dibenarkan untuk menuntut secara terus daripada klien utama, kecuali dan sehinggalah terdapatnya unsur-unsur penipuan atau ketidakjujuran oleh kontraktor utama, berdasarkan kes demi kes.

[73] Pesuruhjaya Kehakiman telah membuat kesimpulan dalam penghakimannya sebagaimana berikut:-

“It is very difficult to believe that the Plaintiff claiming to be owed RM218 million sat tight for a period in excess of four years, while the four parties appointed by it, pursued their claim until settlement”.

[74] Dengan segala hormatnya, Pesuruhjaya Kehakiman telah langsung khilaf satu perkara utama. Pemohon telah mendakwa dalam Pernyataan Tuntutan bahawa perbincangan telah diadakan di antara tahun 2004 dan 2008. Secara jelasnya, Pemohon tidaklah hanya duduk selesa atau duduk-duduk sahaja. (perenggan 14 – 17 Pernyataan Tuntutan – muka surat 75 & 76). Pemohon telah dijanjikan oleh Responden bahawa mereka akan menyelesaikan tuntutan semasa sesi perbincangan. Walau bagaimanapun, setelah Responden mengingkari janji mereka, Pemohon tiada pilihan lain selain membawa perkara ini ke Mahkamah.

[75] Secara faktanya, adalah amat susah untuk mempercayai bahawa Responden telah menyelesaikan Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit berdasarkan nota-nota serahan daripada Pemohon, dan dalam masa yang sama enggan, cuai, dan/atau abai untuk membayar kepada Pemohon, iaitu kontraktor utama yang telah menghabiskan banyak masa & wang ringgit, untuk mendapatkan projek, merancang, menyusun strategi dan menghantar serah Barangan sebagaimana yang dipinta.

Beberapa Kelainan (Perbezaan Praktis) dalam Keputusan Mahkamah Tinggi

[76] Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam membuat keputusan apabila Yang Arif merujuk kepada Kandungan 7 dalam alasan penghakimannya kerana Peguambela bagi Responden sendiri tidak pernah memberi Notis Niat untuk menggunakan Afidavit dalam Kandungan 7 bagi hujahan bertulis Kandungan 29. Peguambela bagi Responden hanya mengemukakan afidavit sokongan bagi permohonan Kandungan 29 dan hanya afidavit-afidavit sokongan tersebut sepatutnya digunakan dalam permohonan bagi Kandungan 29.

[77] Berlainan pula kesnya, apabila Pesuruhjaya Kehakiman telah membenarkan peguambela bagi Responden membantah apabila pegumbela Pemohon meminta untuk menggunakan eksibit-eksibit dalam Kandungan 12 semasa hujahan lisan di dalam kamar semasa perbahasan tentang kewujudan pertalian kontrak antara Pemohon dan Responden.

[78] Dengan segala hormatnya, Pesuruhjaya Kehakiman sepatutnya hanya menggunakan afidavit-afidavit sokongan yang telah difailkan oleh peguambela Responden dalam permohonan mereka dibawah Kandungan 29 dan kami sangat-sangat membantah penggunaan afidavit-afidavit selain afidavit-afidavit tambahan yang telah difailkan oleh Responden.

[79] Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf apabila telah membuat andaian dalam penghakimannya sebagaimana berikut:

“In my judgment, if the Plaintiff is unable to furnish the terms of the oral contract in the statement of claim or by way of Affidavit evidence, I have no reason to believe that the Plaintiff will be able to do so in a trial of the action.” (Alasan Keputusan – muka surat 64)

[80] Ini hanyalah andaian daripada Pesuruhjaya Kehakiman dan ini tidak sepatutnya berlaku. Mahkamah yang mulia sepatutnya hanya bergantung kepada fakta-fakta kes dalam membuat keputusan dan bukan bersandarkan andaian daripada mana-mana pihak.

[81] Mahkamah Yang Mulia hanya sepatutnya menerima andaian jika andaian tersebut tidak boleh dinafikan oleh pihak yang terlibat. Dalam kes ini, Mahkamah Yang Mulia telah membuat andaian, sedangkan Pemohon tidak diberi peluang langsung untuk menafikan andaian tersebut.

[82] Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam membuat keputusan apabila Yang Arif membenarkan peguambela Responden membangkitkan isu ‘Tiada Pertalian Kontrak’ walaupun telah dibantah oleh peguambela Pemohon semasa hujahan kerana isu ini tidak pernah dinyatakan dalam mana-mana afidavit dan ia dibawa secara mengejut.



PERMOHONAN KEBENARAN MERAYU DIBAWAH
SEKSYEN 96(a) AKTA MAHKAMAH KEHAKIMAN 1964

Undang-Undang

[34] Secara ringkasnya, Undang-undang berkenaan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan dibawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (“Akta”)[Tab 1 Ikatan Dokumen Perayu (“IDP”)] adalah matan:-

27.1 Perayu mestilah memuaskan hati Mahkamah Persekutuan bahawa Penghakiman Mahkamah Rayuan adalah:-

(a) berkaitan dengan sebarang tindakan sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidangkuasa asalnya;

(b) menyentuh soalan prinsip-prinsip umum yang diputuskan untuk pertama kalinya oleh Mahkamah Rayuan;

(c) ATAU merupakan soalan yang penting untuk hujahan lanjut dan satu keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dibuat untuk kepentingan awam.

v [Joceline Tan Poh Choo & Ors v V Muthusamy (2009) 1 CLJ 650 (“Joceline”)(TAB 2 of IDP)

27.2 Pemohon mempunyai kes prima facie untuk rayuan

v [Joceline (supra)]

v [Datuk Syed Kechik Syed Mohamed & Anor v The Board of Trustee of the Sabah Foundation & Ors (1999) 1 CLJ 325 (“Syed Kechik”)(TAB 3 RBA)]


Analisa soalan-soalan yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan


(i) Sama ada dalam suatu permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan menurut Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, prinsip yang terpakai untuk menentusahkan bahawa sesuatu Pernyataan Tuntutan tersebut mempunyai kausa tindakan yang munasabah atau tidak, adalah berdasarkan kes Bandar Builders Sdn Bhd & 2 Ors lwn United Malayan Banking Corporation Bhd (1993) 4 CLJ 7; (1993) 3 MLJ 36 yang mengkehendaki pembacaan Pernyataan Tuntutan sahaja tanpa melihat kepada keterangan dan bukti dan pemeriksaan terperinci terhadap merit kes ATAU seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini yang membenarkan penelitian terhadap keterangan dan bukti secara terperinci.

(ii) Sama ada dalam suatu permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan menurut Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah perlu dan boleh menilai merit sesuatu kes berdasarkan keterangan Afidavit untuk menentusahkan sama ada wujud atau tidak kausa tindakan yang munasabah ATAU cukup sekadar penilaian terhadap Pernyataan Tuntutan sahaja.

(iii) Sama ada dalam suatu permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah boleh mengambil pendekatan “sekalipun Mahkamah telah pergi jauh untuk menilai merit kes tersebut, Mahkamah mendapati bahawa Pernyataan Tuntutan tersebut tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah” ATAU Mahkamah tidak boleh sama sekali menilai merit sesuatu kes yang secara jelasnya akan mengganggu penilaian Mahkamah terhadap Pernyataan Tuntutan tersebut.

(iv) Sejauh mana prinsip “fakta bahawa kes tersebut adalah lemah dan berkemungkinan besar tidak berjaya diperingkat bicara bukan satu alasan untuk membatalkan tuntutan” seperti digariskan dalam kes Bandar Builders (supra) terpakai dalam kes dimana hubungan kontraktual dan privi dipertikaikan oleh pihak-pihak.


Hujahan untuk Soalan (i), (ii), (iii) dan (iv)

[28] Dalam kes Bandar Builders, Mahkamah Agung telah menyatakan dengan jelas bahawa:-

“…It cannot be exercised by a minute examination of the documents and facts of the case, in order to see whether the party has a cause of action or a defense…”(m/s

[29] Walaubagaimanapun, Mahkamah Rayuan dalam kes ini telah menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan tindakan Pemohon adalah betul walaupun Mahkamah Tinggi telah pergi jauh menilai merit.

[30] Ini jelas membuktikan bahawa Mahkamah Tinggi telah membelakangkan doktrin stare decisis dengan jelas mengaplikasikan ujian yang salah untuk menilai permohonan tersebut. Mahkamah Rayuan pula menerima ujian yang salah tersebut.

[31] Mahkamah Tinggi juga telah membelakangkan peruntukan Aturan 18 Kaedah 19(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 yang menyatakan dengan jelas bahawa keterangan melalui afidavit tidak boleh digunakan untuk menilai wujudnya kausa tindakan atau tidak.


(v) Sejauh mana budi bicara Mahkamah yang diperuntukkan oleh Aturan 18 Kaedah 19 (1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 yang membolehkan Mahkamah memerintahkan mana-mana pliding yang cacat dipinda dan diselamatkan selaras dengan keputusan kes Shahidan Shafie lwn Atlan Holding Bhd & Yang Lain [2005] 3 CLJ 793, perlu diaplikasikan dalam sesuatu kes yang membabitkan kausa tindakan yang jelas walaupun terdapat beberapa fakta yang mungkin tidak diperincikan dengan keterangan.

Hujahan

[32] Kes dihadapan Mahkamah yang Mulia ini bukanlah satu kes yang tidak mempunyai kausa tindakan langsung, bahkan lebih kepada fakta-fakta yang kononnya material tidak diplidkan. Oleh yang demikian, Mahkamah boleh menggunakan budi bicara dalam kes sebegini untuk mengarahkan pindaan pliding dibuat.

[33] Skop pengaplikasian budi bicara sedemikian belum pernah diputuskan sebelum ini dalam mana-mana kes Mahkamah Persekutuan. Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Persekutuan tentang isu pengaplikasian budi bicara untuk meminda pliding yang cacat adalah diperlukan untuk memperincikan undang-undang.


(vi) Adakah prinsip undang-undang yang matan bahawa setiap fakta mesti diplidkan dalam Pernyataan Tuntutan bermaksud bahawa setiap pliding mesti merangkumi perkara-perkara terperinci seperti dokumen-dokumen yang akan dirujuk secara terperinci dan saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan ATAU cukup sekadar fakta tentang kewujudan dokumen tersebut dan kewujudan saksi yang berkenaan diplidkan.

Hujahan

[34] Peguam Responden telah berhujah di Mahkamah Rayuan bahawa Pemohon gagal mengemukakan dokumen terperinci dan saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan didalam pliding. Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pemohon, sekaligus menerima hujahan tersebut.

[35] Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan telah menggariskan satu kriteria baru untuk pliding iaitu perlu menyatakan dokumen-dokumen terperinci dan saksi-saksi yang akan dipanggil. Ini jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang matan.

[36] Satu keputusan Mahkamah Persekutuan tentang ini harus dibuat bagi memperincikan undang-undang tentang perkara yang perlu diplidkan yang sepatutnya hanya terhad kepada fakta material sahaja dan bukannya dokumen terperinci dan senarai saksi.


(vii) Sama ada dalam satu kausa tindakan yang membabitkan perjanjian atau hubungan kontraktual yang tercipta secara lisan dan melalui surat-menyurat dan tindakan pihak-pihak, tanpa ada dokumen perjanjian yang formal antara dua pihak yang mempunyai entiti bersendirian tetapi bukan orang perseorangan (seperti Syarikat dan Pertubuhan), fakta tentang tarikh sebenar perjanjian lisan dan maklumat orang/agen yang terlibat dalam perjanjian lisan tersebut perlu diplidkan secara terperinci didalam Pernyataan Tuntutan.

(viii) Lanjutan daripada soalan diatas, sama ada kegagalan memplidkan fakta tentang tarikh sebenar perjanjian lisan dan maklumat orang/agen yang terlibat dalam perjanjian lisan tersebut menyebabkan Mahkamah boleh memutuskan bahawa tidak wujud kausa tindakan yang munasabah sekaligus membatalkan Pernyataan Tuntutan tersebut dibawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Hujahan untuk soalan (vii) dan (viii)


[37] Soalan ini sekali lagi berkaitan tentang merit terperinci kes tersebut. Adalah menjadi lumrah dalam satu perjanjian lisan bahawa tarikh atau masa yang tepat perjanjian dimeterai bukanlah satu perkara yang sentiasa diingati. Yang pentingnya adalah perlaksanaan tanggungjawab pihak-pihak dibawah perjanjian lisan tersebut.

[38] Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah mensyaratkan bahawa tarikh perjanjian lisan dibuat adalah satu fakta yang material yang perlu diplidkan, yang mana kegagalan memplidkannya akan menyebabkan tindakan akan dibatalkan.

[39] Ini sama sekali meletakkan kriteria baru kepada kandungan pliding yang sepatutnya terhad kepada fakta material mengikut kesesuaian kes.


[40] Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah mensyaratkan bahawa dimana pihak-pihak adalah syarikat atau institusi yang mempunyai entiti tersendiri, agen atau orang perseorang yang mewakili insitusi tersebut perlu dinyatakan didalam pliding.

[41] Ini sekali lagi bertentangan dengan prinsip matan doktrin entiti berasingan.


(ix) Sama ada didalam sesuatu kes yang mana Defendan telah mengakui keterlibatannya dan mengakui wujudnya hubungan kontraktual, Mahkamah boleh membatalkan Pernyataan Tuntutan menurut Aturan 18 Kaedah 19 (1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas alasan tiada privi kepada kontrak.

(x) Sama ada pengakuan Defendan melalui proses perbincangan dan penyelesaian diluar Mahkamah bahawa wujudnya hubungan kontraktual antara Plaintif dan Defendan sudah cukup untuk menjadi satu pengakuan tentang wujudnya hubungan kontraktual antara pihak-pihak?

Hujahan untuk soalan (ix) dan (x)

[42] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang matan bahawa pengakuan oleh pihak-pihak boleh dijadikan sandaran kepada pendirian yang diambilnya, dan pihak yang telah membuat pengakuan dan pendirian dihalang selepas itu daripada menafikannya.

[43] Mahkamah Tinggi walaubagaimanapun telah menggariskan satu prinsip baru bahawa walaupun pihak-pihak telah mengakui kewujudan hubungan kontraktual, Mahkamah masih boleh menggunakan budi bicaranya dengan menngenepikan prinsip estoppel, dan membatalkan tindakan atas alasan tiada privi.

[44] Mahkamah Rayuan telah menerima keputusan ini, dan prinsip undang-undang ini adalah pertama kali diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Maka keputusan Mahkamah Persekutuan adalah penting untuk memperincikan prinsip tersebut.

(xi) Sama ada dalam permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah boleh menilai jumlah tuntutan yang besar yang dikemukakan oleh Plaintif sebagai satu faktor untuk menilai kewujudan kausa tindakan yang munasabah atau tidak?

(xii) Sama ada dalam permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah boleh membuat andaian tentang kebolehupayaan pihak-pihak untuk mengemukakan keterangan dan bukti dalam perbicaraan nanti berdasarkan afidavit yang difailkan, dan membuat keputusan tentang wujud atau tidak kausa tindakan yang munasabah berdasarkan andaian tersebut.

(xiii) Sama ada dalam permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memohon pihak-pihak mengemukakan keterangan dan bukti untuk menunjukkan wujudnya hubungan kontraktual atau kausa tindakan yang munasabah?

(xiv) Sama ada dalam permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah boleh menilai faktor-faktor luaran seperti kemungkinan-kemungkinan kesan tindakan ini kepada Defendan dalam menentusahkan sama ada wujud kausa tindakan yang munasabah atau tidak.

Hujahan untuk soalan (xi), (xii), (xiii) dan (xiv)

[45] Mahkamah Tinggi telah menambah pelbagai kriteria seperti faktor jumlah tuntutan yang besar, faktor kebolehupayaan pihak mengemukakan keterangan, dan kesan tindakan kepada pihak-pihak dalam menentukan wujudnya kausa tindakan atau tidak. Faktor-faktor sedemikian tidak pernah digariskan oleh mana-mana kes sebelum ini.

[46] Mahkamah Rayuan pula telah menerima keputusan tersebut. Oleh yang demikian, satu keputusan Mahkamah Persekutuan tentang sama ada faktor-faktor tersebut relevan ataupun tidak sebagai penambahan kepada faktor-faktor yang telah digariskan dalam kes Bandar Builder adalah perlu.


Seksyen 71 & Estoppel

(xv) Sama ada prinsip undang-undang berkenaan dengan kausa tindakan dibawah Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 adalah seperti dalam kes Aw Yong Wai Choo & Lain-Lain lwn Arief Trading Sdn Bhd & Satu Lagi (1991) 2 CLJ 294 dan Sediperak Sdn Bhd lwn Baboo Chowdhurry (1999) 5 CLJ 31, yang menyatakan bahawa kausa tindakan tersebut boleh berdiri sendiri ATAU seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini.

(xvi) Sama ada prinsip undang-undang berkenaan dengan kausa tindakan dibawah Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 adalah terbina atas 4 kriteria dibawah:-

1. Mestilah sah disisi undang-undang
2. Mestilah dilakukan untuk pihak yang lain
3. Mestilah dilakukan tanpa niat memberikannya secara percuma
4. Pihak yang satu lagi menikmati faedah atas tindakan atau pembekalan oleh Plaintif tersebut.

ATAU seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini.
(xvii) Sama ada prinsip undang-undang berkenaan dengan kausa tindakan dibawah Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 tentang kegagalan memplidkan secara spesifik Seksyen 71 tersebut dalam Pernyataan Tuntutan adalah seperti digariskan dalam kes Sediperak (supra) yang menyatakan bahawa kegagalan tersebut tidak membawa maut (fatal) kepada tindakan Plaintif, ATAU seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini.

(xviii) Sama ada remedy dibawah Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 boleh dituntut juga didalam kes yang membabitkan hubungan kontraktual atau berasaskan kontrak.

(xix) Sama ada Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 juga terpakai dalam kes membabitkan hubungan kontraktual atau berasaskan kontrak seperti diputuskan dalam kes Au Yong Wai (supra) ATAU hanya terpakai dalam kes pembekal barangan SAHAJA seperti diputuskan dalam kes ini.

(xx) Sama ada Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 hanya boleh terpakai kepada subkontraktor yang membekalkan barangan tersebut sahaja ATAU ia boleh juga terpakai kepada Kontraktor Utama yang mendapatkan kerja dan projek tersebut daripada Pemberi Kontrak.

(xxi) Sama ada doktrin ekuiti Estoppel By Conduct boleh digunakan untuk mewujudkan satu kausa tindakan yang munasabah oleh Plaintif ATAU hanya boleh digunakan sebagai pembelaan sahaja.


[47] Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes ini telah mengabaikan prinsip undang-undang yang jelas dalam Aw Yong Wai dan Sediperak tentang pengaplikasian Seksyen 71.
[48] Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat satu prinsip baru bahawa Seksyen 71 hanya boleh digunakan dalam kes pembekal barangan sahaja.

[49] Satu keputusan Mahkamah Persekutuan adalah perlu untuk menyelaraskan undang-undang berkenaan pengaplikasian Seksyen 71 sebagai kausa tindakan. Tambahan pula, tidak ada keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini atas isu yang sama.


Prosedur

(xxii) Sama ada dalam permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah boleh merujuk kepada Afidavit yang difailkan dalam permohonan lain didalam tindakan yang sama tanpa pihak-pihak memberi notis niat untuk menggunapakai Afidavit tersebut selaras peruntukan di bawah aturan Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

(xxiii) Sama ada Mahkamah boleh mengamalkan prinsip double standard apabila membenarkan satu pihak merujuk kepada Afidavit yang difailkan dalam permohonan lain didalam tindakan yang sama tanpa pihak tersebut memberi notis niat untuk menggunapakai Afidavit tersebut WALHAL dalam masa yang sama menolak untuk menerima pakai Afidavit yang sepertinya apabila dirujuk oleh pihak yang satu lagi.

(xxiv) Sama ada dalam permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Mahkamah boleh mendengar dan mempertimbangkan isu yang tidak dibangkitkan dan/atau dinyatakan dalam Afidavit yang difailkan dibawah permohonan pembatalan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan tersebut.

Hujahan untuk soalan (xxii), (xxiii) dan (xxiv)

[50] Adalah jelas bahawa Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicaranya secara salah dan berat sebelah. Isu sama ada Mahkamah Tinggi boleh menggunakan budi bicaranya keatas satu pihak dan dalam masa yang sama tidak menggunakannya keatas pihak yang lain, adalah satu isu undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

[51] Mahkamah Tinggi juga telah mempertimbangkan isu yang tidak pernah dibangkitkan dalam afidavit yang difailkan, bertentangan dengan prinsip undang-undang yang matan.

[52] Mahkamah Rayuan pula menerima keputusan tersebut.


Kepentingan Awam

[53] Kes ini adalah secara jelasnya memerlukan hujahan lanjut di Mahkamah Persekutuan yang mana satu keputusan akan memberi manfaat kepada kepentingan awam seperti berikut:-

53.1 Adalah menjadi kepentingan awam untuk mengetahui secara jelas kausa tindakan yang mana yang boleh dituntut di Mahkamah dan bagaimanakah cara yang sebaiknya untuk memulakan tindakan.

53.2 Walaupun kes Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan kes Bandar Builder telah menggariskan sebelum ini tentang perkara yang perlu diplidkan didalam Pernyataan Tuntutan untuk membolehkan sesuatu kausa tindakan boleh dikemukakan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes ini telah menambah banyak kriteria baru yang belum pernah dibangkitkan sebelum ini.

53.3 Hujahan lanjut tentang kedudukan undang-undang yang sebenar tentang kausa tindakan dan fakta material yang perlu diplidkan adalah bermanfaat untuk kepentingan awam.

53.4 Tambahan pula, Pemohan dalam kes ini sekiranya tidak dibenarkan merayu ke Mahkamah Persekutuan akan disepikan haknya secara keseluruhannya untuk menuntut haknya di Mahkamah Kehakiman.

53.5 Kes ini mempunyai kepentingan awam di mana hujahan lanjut dan suatu penghakiman dari Mahkamah Persekutuan akan mendatangkan manfaat kerana kepentingannya kepada pihak-pihak yang terlibat apabila sesuatu pilihanraya umum diadakan termasuk kepada semua parti politik yang bertanding, subkontraktor-subkontraktor yang terlibat, para pengundi dan seluruh penduduk Malaysia amnya.

53.6 Pertikaian di antara Pemohon (Plaintif di Mahkamah Tinggi) dan Responden (Defendan di Mahkamah Tinggi) merupakan suatu kes ujian dan terdapat prospek sebenarnya bahawa kes-kes yang serupa akan difailkan di seluruh Malaysia. Perkara ini adalah benar dan jelas kerana tindakan Pemohon di Mahkamah yang mulia ini adalah terhadap suatu parti politik yang terbesar yang mendapat mandat oleh rakyat Malaysia untuk memerintah negara ini. Tambahan pula, tindakan tersebut berkaitan dengan pilihanraya dan peruntukan di bawah Akta Pilihanraya. Maka perkara ini adalah perkara yang baru dan sudah tentu perkara ini merupakan kepentingan awam yang boleh mendatangkan manfaat secara umum dan khusus samada kepada subkontraktor-subkontraktor yang terlibat, para pengundi dan seluruh penduduk Malaysia.

53.7 Sekiranya diperhatikan di dalam Afidavit yang pernah dibuat oleh Responden sebelum ini, Responden sendiri pernah menyatakan bahawa kes ini mempunyai kepentingan awam (muka surat 103 eskhibit ‘SIB-3’, di perenggan 8.3). Adalah menjadi suatu kes ujian dan terdapat prospek yang besar dan bermanfaat bahawa kes-kes yang serupa akan difailkan di seluruh Malaysia. Pemohon amat percaya bahawa kajian terkini menunjukkan tiada kes seumpama ini sebelum ini samada dari segi persoalan undang-undang atau fakta-fakta material pernah mengalamatkan isu-isu sebegini.

Kes Prima Facie untuk rayuan

[54] Pemohon mempunyai kes Prima Facie rayuan atas perkara yang telah dihujahkan sebelum ini terutamanya tentang kedudukan prinsip Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan pengaplikasian Seksyen 71 Akta Kontrak 1950.

[55] Tambahan pula, terdapat pelbagai prinsip-prinsip undang-undang yang matan yang diabaikan oleh Mahkamah dalam membuat keputusan.

Kesimpulan
[56] Terdapat soalan-soalan yang layak untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes ini.

[57] Kes ini memerlukan hujahan lanjut yang mana keputusannya akan memberi manfaat kepada kepentingan awam.

[58] Telah berlaku prasangka dan ketidakadilan kepada Pemohon dalam kes ini apabila Mahkamah telah gagal mengaplikasikan prinsip undang-undang dengan betul. Situasi yang malang ini perlu diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan.

[59] Pemohon akan diprejudiskan dengan seriusnya sekiranya kebenaran merayu ditolak. Sudahlah hak Pemohon untuk didengar dinafikan apabila tindakan ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi. Peluang Pemohon untuk mengemukakan bukti-bukti dalam bentuk dokumen-dokumen, surat-menyurat, invois-invois, delivery order, gambar-gambar, video dan sebagainya juga telah dinafikan hanya atas pendapat Mahkamah bahawa fakta material tidak diplidkan.

[60] Mahkamah seolah-olah tidak memberi peluang langsung untuk Pemohon mendapat hak didengar apabila Mahkamah gagal melaksanakan budi bicaranya untuk mengarahkan pindaan dibuat keatas pliding yang kononnya cacat.

[61] Oleh yang demikian, kami dengan rendah dirinya memohon satu perintah seperti dipohon dalam Notis Usul yang difailkan disini.


Bertarikh pada 17 haribulan Ogos, 2010.


Disediakan oleh;


………………………………
Peguambela bagi Pemohon
Tetuan Termizi & Co.




No comments: