Thursday, October 22, 2009

Ketepi nama suami dalam wasiat

Soalan:

Saya sudah bernikah selama tiga tahun dan belum dikurniakan zuriat. Saya mempunyai sedikit harta dan wang simpanan.

Hubungan saya dengan suami agak dingin kerana dia tidak bertanggungjawab.

Dia tidak pernah memberi nafkah (zahir) kepada saya selama saya hidup bersamanya (hatta sehelai sapu tangan pun tidak pernah dibelikan untuk saya).

Malah dia pernah mencuri wang simpanan saya. Dia juga mengaku pernah berzina dengan wanita lain. Segala kelengkapan rumah, termasuk sewa rumah dan barang dapur, dibiayai oleh saya kerana suami lepas tangan dalam hal begini.

Disebabkan itu saya mengambil keputusan (menulis wasiat) melalui Amanah Raya dengan mewasiatkan rumah saya pada ibu dan simpanan serta lain-lain harta saya kepada adik perempuan saya (saya tiada saudara lelaki) untuk menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Soalan saya, jika saya meninggal dunia:

1. Adakah suami saya berhak ke atas harta saya walaupun saya sudah wasiatkan pada ibu dan adik?

2. Adakah berdosa jika saya mengharamkan suami mengambil harta saya (disebabkan sikap tidak bertanggungjawabnya pada saya)?

3. Adakah wasiat saya itu boleh diguna pakai walaupun saya tidak mengikut hukum faraid?


AIDA
Alor Setar, Kedah




Jawapan Dr. Mashitah:

Seorang suami tetap mempunyai haknya terhadap harta isteri. Wasiat yang ditinggalkan mestilah wasiat yang baik supaya penerima wasiat yang layak menerima tidak dizalimi dan dianiayai dengan wasiat yang memudaratkan.

Bagaimanapun, harta puan boleh dibahagikan pada harta sepencarian dan harta puan sendiri dulu. Harta milik puan boleh diwasiatkan pada ibu dan adik.

Jika suami berhutang nafkah dengan puan, hendaklah dimaklumkan dulu supaya dia menjelaskan hutangnya sebelum dia boleh mendapat bahagian harta berkenaan. Harus bagi orang Islam meniggalkan wasiat sebelum mati.

Jika sudah ada wasiat yang tidak memudaratkan, maka yang terpakai ialah wasiat dan bukan faraid. Sebaik-baiknya selesaikan masalah puan bermula sekarang.

Jika suami langsung tidak bertanggungjawab, puan boleh menuntut hak puan dulu di mahkamah sebelum dia menuntut hak suami bila puan meninggal dunia nanti. Dengan cara ini puan ada hak untuk menuntut suami membayar hutangnya terlebih dulu pada puan.

Sumber: Metro Ahad 18hb Oktober, 2009, m/s: 16


No comments: