Oleh Khairul Anuar Abdul Samad (Berita Harian)
KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas semalam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini, bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM5.8 juta daripada Felcra Berhad (Felcra) atas dakwaan menceroboh tanahnya sejak 28 tahun lalu. Suri rumah dari Kampung Mengkeleh, Pasir Puteh, Kalthum Mt Amin, 61, memfailkan saman itu menerusi peguamnya, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen daripada Tetuan N M Amin & Associates. Nik Mohamad Anuar berkata, Felcra menceroboh tanah milik plaintif yang sah tanpa mendapat kebenaran sejak 1979 membabitkan dua lot tanah seluas kira-kira 0.7 hektar.
Plaintif adalah pemilik sah kedua-dua lot tanah itu di Mukim Telipot, Kampung Baring, Pasir Puteh dan defendan bertindak memajukan tanah itu tanpa kebenaran. "Defendan bertindak membina bangunan pejabat Felcra, dua unit rumah peneroka dan selebihnya dimajukan sebagai kebun tanaman koko," katanya selepas memfailkan saman itu, semalam. Nik Mohamad Anuar berkata, berikutan pencerobohan defendan itu, plaintif menuntut ganti rugi am mulai 1979 hingga 2007 sebanyak RM100,000 setahun berjumlah RM2.8 juta.
Di samping itu katanya, plaintif turut menuntut ganti rugi am RM200,000 setahun bermula 2008 hingga penyelesaian sepenuhnya kes ini atau bakal ditaksirkan mahkamah nanti. "Plaintif juga menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta selain memohon injuksi mandatori supaya defendan mengosongkan tanah itu dalam masa tiga bulan dari tarikh perintah saman dikeluarkan. "Plaintif juga memohon perintah injuksi mandatori supaya defendan merobohkan keseluruhan binaan kekal atas tanah itu dan membersihkan keseluruhan tanah dengan kos ditanggung defendan. "Selain itu, plaintif juga menuntut ganti rugi khas berjumlah RM30,000 serta faedah pada kadar lapan peratus di atas ganti rugi am dan ganti rugi teladan dari tarikh writ saman difailkan sehingga penyelesaian sepenuhnya," katanya.
Nik Mohamad Anuar berkata, plaintif sudah beberapa kali berjumpa dengan pegawai Felcra di Teratak Batu, Pasir Puteh dan Kota Bharu untuk membuat tuntutan pampasan dan ganti rugi sejak 1980. "Plaintif dikatakan dua kali berjumpa dengan defendan di pejabat Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh dan Kota Bharu tetapi tidak mendapat layanan memuaskan," katanya. Beliau berkata, plaintif sebelum ini pernah menghantar notis kepada defendan melalui Tetuan Zamri Anuar & Norsiah pada 7 September tahun lalu untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai perkara itu. Plaintif bertindak melantik peguam itu bagi mendapat penjelasan terhadap pencerobohan tanah miliknya itu, namun defendan gagal memberi jawapan bagi menyelesaikannya. "Malah Felcra bertindak menangguhkan notis tuntutan yang dikeluarkan sehingga sekarang," katanya.
- Peguam yang mewakili plaintif adalah kawan saya semasa menuntut di UIAM. Satu lagi kes saman yang melibatkan badan kerajaan, juga di Kelantan, selain kes Felda.
No comments:
Post a Comment