Monday, January 2, 2012

Si Mati Tiada Adik Beradik Kandung Lelaki, Tiada Ibu Ayah, dan Tiada Anak Isteri

Soalan: 

Abang saya meninggal dunia dan meninggalkan waris-waris seperti berikut:

Ibu dan ayah telah meninggal dunia sebelum Abang. Kami adalah 5 orang adik beradik kandung. Hanya Abang yang lelaki dan kami semua 4 orang perempuan. Walau bagaimanapun, kami ada 2 orang lagi adik beradik seibu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

Abang saya tak pernah berkahwin, jadi arwah Abang tiada isteri dan anak.

Bagaimana pengiraan pusaka bagi harta arwah Abang saya?

Jawapan:

Ini agak menarik untuk saya kongsikan kerana agak jarang berlaku.

Waris yang berhak, pertamanya ialah 4 orang adik beradik kandung. Memandangkan semuanya perempuan (Saudara SeIbu SeBapa Perempuan-SIBP), bahagian mereka ialah 2/3 bahagian. Jika seorang sahaja SIBP, bahagian yang seorang itu ialah 1/2 bahagian.

Seterusnya adik beradik seibu. Adik beradik seibu, walaupun mereka ini bergabung lelaki dan perempuan, mereka tidak dikira sebagai 'asabah. Pembahagian mereka adalah dibahagi sama banyak, BUKAN secara ta'sib (secara ta'sib bermaksud lelaki 2 bahagian, dan perempuan 1 bahagian). Oleh sebab Saudara SeIbu (SI) melebihi seorang, bahagian mereka ialah 1/3 bahagian. Jika seorang sahaja SI, bahagian yang seorang tadi ialah 1/6.

Jadi, pembahagian asal faraid adalah sebagaimana berikut:

4 SIBP = 2/3 bahagian (dibahagi sama banyak antara 4 orang)
2 SI      = 1/3 bahagian (dibahagi sama banyak antara 2 orang)

Setelah ditashihkan, pembahagian akhir adalah sebagaimana berikut:

4 SIBP = 4/6 bahagian (setiap seorang mendapat 1/6 bahagian)
2 SI      = 2/6 bahagian (setiap seorang mendapat 1/6 bahagian)

Wallahu a'lam.

No comments: