Wednesday, July 20, 2011

Membela pesalah di mahkamah?

Pendahuluan

Isu membela seseorang yang melakukan kesalahan memang selalu ditimbulkan. Ramai yang beranggapan bahawa kerjaya seorang peguam adalah kerjaya yang terdedah kepada penipuan kerana seorang peguam akan sanggup berhujah apa sahaja termasuk menipu demi melepaskan anak guamnya daripada kesalahan (terutamanya kesalahan jenayah).

Walau bagaimanapun, ada pula beberapa pendapat yang mengatakan bahawa seorang itu tetap tidak bersalah sehinggalah dia didapati bersalah. Tambahan pula, kita tidak boleh terus menghukum seseorang itu bersalah berdasarkan pengakuannya sahaja sedangkan kita belum meneliti fakta kes dari semua aspek yang lain.

Adakah benar seorang peguam muslim yang beretika boleh membela semua anak guam mereka walaupun mereka itu telah melakukan jenayah. Apakah pendirian sebenar yang perlu diamalkan oleh seorang peguam muslim supaya tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-An`am ayat 68 dan dalam masa yang sama tetap terus memperjuangkan kaedah perundangan (maxim) bahawa seseorang itu tetap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bahawa dia bersalah.

Pengakuan Bersalah

Isu pertama yang perlu kita fahami ialah tentang isu pengakuan bersalah daripada seorang klien. Apabila seorang klien telah mengaku bersalah, adakah pengakuan bersalahnya itu boleh terus diterima bahawa dia telah melakukan kesalahan seperti yang diakuinya itu. Adakah perlu seorang peguam itu terus meninggalkan klien tersebut atas alasan tidak mahu bersekongkol untuk membela penjenayah?

Perlu kita fahami bahawa pengakuan bersalah tidak semestinya bermaksud klien tersebut telah melakukan kesalahan sebagaimana yang diikrarkannya itu. Perlu disiasat terlebih dahulu tentang pengakuan tersebut untuk memastikan bahawa klien tersebut benar-benar memahami pengakuan dan kesan pengakuannya itu.

Sebab itulah jika kita lihat sebagai contohnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah menolak pengakuan Ma`iz bin Malik yang mengaku berzina sehinggalah pengakuan tersebut dibuat sebanyak empat kali. Selepas itu, barulah baginda Nabi s.a.w. meneruskan siasatan terhadap Ma`iz dengan memastikan bahawa Ma`iz waras dan siuman semasa pengakuan tersebut dibuat. Dan hanya setelah itulah penghakiman ke atasnya dibuat.

Ini bermaksud bahawa pengakuan per se (sahaja) tidak mencukupi untuk meyakini bahawa seseorang itu bersalah dan tidak layak untuk dibantu atau dibela.

Seseorang Tidak Bersalah Sehinggalah Dibuktikan Bersalah

Oleh hal yang demikian, timbullah kaedah perundangan (legal maxim) iaitu asal seseorang itu adalah terpelihara daripada tanggunggan. Bermaksud bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah.

Beban Pembuktian Terletak Keatas Pendakwa

Secara umumnya, tanggungjawab untuk membuktikan bahawa seseorang itu bersalah adalah terletak di bahu pendakwa berdasarkan maksud hadis Nabi s.a.w. bahawa keterangan pembuktian adalah dibebankan ke atas pendakwa dan sumpah penafian ke atas tertuduh sekiranya pendakwa gagal membawa keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh.

Menyembunyikan Fakta

Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa seseorang peguam adalah dilarang untuk menyembunyikan fakta dan keterangan yang diperolehi hasil siasatan dan pengamatannya bagi membela anak guamnya itu. Pastinya agak sukar bagi seseorang peguam untuk mendedahkan keterangan yang tidak menyebelahi anak guamnya demi kebaikan anak guamnya. Inilah yang selalunya berlaku.

Allah s.w.t. mengharamkan seorang saksi enggan menjadi saksi dalam pembelaan keadilan sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:

“Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.”

Jadi, jika seseorang peguambela itu berusaha untuk menyembunyikan keterangan yang benar bagi mengelakkan anak guamnya disabitkan kesalahan bolehlah dikatakan berlaku zalim.

Mungkin ada yang berhujah bahawa tugas untuk menentukan sama ada seseorang tertuduh itu bersalah atau tidak adalah tugas hakim. Tetapi, cuba bayangkan mana mungkin seseorang hakim akan mampu untuk menjatuhkan hukuman yang adil jika peguambela itu sendiri pada peringkat awalnya tidak membantu mahkamah untuk mendedahkan fakta sebenar sesuatu kes. Pada masa tersebut, tanggungjawab untuk mendedahkan kebenaran adalah terletak pada bahu peguambela.

Menegakkan Keadilan

Perlu difahami dengan jelas maksud sebuah hadis Nabi s.a.w. seperti di bawah:

“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk aku selesaikan, dan mungkin sebahagian kamu lebih cekap berhujah dari sebahagian yang lain, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar sahaja. Barangsiapa yang telah aku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak orang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), maka janganlah kamu mengambilnya. Sesungguhnya itu akan menjadi sepotong daripada api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, dan lain-lain).[1]

Amat jelas dalam hadis ini bahawa tindakan seorang peguam berhujah membantu seorang pesalah adalah salah di sisi Islam dan dikira melayakkan dirinya untuk dibakar oleh sepotong api neraka.

Hadis di atas telah jelas membawa satu prinsip iaitu kita sama sekali tidak boleh menyebelahi mereka yang salah walau atas nama profesion, kaum, parti, keluarga, dan sebagainya. Hal ini adalah jelas dengan antara lainnya dalil-dalil yang berikut:

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Rasulullah s.a.w. juga ada menegaskan tentang prinsip keadilan tanpa mengira bangsa, kaum, dan keluarga sebagaimana hadis berikut:

“Sesungguhnya kaum sebelum kamu menjadi hancur disebabkan apabila mereka yang berkedudukan mencuri, mereka melepaskannya, tetapi jika orang biasa (lemah kedudukannya) mencuri dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya (menjatuhkan hukuman sebagaimana yang lain). (Riwayat al-Bukhari).

Penutup

Kesimpulannya, memanglah seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Dan pengakuan daripada seorang klien tidak boleh terus diterima. Seorang peguam syarie yang beretika hendaklah terlebih dahulu menyiasat fakta kes secara terperinci dan seadil-adilnya. Kepercayaan kepada klien hendaklah diberi 100% dalam hal ini. Tanggugjawab lain untuk mencari bukti atau keterangan bagi mendakwa klien tersebut memang terletak atas bahu pendakwa.

Walau bagaimanapun, sekiranya setelah siasatan dibuat oleh seseorang peguam, dia hendaklah berlaku adil dengan tidak menyembunyikan fakta yang benar yang telah dia perolehi. Ini adalah kerana tanggungjawab asal seorang peguam ialah bagi membantu mahkamah mencapai keadilan dalam memutuskan hukuman. Mana mungkin seorang hakim dapat memutuskan hukum secara adil jika peguam itu sendiri yang menyembunyikan kebenaran atas nama profession atau hubungan istimewa antara peguam dan klien.

Berlaku adil adalah tujuan utama dalam sesuatu tindakan. Demi keadilan anak guam itu sendiri, dia hendaklah dihukum seadilnya bagi menghapuskan dosanya di dunia ini supaya dia juga terlepas hukuman di akhirat. Konsep menasihati klien supaya insaf dan bertaubat juga penting bagi seorang peguam muslim yang beretika. Memohon mitigasi adalah tidak salah asalkan tiada fakta yang disembunyikan dan ini pastinya amat membantu mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang adil bagi semua pihak-pihak yang terlibat. Menegakkan keadilan inilah tugas sebenar seorang peguam syarie yang beretika yang sepatutnya dihormati dan disanjungi oleh masyarakat awam sekeliling.

Wallahua’lam.




[1] Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no. 3920.

4 comments:

Abu Hamki said...

Askm En Tarmizi.

saya seorang pelajar undang-undang IPTS. Apa pendapat Tuan sekiranya peguam uruskan transaksi melibatkan pinjaman berunsur riba. Sekiranya boleh, apakah asbab/alasan yang membolehkannya. Mohon Pandangan.

Abu Hamki

Termizi said...

Jawapan terhadap soalan ini ada dlm web Ustaz Zaharuddin; http://www.zaharuddin.net/kerjaya/281-hukum-kerja-peguam-saksi-penjamin-pinjaman-bank.html

TQ.

Puan zara said...

Mohon pandangan pihak tuan..jika sekiranya saya mendakwa orang ketiga yang membuat hubungan sulit dengan suami saya sedangkan suami saya sendiri berlaku curang dengan rela hatinya adakah dakwaan saya itu kukuh dan saya boleh menyaman perempuan tersebut?

Termizi said...

Puan Zara,

Puan perlu faham antara kesalahan sesama manusia (sivil) dengan kesalahan terhadap negara (jenayah).

Kesalahan melakukan perbuatan curang atau jika ini dimaksudkan sebagai perbuatan zina adalah kesalahan antara orang tersebut dengan Tuhannya dan jika ada undang-undang yang melarang perbuatan tersebut, ia adalah kesalahan antara pelakunya dengan negara/negeri tersebut.

Dalam kes zina, negara tak sebut ia sebagai satu kesalahan. Sebab itulah kesalahan zina tiada dalam penal code (kanun keseksaan). Cuma di setiap negeri terdapat Enakmen Jenayah Syariah yang meletakkan zina sebagai satu jenayah antara pembuatnya dengan kerajaan negeri tersebut.

Jadi, jika Puan dapat tahu bahawa suami Puan berzina, tanggungjawab Puan hanyalah melaporkan kepada Pegawai Penguatkusa Agama dan seterusnya tanggungjawab Pendakwa Syarie untuk membuat pendakwaan.

Tidak pernah berlaku seseorang menyaman seseorang yang lain (atas kapasiti saman sivil) terhadap kesalahan jenayah seseorang. Contohnya, mangsa curi tak pernah saman pencuri atas kerugiannya. Pencuri didakwa pendakwaraya dan disumbat dalam penjara jika sabit kesalahan. Kerugian mangsa curi, kalau ada insuran bolehla tuntut, kalau tiada, tiada apa-apa pampasan diberikan.

Begitu juga dalam kes orang ketiga berlaku curang dengan suami Puan. Tidak pernah ada saman-meyaman berlaku.

Saya pun kurang jelas dengan makna curang di sini. Jika ia hanya kesalahan moral, tak sampai ke peringkat zina, lagilah susah nak saman-menyaman.

Bagi saya tak perlu saman-menyaman sebab mereka buat suka sama suka. Ambillah langkah untuk berpisah dengan suami dengan cara yang terbaik.

Ataupun jika si suami sudahpun benar-benar insaf, Puan fikirlah sendiri...