Monday, April 11, 2011

Kebolehterimaan Rakaman Video Sebagai Bahan Bukti di Mahkamah Syariah Malaysia


Hari ini ramai yang berbual-bual mengenai rakaman video CCTV yang dikatakan mirip kepada tokoh pembangkang Negara yang mengandungi adegan seks dengan seorang pelacur. Lahirlah pelbagai pandangan sama ada dari mereka yang jahil atau yang berilmu, atau dari mereka yang berlagak pandai. Ada yang benar-benar faham, dan ada juga yang salah faham, dan ada juga yang tidak faham langsung. Ada banyak juga pendapat yang bersandarkan emosi atau perasaan dendam atau bermotifkan politik semata-mata tanpa hujah yang kukuh.

Berikut ialah pandangan peribadi penulis sebagai seorang pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang Syariah mengenai isu tersebut di atas.

Pertamanya, apa yang perlu kita perlu faham ialah tentang isu kebolehterimaan (admissibility) rakaman video sebagai bahan bukti mengikut undang-undang keterangan Islam (Islamic law of evidence). Rakaman video memanglah satu perkara baru yang tidak terdapat pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Walau bagaimanapun, sifat Syariah Islam itu yang sentiasa boleh menerima sebarang perubahan dalam perkembangan zaman menjadikan isu rakaman video bukanlah satu isu yang baru.

Telah ramai ulama’ membincangkan isu rakaman video sebagai salah satu bahan pembuktian di mahkamah. Secara kesimpulannya, bolehlah penulis katakan bahawa rakaman video boleh dikategorikan sebagai documentary evidence atau disebut juga sebagai kitabiah iaitu salah satu kategori dalam pembahagian undang-undang keterangan Islam.

Seksyen 3(1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (selepas ini disebut sebagai “AKMS (WP)”) mentakrifkan dokumen sebagai:

“any matter expressed, described, or howsoever represented, upon any substance, material, thing or article, including any matter embodied in a disc, tape, film, sound track or other device whatsoever, by means of-

(b) any visual recording (whether of still or moving images).”

Di dalam ilustrasi dinyatakan lagi secara jelas sebagaimana berikut:

A photographic or other visual recording, including a recording of photographic or other visual transmission over a distance, is a document.”

Walau bagaimanapun, apa yang pasti ialah rakaman video, walau bagaimana canggih dan tulen sekalipun, tidaklah boleh dapat menandingi dua kategori pembuktian yang paling tinggi tahap kebolehterimaannya di sisi undang-undang Islam iaitu pengakuan (ikrar), dan kesaksian (syahadah). Oleh hal yang demikian, dalam kategori undang-undang Jenayah Islam yang melibatkan kesalahan yang berkaitan dengan hudud seperti kesalahan zina, yang memerlukan tahap pembuktian sehingga kepada tahap yakin tanpa sebarang bayangan keraguan (beyond any shadow of doubt), hanya keterangan-keterangan yang berdasarkan pengakuan, dan kesaksian sahaja yang diterima oleh Islam.

Ini bermaksud bahawa rakaman video tidaklah cukup kuat untuk memberi keyakinan yang mencapai tahap yang diperlukan dalam pembuktian untuk kes-kes yang termasuk dalam kategori jenayah hudud. Terdapat pelbagai autoriti/nas dalam hal ini antaranya ialah hadis Nabi s.a.w. yang popular iaitu hudud itu ditolak apabila adanya keraguan (syubhat).

Jadi, dalam isu video seks mirip tokoh pembangkang ini, ada pandangan yang mengatakan bahawa pihak yang mendakwa hendaklah hanya boleh membuktikan pendakwaannya dengan mengemukakan empat (4) orang saksi Islam lelaki yang adil bagi menyokong dakwaan mereka bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan hubungan seks di luar nikah secara sukarela. Kecualilah jika adanya pengakuan daripada yang tertuduh (yang sampai mati pun mungkin tidak akan mengaku), mereka yang mendakwa adalah terdedah pula kepada kesalahan qazaf iaitu menuduh orang yang baik-baik melakukan zina tanpa membawa empat (4) orang saksi Islam lelaki yang adil, maka penuduh pula boleh dihukumkan dengan hukuman qazaf iaitu sebatan sebanyak lapan puluh (80) kali atas kegagalan membawa saksi sebagaimana yang disebutkan tadi. Sebab itulah menyembunyikan kejahatan adalah lebih baik sekiranya tiada keterangan yang mencukupi supaya pembawa berita tidak dituduh sebagai pembawa fitnah.

Apabila timbulnya pendapat seperti di atas, yang memang selari dengan pandangan Islam tentang pembuktian dalam jenayah hudud, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan sewenang-wenang mengatakan bahawa undang-undang Islam nampaknya tidak sesuai dengan situasi masa kini. Kononnya tidak sesuai dengan dunia moden hari ini. Mana mungkin dapat dikumpulkan empat (4) orang saksi Islam lelaki yang adil. Rakaman video yang tulen sepatutnya cukup dan memadai. Timbulnya kata-kata yang seolah-olah tidak meyakini tentang undang-undang Islam yang jelas tentang hal ini amatlah menyedihkan penulis. Dibimbangi kata-kata yang sebegini akan menjejaskan keimanan seseorang muslim kepada Allah s.w.t. lantaran kurang fahamnya tentang hukum-hakam Allah s.w.t.

Walau bagaimanapun, ingin penulis jelaskan di sini bahawa penulis tidaklah bersetuju 100% dengan pendapat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya boleh didakwa apabila adanya empat (4) orang saksi Islam lelaki yang adil yang menyaksikan hubungan kelaminnya dengan pasangan tanpa nikahnya barulah boleh beliau didakwa di mahkamah Syariah di Malaysia pada hari ini.

Penulis berpendapat bahawa jika pihak pendakwaan merasakan bahawa rakaman video yang diserahkan oleh Dato’ T (walaupun mungkin mereka semuanya saksi fasik[1]) kepada pihak polis sudahpun memadai jika cukup syarat-syaratnya sebagai bahan bukti, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang boleh didakwa di Mahkamah Syariah di Malaysia pada hari ini.

Ini adalah kerana Mahkamah Syariah di Malaysia pada hari ini tidaklah mengamalkan undang-undang hudud dalam erti kata yang sebenarnya. Apa yang ada hanyalah kesalahan hudud, tetapi hukuman hudud ternyata tiada. Kesalahan hudud dihukumkan dengan hukuman ta’zir menjadikan Mahkamah Syariah di Malaysia diakui tentang kegagalan pengamalan hukuman hudud. Kenapa dan mengapa jadi begini, bukanlah tujuan tulisan ini untuk menghuraikan isu ini. Mahkamah Syariah sendiri mengakui akan hakikat ini, contohnya ada dinyatakan di dalam penghakiman ke Nooraini binti M. Abdul Majid lwn. Pendakwa Syarie Negeri Melaka (2003) JH 16/2 117.

Jadi, jika hukuman ta’zir yang diamalkan di Malaysia, kenapa pula bersusah-payah hendak membuktikan sesuatu kesalahan sehingga ke tahap hudud. Apabila hukuman ta’zir yang diamalkan, pembuktian tahap kesalahan ta’zir sudah pun memadai. Jadi, rakaman video memang sudah memadai dan boleh diterima sebagai bayyinah[2] dan tidak perlu kepada pembuktian cara syahadah[3]. Dalam pembuktian jenis kesalahan ta’zir, sebarang keterangan boleh diterimapakai dan jelas seksyen 3(1) AKMS (WP) mentakrifkan keterangan sebagai:

“includes-

(a) bayyinah and syahadah;…

(c) all documents produced for the inspection of the Court: such documents are called documentary evidence;”

Cumanya apa yang penting sekarang ialah untuk memastikan supaya rakaman video itu tadi benar-benar mencukupi syarat seperti tulen, dan invidu yang terlibat adalah benar-benar boleh dikenalpasti tanpa keraguan yang munasabah (beyond any reasonable doubt). Jika terbukti bahawa video tersebut tidak tulen atau individu di dalamnya tidak dapat dikenal pasti atau terdapat keraguan-keraguan lain yang munasabah seperti lokasi dan tulisan-tulisan di dalamnya, rakaman video tersebut gagal mencapai tahap pembuktian yang diperlukan walaupun dalam kategori pelaksanaan hukuman ta’zir, maka ianya hendaklah ditolak. Terpulanglah kepada pendakwa Syarie untuk menilai bukti tentang hal ini dan seterusnya meneruskan pendakwaan atau tidak.

Jika pendakwa Syarie tidak membuat apa-apa pendakwaan, bagi penulis, ternyata bahan bukti adalah tidak mencukupi. Jika pendakwaan dibuat sekalipun, pastinnya tertuduh sentiasa innocent sehinggalah dibuktikan bersalah. Terpulang pula kepada Mahkamah Syariah untuk menilai berat keterangan (value the weight of evidence) yang diberikan oleh pihak pendakwa dan pembela.

Cakap-cakap kosong yang ada pada hari ini, penulis lihat tidak lebih daripada cakap-cakap politik yang banyak mengeruhkan isu berbanding perbincangan ilmiah yang sepatutnya semua pihak patut tekankan supaya isu ini sepatutnya boleh ditangani secara lebih berhikmah dan bijaksana. Rakyat pastinya dapat menilai sendiri sekiranya isu ini ditangani secara benar.

Yang pasti, mereka yang benar-benar salah sekalipun sepatutnya diadili secara betul, supaya keadilan terpancar dan bukannya menghukum sesedap mulut.

Wallahu a’lam.



[1] Saksi yang tidak adil juga layak untuk memberi keterangan di mahkamah Syariah atas kapasiti keterangan kategori bayyinah, cuma tidak layak atas kapasiti keterangan kategori syahadah. Ini dinyatakan dalam seksyen 83(3) AKMS (WP) yang menyebut: “A person who is not ‘adil is competent to give bayyinah but not competent to give syahadah.”

[2] Seksyen 3(1) AKMS (WP) mentakrifkan bayyinah sebagai “evidence which proves a right or interest and includes qarinah”.

[3] Seksyen 3(1) AKMS (WP) mentakrifkan syahadah sebagai “any evidence adduced in Court by uttering the expression “asyhadu” to establish a right or interest”.

No comments: