Sunday, February 13, 2011

Sulh

1. Maksud Sulh

Sulh menurut bahasa diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” atau “berbuat baik”. Manakala menurut istilah syara’ pula adalah “suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian”. Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah, al-Sheikh Nazzam dan Qadri Basha menerangkan sulh ialah akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan redha meredhai.

Ada juga yang merujuk sulh dalam terma yang lain iaitu mediasi. Mediasi boleh didefinisikan sebagai “proses di mana satu pihak (pihak ketiga atau mediator) membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama lain berunding dan mencapai penyelesaian secara damai”. Ini bermakna mediasi merupakan ‘perundingan secara terpimpin’ (assisted negotiation) secara langsung kepada pihak-pihak yang bertikai oleh mediator.

Dari segi undang-undang, di Negeri Selangor contohnya, tiada peruntukan yang mendefinisikan sulh dengan jelas. Namun demikian terdapat peruntukan mengenai sulh dan meletakkan bahawa sulh itu dalam suatu bentuk proses berdasarkan prosedur tertentu[1] yang digalakkan[2].

Berdasarkan definisi yang diberikan di atas, dapat disimpulkan bahawa sulh merupakan keputusan atau hasil dari suatu perdamaian atau persetujuan oleh pihak-pihak yang bertikai atau bersengketa hasil dari proses mediasi.

Manakala Majlis Sulh pula merupakan suatu proses perundingan terpimpin yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukkan oleh hukum syara’ dan undang-undang bagi tercapai sulh. Kaedah Sulh bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa malahan dapat menyelesaikan sesuatu pertikaian secara terbuka dan sukarela, bukannya melepaskan dendam.

Rumusan yang boleh diberikan mengenai pentakrifan sulh yang diamalkan di Mahkamah Syariah dari sudut undang-undang dan praktikalnya ialah, sulh merupakan suatu kaedah penyelesaian secara damai dan redha meredhai di mana pihak-pihak bertikai terhadap sesuatu tuntutan atau permohonan menghadiri satu proses perbincangan di dalam suatu majlis perundingan yang dipimpin secara rasmi, yang diatur oleh pegawai Mahkamah. Sebarang penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak akan direkodkan di hadapan hakim dan dijadikan suatu perintah di mana keputusan ini adalah mengikat.[3]

Jadi, secara mudahnya, sulh bermaksud menyelesaikan pertelingkahan secara damai. Secara asasnya, semua permasalahan yang timbul adalah lebih baik diselesaikan secara damai di antara pihak-pihak yang terlibat.

Kalau pada zaman dulu-dulu, proses sulh juga berlaku sama ada secara disedari atau tidak disedari. Kebiasaannya, apabila satu-satu pasangan menghadapi krisis dalam rumah tangga mereka, mereka akan mencari orang tengah dalam kalangan anggota keluarga mereka yang dihormati oleh pihak-pihak yang terlibat.

Segala masalah rumahtangga yang menjadi konflik antara suami isteri akan dibincangkan dan cadangan penyelesaian oleh orang tengah yang dilantik dan dipersetujui tadi akan diambil kira oleh pihak-pihak yang terlibat untuk menyelematkan rumah tangga mereka. Tetapi pada hari ini, oleh sebab semakin rapuhnya hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dalam masyarakat kita, praktis sebegini jarang berlaku, walaupun penulis tidak menafikan kewujudannya.

Oleh hal yang demikian, langkah mahkamah syariah yang mengambil kira prosedur sulh sebelum sesuatu kes kekeluargaan diteruskan di peringkat mahkamah adalah satu langkah yang harus di puji bagi mencari titik damai antara pasangan yang bertelingkah.

Dari segi prosedurnya, kita boleh katakan bahawa sulh ialah proses perdamaian di antara suami dan isteri di luar mahkamah kerana penyelesaian dibuat sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah.

Islam memang menitikberatkan perdamaian selagi mana ianya tidak menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Perdamaian (sulh) atau kompromi adalah perkara harus antara orang-orang Islam, kecuali sulh untuk menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal.”[4]

Sudah pasti kompromi bagi menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal adalah tidak dibenarkan. Dan selain daripada itu, apa sahaja yang dipersetujui dalam majlis sulh adalah dibenarkan oleh Islam.

Dan apabila pihak-pihak yang bertikai tadi sudahpun bersetuju dengan janji mereka, mereka adalah terikat dengan janji mereka itu. Tidak sepatutnya mereka memungkiri terhadap apa yang telah mereka persetujui sebelumnya. Sebab itulah, apa yang dipersetujui oleh pihak-pihak dalam majlis sulh akan diendorskan sebagai satu perintah persetujuan oleh hakim dan mana-mana pihak yang meningkarinya boleh disabitkan sebagai mengingkari perintah mahkamah dan tindakan pelaksanaan perintah boleh diambil kepada pihak yang mungkir.

Antara asas lain dalam pelaksanaan sulh adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:

“Dan jika seseorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya maka tidaklah salah bagi mereka (suami/isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai)”.[5]

Konsep sulh ini telah diterima dan dikanunkan di Negara kita. Sebagai contohnya di dalam Seksyen 99 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 yang berbunyi:

“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh untuk menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak.”[6]

Antara kes-kes yang boleh diselesaikan mengikut kaedah sulh ialah seperti berikut:

(i) Mut’ah;

(ii) Nafkah tertunggak;

(iii) Hutang maskahwin;

(iv) Hadhanah (hak penjagaan anak);

(v) Mengubah perintah;

(vi) Kembali taat;

(vii) Nafkah ‘iddah;

(viii) Harta sepencarian;

(ix) Hal-hal yang difikirkan munasabah;

(x) Tuntutan nafkah anak;

(xi) Permohonan pelaksanaan perintah mahkamah; dan

(xii) Wali enggan.[7]

2. Matlamat Sulh

Antara matlamat-matlamat sesuatu majlis sulh diadakan adalah sebagaimana berikut:

(i) Membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka melalui perundingan secara damai;

(ii) Membantu pihak-pihak menyelesaikan kes mereka dengan cepat dan teratur;

(iii) Membantu mahkamah mempercepatkan penyelesaian kes; dan

(iv) Mengurangkan kadar kes tertunggak di mahkamah.[8]

Antara matlamat lain yang boleh terhasil daripada konsep sulh juga ialah dapat menghilangkan perasaan dendam di hati pihak-pihak yang bertelagah dan akan dapat mengukuhkan tali perhubungan di antara mereka, lebih-lebih lagi perhubungan di antara keluarga sekiranya berlaku perselisihan di antara anggota keluarga.[9]

‘Umar bin al-Khattab seorang yang dikenali pakar dalam penghakiman Islam telah mengingatkan para hakim supaya berusaha semaksima mungkin untuk menganjurkan sulh. Diriwayatkan bahawa Umar telah berkata:

“Hendaklah disuruh mereka yang bertikai itu supaya membuat penyelesaian sesama mereka secara damai, kerana jika diselesaikan secara kehakiman (berdasarkan keputusan hakim) akan menimbulkan perasaan benci dan dendam.”

Tidak dinafikan bahawa mahkamah boleh menyelesaikan pertikaian melalui hukuman yang wajib dilaksanakan dan dipatuhi. Namun demikian hukuman mahkamah tidak semestinya boleh menghapuskan dendam dan sakit hati atau memuaskan hati pihak-pihak bertikai.

Kemungkinan kes itu akan memihak kepada pihak yang bijak berhujah meskipun dia bukanlah orang yang berhak atas keputusan tersebut. Sebaliknya pihak yang satu lagi akan merasa kecewa walaupun dia meyakini kes itu tidak sepatutnya memihak kepadanya. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi jika pihak tersebut (yang menerima keputusan negatif) meyakini bahawa keputusan itu sepatutnya memihak kepadanya.

Kemungkinan ini ialah suatu yang boleh terjadi kerana keputusan hakim dibuat berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan. Boleh jadi keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan adalah palsu dan keputusan hakim yang dibuat berdasarkan keterangan yang telah dipalsukan akan merugikan pihak-pihak yang sepatutnya keputusan itu memihak kepadanya.

Kemungkinan juga keputusan itu diperolehi disebabkan oleh pihak yang satu lagi kurang teliti ketika mengemukakan hujah sehingga menyebabkan tuntutan atau rayuannya ditolak. Keadaan ini akan menambahkan lagi rasa benci, dendam dan ketidakpuasan hati kepada pihak yang merasa dirugikan dan seterusnya melebarkan lagi jurang permusuhan antara mereka. Hal-hal seperti inilah yang cuba dihindarkan oleh Islam.

Sesungguhnya penyelesaian secara sulh ini wajar digalakkan kerana adakalanya keputusan mahkamah tidak dapat memuaskan hati pihak-pihak yang terlibat. Sedangkan sulh adalah lahir dari perasaan tolak ansur dan reda meredai yang akhirnya membawa kepada penyelesaian secara muafakat. Penyelesaian secara sulh juga lebih tepat dalam mencapai keadilan kerana kedua-dua pihak lebih mengetahui tentang hak yang sepatutnya diperolehi. Prinsip mengutamakan sulh ini bukan sahaja digalakkan kepada mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan sahaja malahan kepada semua orang.[10]

3. Bagaimana Sulh Diuruskan

Pegawai Sulh perlu memberikan perhatian dan mematuhi prosedur sulh seperti yang termaktub di dalam Manual Kerja Sulh JKSM dan Pekeliling Ketua Hakim MSS 1/2002 (Kod Etika Pegawai Sulh dan Manual Kerja Sulh MSS), Pekeliling Ketua Hakim MSS 9/2002 [Bidangkuasa Pegawai Sulh (Hakim)], Arahan Amalan JKSM 3/2002 (Pemakaian Sulh), Arahan Amalan JKSM 7/2002 (Cara Menyimpan dan Melupuskan Catatan Pegawai Sulh) dan Arahan Amalan JKSM 8/2002 (Prosedur Penyerahan Notis Sulh). Prosedur sulh bermula dari pendaftaran dan akan berakhir hingga selesai kes tersebut di mahkamah.[11]

Prosedur Sulh adalah sebagaimana berikut:

  1. Ketua Pendaftar/Pendaftar selaku Pengerusi Sulh akan menetapkan tarikh bagi Majlis Sulh melalui Notis Majlis Sulh yang akan dihadiri oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan tidak lewat daripada dua minggu sebelum penetapan tarikh sebutan kes.[12] Kegagalan mana-mana pihak di dalam Majlis Sulh boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah.[13] Ketua Pendaftar/Pendaftar boleh mengarahkan mana-mana Pegawai Sulh bertindak sebagai Pengerusi Sulh bagi sesuatu kes yang baru didaftarkan.

Perlu diketahui bahawa pihak-pihak yang hadir dalam majlis sulh tidak boleh diwakili oleh Peguam Syarie atau mana-mana orang tanpa kebenaran Pendaftar.[14] Ini adalah kerana supaya pihak-pihak tidak dipengaruhi oleh orang luar semasa mencari jalan damai. Dan ini pastinya menjimatkan masa dan kos pihak-pihak yang terlibat.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa pihak-pihak tidak boleh menggunakan khidmat nasihat guaman. Khidmat guaman memang diperlukan semenjak dari awal lagi supaya pihak-pihak memahami isu dan prosedur serta dapat mempersiapkan diri menghadiri majlis sulh tersebut.[15]

  1. Setelah kedua-dua pihak hadir di dalam Majlis Sulh, Pegawai Sulh akan menjalankan acara ta’aruf[16] ringkas dan menerangkan tujuan dan konsep Sulh kepada pihak-pihak hingga mereka benar-benar memahaminya. Di dalam majlis ta’aruf awal ini, pihak-pihak digalakkan mengemukakan sebarang persoalan sama ada berkaitan Hukum Syarak dan perundangan Undang-undang Keluarga Islam kepada Pegawai Sulh bagi membangkitkan kefahaman kedua-dua pihak.

  1. Setelah selesai ta’aruf awal, setiap pihak dibenarkan bercakap dan mengemukakan keterangan mengikut giliran. Proses ini memerlukan suasana tenang di antara pihak-pihak dan dijalankan dalam keadaan sopan. Pihak-pihak tidak dibenarkan menyerang peribadi pihak lawan. Sebelum majlis Sulh dimulakan, pihak-pihak diminta membuat akujanji mematuhi peraturan-peraturan ini.

  1. Setelah diadakan majlis sulh peringkat awal di atas, Pegawai Sulh akan menyusun dan mengurus maklumat yang diperolehinya bagi menentukan perkara-perkara berikut:

(i) Isu atau masalah yang perlu diselesaikan;

(ii) Kedudukan pihak-pihak yang bertikai;

(iii) Kepentingan mereka; dan

(iv) Alternatif (pilihan) penyelesaian.

Proses perbincangan bersama di antara pihak-pihak bertikai akan diadakan di dalam proses ini. Walau bagaimanapun, terpulang kepada keperluan Pegawai Sulh sama ada perlunya mengadakan pertemuan sebelah pihak bagi kepentingan pihak-pihak yang terlibat.

  1. Di akhir prosedur sulh, Pegawai Sulh akan memutuskan sama ada sulh yang dijalankan berjaya sepenuhnya ataupun tidak.[17] Sekiranya sulh berjaya, Pegawai Sulh akan menderaf satu Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak dan akan dikemukakan kepada Hakim untuk endorsement perjanjian tersebut sebagai suatu Perintah Persetujuan.[18] Hal ini sebagai contohnya sesuai dengan Aturan 6 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001, Seksyen 88 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Negeri Selangor) No. 7/1991 dan Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003.

Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003 menyatakan bahawa:

“Jika dengan persetujuan pihak-pihak sesuatu tindakan telah diselesaikan, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan persetujuan pihak-pihak itu merekodkan hakikat penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod penyelesaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matanya adalah sama”.

Bagi Majlis Sulh yang gagal baik sebahagiannya atau keseluruhannya akan dibawa ke hadapan Hakim untuk proses sebutan dan perbicaraan sebelum keputusan atau perintah dibuat oleh Hakim Bicara.[19]

4. Penutup

Keunggulan sulh sebagai kaedah dalam menyelesaikan pertikaian adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Berdasarkan data-data yang terkumpul, dan laporan-laporan media massa di Malaysia memperlihatkan hasil yang membanggakan dalam pengurusan kes-kes kekeluargaan di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Negara kita. Selain dari berjaya menangani masalah kes-kes tertunggak pelaksanaan kaedah ini juga dilihat mampu memberikan kepuasan hati kepada pihak-pihak yang bertikai, disamping beberapa faedah lain seperti pengurangan kos tanggungan oleh pihak-pihak bertikai. Adalah menjadi harapan semua, meskipun perubahan yang telah dilakukan kepada sistem yang digunapakai ini dapat mempermudah dan meringkaskan prosedur-prosedur kehakiman serta memberikan impak yang positif kepada pengurusan kes-kes kekeluargaan, dalam masa yang sama ia perlulah terus memastikan prinsip keadilan dapat ditegakkan.[20]


Bibliografi:

1. Ahmad Daud, 2011. Sulh dan Pelaksanaannya, Nota Undang-undang Prosedur Mal Islam.

2. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus, Brosur Unit Sulh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

3. Khairol Azri bin Saari, 2009. Prosedur Perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

4. Khairol Azri bin Saari, 2010. Unit Sulh. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

5. Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan Keberkesanannya Di Mahkamah Syariah Selangor.

6. Raihanah Azhari. 2004. Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam: Sorotan Terhadap Perkembangan Terkini Pelaksanaannya di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia. IsoIT.

7. Sisters in Islam, Proses Sulh-Bolehkah Ditemani Peguam, www.sisterisinislam.org.my

Senarai Statut:

  1. Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998
  2. Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991
  3. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
  4. Kaedah-kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1996
  5. Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001
  6. Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991


[1] Seksyen 88-91 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor (1999) dan Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[2] Seksyen 87 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor (1991) / Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

[4] Hadith riwayat Ibn Hibban.

[5] Surah An-Nisa’: 128. Lihat juga ayat-ayat yang lain contohnya Surah An-Nisa’: 114, Surah Al-Hujurat: 9.

[6] Lihat juga peruntukan-peruntukan yang lebih kurang sama contohnya dalam Seksyen 87 Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991, dan Seksyen 87 Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991.

[7] Lihat Khairol Azri bin Saari, Unit Sulh. 2010, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

[8] Lihat brosur Unit Sulh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus.

[9] Lihat Ahmad Daud, Sulh dan Pelaksanaannya, Nota Undang-undang Prosedur Mal Islam untuk pelajar-pelajar Kursus Diploma Lanjutan Undang-undang dan Amalan Syariah di Pusat Undang-undang Harun M. Hashim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), m/s. 1.

[10] Raihanah Azhari, Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam: Sorotan Terhadap Perkembangan Terkini Pelaksanaannya di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia, IsoIT 2004, m/s: 174.

[11] Lihat Siti Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan Keberkesanannya Di Mahkamah Syariah Selangor, m/s: 7.

[12] Walau bagaimanapun, jika di lihat pada Kaedah 3, Kaedah-kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1996, kaedah tersebut tidak menetapkan masa bagi pihak-pihak mengadakan sulh dan terpulanglah kepada budibicara Pendaftar untuk menentukan tarikh bagi pihak-pihak mengadakan sulh dan menyampaikan notis kepada mereka.

[13] Lihat sebagai contohnya di dalam Kaedah 4, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[14] Perkara ini dijelaskan sebagai contohnya di dalam Kaedah 5, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[15] Lihat Sisters in Islam, Proses Sulh-Bolehkah Ditemani Peguam, www.sisterinislam.org.my

[16] Ta’aruf bermaksud pengenalan, berasal daripada perkataan arab.

[17] Selalunya jika majlis sulh berjaya, laporan akan disediakan menggunakan kertas berwarna kuning, manakala bagi majlis sulh yang gagal, laporan akan disediakan menggunakan kertas berwarna putih.

[18] Lihat Khairol Azri bin Saari, Prosedur Perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah, 2009, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

[19] Lihat sebagai contoh, Aturan 7 dan 8 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[20] Raihanah Azhari, Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam, m/s: 189.


- Artikel di atas boleh dibaca dalam bentuk pdf dan dimuat turun di pautan berikut: http://www.docstoc.com/docs/71497990/Sulh-maksud-matlamat-and-prosedur

No comments: