Friday, April 30, 2010

Hujahan Elegant Advisory Sdn. Bhd. di Mahkamah Rayuan

RINGKASAN HUJAHAN PEMOHON

Latarbelakang

[1] Pemohon memfailkan tuntutan sebanyak RM218,013,475-00 kepada Responden, bagi pembekalan air mineral, peralatan-peralatan kempen pilihanraya seperti poster, baner, sepanduk, bendera, dan lain-lain sebagainya dan perkhidmatan pengangkutan (“Perkhidmatan & Barangan”). Perkhidmatan & Barangan tersebut telah digunakan oleh Responden bagi Pilihanraya Umum pada tahun 2004.

[2] Adalah dipersetujui bahawa Pemohon telah menghantar dan membekalkan Barangan melalui Nota Penghantaran. (muka surat 50-53 Rekod Perayu (“RP”) Jilid 3).

[3] Adalah dipersetujui bahawa Responden telah menggunakan barangan tersebut untuk faedah mereka.

[4] Adalah dipersetujui bahawa Pemohon telah melantik beberapa subkontraktor termasuk Percetakan Rina Sdn Bhd, Setia Kawan Printers Sdn Bhd, Art Printing Works Sdn Bhd dan NHK Transport & Warehouse Sdn Bhd (“Subkontraktor-subkontraktor terbabit”).

[5] Subkontraktor-subkontraktor terbabit telah memfailkan saman (Saman Mahkamah Tinggi No: S5-22-326-2005) (“Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit”) secara terus kepada Responden bagi menuntut sejumlah RM8,571,300-00 (muka surat 124 – 135 daripada RP Jilid 3). Responden telah menyelesaikan tuntutan tersebut, dan Subkontraktor-subkontraktor terbabit telah menarik balik saman terbabit.

[6] Adalah dipersetujui bahawa dalam Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit, Subkontraktor-suhkotraktor terbabit telah mengakui bahawa Pemohon telah diarahkan untuk mencetak, mengeluarkan, menyebarkan, dan menghantar Barangan kepada Responden, dan seterusnya Pemohon telah melantik beberapa subkontraktor termasuk Subkontraktor-subkontraktor terbabit. (perenggan 9 daripada Pernyataan Tuntutan pada muka surat 131 daripada RP Jilid 3).

Permohonan Pembatalan Saman

[7] Responden telah memfailkan permohonan bagi membatalkan saman mengikut Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tersebut.

[8] Oleh hal yang demikian, permohonan rayuan ini dipanjangkan ke Mahkamah Yang Mulia ini.

A. Kausa Tindakan Pemohon

[9] Pemohon mendakwa kewujudan kontrak dalam Pernyataan Tuntutan.

[10] Pemerhatian secara teliti pada Pernyataan Tuntutan akan membuahkan perkara-perkara berikut:-

10.1. Pada atau sekitar Mac 2004, Pemohon setelah diminta oleh Responden, telah memberikan dan/atau membekalkan Perkhidmatan & Barangan kepada Responden

(perenggan 3 dalam Pernyataan Tuntutan (”PT”) RP Jilid 1).

Perenggan ini sudah mencukupi bagi menunjukkan adanya kontrak lisan antara Pemohon dan Responden untuk memberikan dan/atau membekalkan Perkhidmatan & Barangan, dengan balasan pembayaran oleh Responden (“Perjanjian”).

10.2. Bagi memenuhi permintaan segera daripada Responden, Pemohon telah melantik beberapa kontraktor untuk menghasilkan barangan yang diperlukan.

(perenggan 4 pada PT, RP Jilid 1)

Ini menunjukkan adanya tindakan yang diambil oleh Pemohon sebgaimana yang diminta dalam Perjanjian.

10.3. Responden telah menerima Perkhidmatan & Barangan yang telah diberikan dan/atau dibekalkan oleh Pemohon dengan mengaku terima Nota-nota Penghantaran (muka surat 50-53 Rekod Perayu (“RP”) Jilid 3)

Kewujudan kontrak dan pertalian

[11] Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila memutuskan bahawa:-

Applying the law to the statement of claim and the affidavit evidence relevant to the striking out application, it is evident that paragraph 3 of the statement of claim does not include material facts necessary to establish a viable legal right enforceable against the Defendant, in contract. This paragraph:-

1. does not plead the existence of an agreement;

2. does not indicate whether the agreement (if any) was made orally or writing and if, in writing, identify the contract; if oral, identify the parties who concluded the contract; if concluded with the registered officer, then, the basis of his authority to conclude a contract of this amount;

3. does not stipulate the relevant terms relied upon by the Plaintiff so as to entitle it to obtain from the Court the particular remedy against the Defendant and, finally,

4. there is no mention of the consideration involved. In this respect, it must be borne in mind that the Plaintiff’s claim is for the price of goods and services purportedly rendered to the Defendant…”


(perenggan disusun semula bagi memudahkan rujukan)

[12] Dengan rasa rendah diri kami menyatakan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam merungkai perenggan 3 Pernyataan Tuntutan sebagaimana berikut:-

12.1. Perkataan “…atas permintaan dan arahan Defedan sendiri, Plaintif melalui ejen-ejennya, wakil-wakilnya dan/atau pengkhidmat-pengkhidmatnya telah membekalkan…” dan “…sebagaimana yang telah dipersetujui bersama antara Plaintif dan Defendan” dinyatakan secara jelas kewujudan perjanjian. Pesuruhjaya Kehakiman nampaknya telah mengabaikan frasa “dipersetujui bersama” yang secara jelas menunjukkan adanya persetujuan bersama.

12.2. Fakta bahawa perjanjian dibuat secara lisan boleh difahami daripada perenggan 3 itu sendiri. Memandangkan Pemohon tidak menyatakan secara jelas mana-mana dokumen yang menunjukkan adanya perjanjian, ia sepatutnya boleh difahami bahawa perjanjian tersebut adalah perjanjian lisan.

12.3. Perenggan 3 secara jelas menentukan pihak yang terlibat iaitu Pemohon dan Responden itu sendiri. Hendaklah kita fahami bahawa perjanjian ini adalah di antara parti politik dan sebuah syarikat. Pihak yang terlibat ialah parti politik dan syarikat. Tidak ada peruntukan dalam mana-mana undang-undang untuk menunjukkan individu mana yang terlibat dalam perjanjian. Dalam keadaan mana sekalipun, Pemohon telah menyatakan dalam Pernyataan Tuntutan bahawa pematuhan Pemohon terhadap perjanjian adalah melalui ejen-ejennya, pekerja-pekerjanya, wakil-wakilnya dan/atau pengkidmat-pengkhidmatnya.

12.4. Terma-terma yang relevan dalam perjanjian lisan sudahpun dinyatakan sebagaimana berikut:-

12.4.1. Frasa “Berikutan keperluan yang banyak dan segera” dalam perenggan 5 Pernyataan Tuntutan, telah menunjukkan terma bahawa Perkhidmatan & Barangan hendaklah dibekalkan segera.

12.4.2. Frasa “…dan lain-lain keperluan untuk Pilihanraya Umum ke 11…” dalam perenggan 4 menunjukkan terma bahawa Barangan mestilah boleh digunakan dan sesuai bagi kegunaan Pilihanraya yang ke 11. Secara jelas, perkataan baner, sepanduk, bendera atau bahan-bahan percetakan lain mesti selari dengan Pilihanraya Umum ke 11.

12.5. Balasannya ialah pembayaran bagi Perkhidmatan & Barangan yang diberikan dan/atau dibekalkan, dan tiada balasan lain selainnya. Pesuruhjaya Kehakiman sendiri menyatakan bahawa “it must be borne in mind that the Plaintiff’s claim is for the price of goods and services”. Ini bermakna bahawa pembacaan sepintas lalu pada Pernyataan Tuntutan akan menunjukkan tentang adanya balasan kepada perjanjian.

[13] Pesuruhjaya Kehakiman dalam penghakimannya seterusnya menyatakan:-

When pressed to provide evidence of privity of contract with the Defendant, during oral submissions, Counsel for the Plaintiff submitted that the invoices pleaded in paragraph 11 of the statement of claim are a sufficient plea of existence of privity. With respect, as invoices are invariably issued subsequent to the conclusion of the contract, I cannot accept that the two invoices represent the terms of the alleged contract…

[14] Dengan rendah diri kami menyatakan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam undang-undang dan fakta sebagaimana berikut:-

14.1. Pesuruhjaya Kehakiman telah meminta secara jelas kepada Pemohon untuk memberikan KETERANGAN semasa perbicaraan bagi permohonan pembatalan saman. Ini adalah berlawanan dengan prinsip yang sudah terpakai bahawa Mahkamah tidak boleh membuat pemeriksaan pada dokumen dan fakta kes, dan bicara tidak sepatutnya bersandarkan pada affidavit-afidavit. [The Golf Cheque Book Sdn Bhd & Satu Lagi lwn Nilai Springs Bhd (2006) 1 CLJ 259 [TAB 2 1A(P) pada mukasurat 260-261, 263 ]

14.2. Pesuruhjaya Kehakiman hanya menumpukan pada invois-invois, tetapi telah mengabaikan fakta bahawa wujudnya nota-nota serahan yang diakui terima oleh Responden.

[15] Pesuruhjaya Kehakiman seterusnya menyatakan bahawa:-

Accordingly, I see no purpose in allowing this monstrous claim for RM218 million to hang over the head of the Defendant, when all that the Plaintiff has been able to produce by way of relevant documentary evidence are four delivery orders of inconsequential value”.

[16] Dengan rasa rendah dirinya kami menyatakan bahawa pernyataan di atas menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi telah khilaf sebagaimana berikut:-

16.1. Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf apabila menumpukan pemikirannya untuk melepaskan beban tuntutan daripada kepala Responden, tanpa mengambil peduli bahawa Pemohon sepatutnya diberi hak untuk membuktikan kesnya dalam perbicaraan yang selayaknya.

16.2. Sekali lagi, Pesuruhjaya Kehakiman meminta keterangan bertulis dikemukakan pada prosiding pembatalan saman.

16.3. Pesuruhjaya Kehakiman telah gagal memberi alasan kepada dirinya tentang kenapa dia memutuskan bahawa nota-nota serahan adalah tidak memberi nilai yang penting, walaupun Responden tidak pernah menafikan mengakuterima perkara tersebut.

[17] Oleh hal yang demikian, dengan ini kami menegaskan bahawa perenggan 3 dan keseluruhan Pernyataan Tuntutan adalah memadai bagi membuktikan kewujudan kontrak yang mana Pemohon ada mempunyai pertalian dalam kontrak tersebut.

[18] Dalam beberapa keadaan, Responden telah mengaku kewujudan kontrak antara Pemohon dan Responden sebagaimana berikut:-

18.1. Apabila Responden mengakuterima Barangan yang telah dihantar melalui nota-nota serahan, tanpa bantahan. Responden dengan itu dihalang daripada menafikan fakta-fakta tersebut.
[Sediperak Sdn Bhd lwn Baboo Chowdhury (1999) 5 CLJ 31 [TAB 3 1A(P), muka surat 45]

18.2. Apabila Responden melalui surat bertarikh 28.08.2006 melalui peguamcara mereka dan surat bertarikh 1.9.2006 daripada mereka sendiri, bersetuju untuk berbincang dan menyelesaikan perkara ini diluar Mahkamah. Jika tiada langsung kontrak, kenapa bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini. (muka surat 106 dan 108 daripada RP Jilid 3)

18.3. Apabila Responden mengakui bahawa hanya penyampaian dokumen yang tidak teratur, salah pihak dan jumlah yang tidak tepat. Kenapa Responden mengakui hal ini jika mereka mendakwa bahawa mereka tidak bertanggungjawab untuk membayar? Berapakah jumlah yang tepat? (perenggan 9.4 pada Afidavit Sokongan Defendan muka surat 5 RP Jilid 2).

18.4. Apabila Responden tidak menyangkal fakta-fakta yang telah diperakui dalam saman subkontraktor-subkontraktor terbabit bahawa Pemohon telah diarahkan oleh Responden untuk membekalkan dan/atau memberi Perkhidmatan & Barangan.

18.5. Apabila Responden telah menyelesaikan di luar Mahkamah Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit dengan membayar jumlah tuntutan yang dituntut oleh Subkontraktor-subkontraktor terbabit.

[19] Oleh hal yang demikian, kewujudan kontrak antara pihak-pihak yang terlibat tidak boleh dinafikan lagi. Pemohon yang mempunyai pertalian kontrak mempunyai kausa tindakan yang munasabah terhadap Responden.


B. Seksyen 71 sebagai satu kausa tindakan yang tersendiri

[20] Walaupun jika sekiranya Mahkamah memutuskan bahawa tiada perjanjian lisan antara pihak-pihak yang terlibat (yang Pemohon menafikannya), Pemohon tidak boleh dibiarkan tanpa apa-apa pampasan, sedangkan kerja-kerja sudahpun dibuat bagi manfaat Responden.

[21] Adalah tidak dinafikan bahawa Pemohon telah berjaya mengemukakan kausa tindakan dibawah Seksyen 71 dalam Writ Saman mereka. (RP Jilid 1).

Undang-undang

[22] Di dalam kes Goh Soon Ann lwn Sandvik (M) Sdn Bhd (1984) 1 CLJ(Rep) 137 [TAB 4 1A(P) muka surat 139], Mahkamah Persekutuan telah menggariskan 4 syarat yang perlu dipenuhi supaya tindakan di bawah Seksyen 71 berjaya. ‘Perbuatan atau menghantar barangan’ yang dirujuk dalam seksyen tersebut:-
22.1. Mestilah sah disisi undang-undang
22.2. Mestilah dibuat untuk orang lain
22.3. Mestilah dibuat tanpa niat melakukannya secara percuma
22.4. Mestilah orang lain tersebut menikmati manfaat daripada perbuatan atau penyampaian tersebut

[23] Seksyen 71 memperuntukkan satu kausa tindakan yang tersendiri dan bebas. Permohonan untuk pembatalan saman tidak sepatutnya dibenarkan kerana Seksyen 71 boleh dibawa sebagai satu kausa tindakan yang tersendiri.
[Sediperak (supra) muka surat 51]

[24] Kegagalan untuk memohon pampasan dibawah Seksyen 71 dalam Pernyataan Tuntutan bukanlah kegagalan yang membawa maut.
[Sediperak (supra), muka surat 50]

[25] Pampasan di bawah Seksyen 71 juga boleh dirayu di dalam kes yang diasaskan oleh kontrak atau berdasarkan kontrak.
[Sediperak (supra) muka surat 51-52]
[Aw Yong Wai Choo & Lain-Lain lwn. Arief Trading Sdn Bhd & Satu Lagi (1991) 2 CLJ 294 [TAB 5 1A(P) pada muka surat 308]

Pemakaian Undang-undang

[26] Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta yang memuaskan kesemua syarat-syarat yang dinyatakan di atas di bawah Seksyen 71:-

26.1. Adalah tidak salah di sisi undang-undang untuk membekalkan air mineral, baner dan sepanduk-sepanduk.

26.2. Pengakuan penerimaan pada nota-nota serahan dengan jelas menunjukkan bahawa penghantaran Barangan telah dibuat untuk dan kepada Responden.

26.3. Adalah diluar daya imaginasi untuk kita fikirkan bahawa terlalu dermawannya Pemohon membekalkan Barangan tersebut dengan percuma tanpa apa-apa bayaran.
[Multi-Purpose Crdit Sdn Bhd lwn Tan Sri Dato’ Paduka (Dr) Ting Pek Khing (2006) 6 CLJ 205 [TAB 6 1A(P) pada muka surat 219]

26.4. Secara jelasnya, Responden telah memanfaatkan dan menggunakan Barangan yang telah dibekalkan untuk kepentingan mereka, dan mereka seterusnya telah berjaya mendapat kejayaan yang besar dalam pilihanraya.

[27] Pesuruhjaya Kehakiman telah memutuskan dalam penghakimannya:-

Secondly, based on the commentary in Atkins, in my judgment, the Plaintiff can be said to have abandoned its claim pursuant to S.71 since this claim appears only in the indorsement of the writ but not the statement of claim. The Plaintiff’s only prayer in the statement of claim is for the price of goods and not compensation under S71”. (penekanan ditambah)

[28] Kami dengan rendah diri menyatakan bahawa Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan di bawah Seksyen 71 dalam Pernyataan Tuntutan, sebagaimana berikut:-

28.1. Perenggan 3 Pernyataan Tuntutan telah menerangkan kewujudan perjanjian antara pihak-pihak yang terlibat.

28.2. Perenggan 16 (RP Jilid 1) menerangkan bahawa Pemohon telah mengalami kerugian akibat tiada pembayaran daripada Responden sebagaimana berikut:-

“Plantif menyatakan bahawa oleh sebab yang demikian, Plaintif telah mengalami kerugian dari segi wang ringgit dan juga reputasi Plaintif telah terjejas teruk dengan pihak-pihak ketiga kerana ketiadaan bayaran daripada Defendan...”

28.3. Perenggan 16 di atas dengan jelasnya menunjukkan bahawa Pemohon menuntut pampasan di bawah Seksyen 71.

28.4. Perenggan 19 Pernyataan Tuntutan (RP Jilid 1) hanya menyatakan bahawa Pemohon menuntut sejumlah RM218,013,475-00. Ia tidak pernah menyatakan bahawa jumlah yang dituntut tersebut adalah jumlah bagi harga barangan. Oleh hal yang demikian, adalah menjadi tanda tanya apabila Pesuruhjaya Kehakiman telah boleh membuat kesimpulan bahawa permohonan dalam Pernyataan Tuntutan hanyalah bagi jumlah barangan dan bukan untuk pampasan.


[29] Dalam mana-mana keadaan sekalipun, sekiranya Pemohon gagal untuk menyatakan secara formal Seksyen 71 dalam Pernyataan Tuntutan (yang dinafikan oleh Pemohon), kegagalan ini tidaklah boleh membawa maut, dan Mahkamah masih boleh memasukkan Seksyen 71 untuk memberi pampasan kepada Pemohon.
[Sediperak (supra) pada muka surat 50]

[30] Pesuruhjaya Kehakiman seterusnya menyatakan:-

S.71 can only be invoked by the supplier of the goods”.

[31] Dengan ini kami menyatakan bahawa pernyataan tersebut adalah bercanggah dengan prinsip yang sudah termaklum sebagaimana berikut:-

31.1. Dalam kes Aw Yong Wai Choo (supra) pada muka surat 308, Mahkamah telah menggunapakai S.71 walaupun terdapat kontrak bertulis antara Plaintif dan Defendan. Oleh hal yang demikian, S. 71 tidaklah semata-mata terikat kepada pembekal barangan.

31.2. Sekiranya S. 71 Akta Kontrak 1950 hanya terpakai kepada kes-kes yang tercipta daripada kontrak dan sebagai contoh, Pesuruhjaya Kehakiman menyatakan bahawa ianya hanya terpakai kepada pembekal, kami dengan ini menghujahkan bahawa prinsip tersebut akan mengakibatkan kecelaruan kepada perniagaan dan industri kerana pihak ketiga atau subkontraktor akan dapat menuntut secara langsung daripada pihak pertama dalam sesuatu kontrak tanpa melibatkan pihak yang kedua.


B. Permohonan Pembatalan Saman

Undang-undang

[32] Kuasa Mahkamah mengikut Aturan 18 Kaedah 19 hanya boleh digunapakai dalam pernyataan yang mudah dan kes-kes yang jelas yang mana jalan keluar sepatutnya melalui proses ringkasan (summary process) mengikut aturan tersebut.
[Bandar Builders Sdn Bhd & 2 Ors lwn United Malayan Banking Corporation Bhd (1993) 4 CLJ 7; (1993) 3 MLJ 36 [TAB 7 1A(P) pada muka surat 7]

[33] Permohonan bagi pembatalan saman dibawah Aturan 18 Kaedah 19 tidak sepatutnya tertumpu kepada bicara pada afidavit-afidavit.
[The Golf Cheque Book Sdn Bhd & Satu Lagi lwn Nilai Springs Bhd (2006) 1 CLJ 259 [TAB 2 1A(P) pada muka surat 260-261 ]

[34] Ianya tidak boleh dinilai melalui penilaian ringkas kepada dokumen-dokumen dan fakta-fakta kes, untuk memastikan sama ada pihak yang terlibat mempunyai kausa tindakan atau pembelaan.
[The Golf Cheque Book (supra) menggunapakai Wenlock lwn Moloney & Lain-lain (1965) 1 WLR 1238]

[35] Selagi mana dokumen-dokumen yang difailkan telah membuka beberapa kausa tindakan atau membangkitkan beberapa persoalan yang sesuai untuk diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, fakta bahawa kes tersebut adalah lemah dan seolah-olah tidak akan berjaya pada perbicaraan bukanlah alasan bagi permohonan tersebut dibatalkan.
[Bandar Builders (supra) pada muka surat 7]

[36] Mahkamah mempunyai budibicara untuk menilai fakta-fakta bagi setiap kes sama ada permohonan tersebut wajar untuk dibatalkan atas alasan gagal mengemukakan kausa tindakan atau meminta supaya ianya dipinda. Jika sekiranya Mahkamah berpuashati bahawa tiada pindaan yang boleh dibuat bagi menyelamatkan sesuatu permohonan, barulah wajar permohonan tersebut dibatalkan.
[Shahidan Shafie lwn Atlan Holdings Bhd & Satu Lagi & Lain Lain Rayuan (2005) 3 CLJ 793 [TAB 8 1A(P) pada muka surat 795]

[37] Jika sekiranya ada isu undang-undang yang memerlukan perbincangan secara serius, bantahan sepatutnya dibenarkan pada permohonan tersebut dan isu tersebut perlu dibawa bagi hujahan di bawah Aturan 33 Kaedah 2 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi.
[The Golf Cheque Book (supra)

Pemakaian Undang-undang

[38] Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta-fakta yang menunjukkan kewujudan kontrak secara lisan, dan Pemohon mempunyai pertalian kontrak (sebagaimana dinyatakan sebelum ini).

[39] Pemohon telah berjaya mengemukakan fakta-fakta bagi mematuhi syarat-syarat Seksyen 71.

[40] Terdapat beberapa isu yang sepatutnya diputuskan dalam perbicaraan penuh, antara lain sebagaimana berikut:-

40.1. Sama ada Responden telah menerima Barangan tanpa rungutan dan kecacatan?

40.2. Sama ada Responden telah dihalang daripada menafikan tanggungjawabnya setelah mengakuterima nota serahan tersebut?

40.3. Sama ada Responden telah menggunakan atau memanfaatkan Barangan yang telah dibekalkan oleh Pemohon?

40.4. Sama ada Responden telah mendapat faedah daripada penggunaan Barangan tersebut? dan lain-lain sebagainya.

[41] Pemohon pada Perenggan 18 Pernyataan Tuntutan (RP Jilid 1) telah membentangkan bahawa Pemohon mempunyai rekod video-video, gambar-gambar, keratan-keratan akhbar bagi menunjukkan bahawa Responden telah menggunakan baner, sepanduk, dan bendera-bendera yang telah dibekalkan oleh Pemohon. Bukti yang kukuh ini tidak sepatutnya ‘disapu dibawah lantai’ dengan menutup hak Pemohon bagi mendapatkan perbicaraan penuh.

[42] Terdapat beberapa isu undang-undang yang memerlukan penyiasatan dan hujahan-hujahan tambahan dalam perbicaraan penuh atau perbicaraan mengikut Aturan 33 Kaedah 2:-

42.1. Pemakaian Seksyen 71
42.2. Pemakaian doktrin ‘estoppel’ terhadap Responden

[43] Isu undang-undang di atas tidak dapat dirungkai pada peringkat permohonan pembatalan saman.

C. Permohonan ini dan kaitannya dengan Saman Sub-kontraktor

[44] Subkontraktor-subkontraktor terbabit bukanlah hanya subkontraktor-subkontraktor yang telah dilantik oleh Pemohon. Terdapat ramai lagi yang menuntut pembayaran daripada Pemohon.

[45] Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit pada jumlah RM8,571,300-00, hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan yang dituntut oleh Pemohon.

[46] Nota-nota serahan dengan jelas menunjukkan bahawa Barangan telah dibekalkan oleh Pemohon kepada Responden. Adalah diluar jangkauan akal kenapa Responden telah menyelesaikan tuntutan oleh Subkontraktor terbabit, tetapi pada masa yang sama berlawan habis-habisan menentang Pemohon.

[47] Keadilan bagi kes ini hendaklah mengatasi segala-galanya. Adalah menjadi kebiasaan dalam amalan industri ini melantik subkontrakor-subkontraktor untuk melakukan beberapa tugasan tertentu. Walau bagaimanapun, subkontraktor-subkontraktor tersebut tidak sepatutnya dibenarkan untuk menuntut secara terus daripada klien utama, kecuali dan sehinggalah terdapatnya unsur-unsur penipuan atau ketidakjujuran oleh kontraktor utama, berdasarkan kes demi kes.

[48] Pesuruhjaya Kehakiman telah membuat kesimpulan dalam penghakimannya sebagaimana berikut:-

It is very difficult to believe that the Plaintiff claiming to be owed RM218 million sat tight for a period in excess of four years, while the four parties appointed by it, pursued their claim until settlement”.

[49] Dengan segala hormatnya, Pesuruhjaya Kehakiman telah langsung khilaf satu perkara utama. Pemohon telah mendakwa dalam Pernyataan Tuntutan bahawa perbincangan telah diadakan di antara tahun 2004 dan 2008. Secara jelasnya, Pemohon tidaklah hanya duduk selesa atau duduk-duduk sahaja. (perenggan 14 – 17 Pernyataan Tuntutan RP Jilid 1). Pemohon telah dijanjikan oleh Responden bahawa mereka akan menyelesaikan tuntutan semasa sesi perbincangan. Walau bagaimanapun, setelah Responden mengingkari janji mereka, Pemohon tiada pilihan lain selain membawa perkara ini ke Mahkamah.

[50] Secara faktanya, adalah amat susah untuk mempercayai bahawa Responden telah menyelesaikan Saman Subkontraktor-subkontraktor terbabit berdasarkan nota-nota serahan daripada Pemohon, dan dalam masa yang sama enggan, cuai, dan/atau abai untuk membayar kepada Pemohon, iaitu kontraktor utama yang telah menghabiskan banyak masa & wang ringgit, untuk mendapatkan projek, merancang, menyusun strategi dan menghantar serah Barangan sebagaimana yang dipinta.

D. Beberapa Kelainan (Perbezaan Praktis) dalam Keputusan Mahkamah Tinggi

[51] Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam membuat keputusan apabila Yang Arif merujuk kepada Kandungan 7 dalam alasan penghakimannya kerana Peguambela bagi Responden sendiri tidak pernah memberi Notis Niat untuk menggunakan Afidavit dalam Kandungan 7 bagi hujahan bertulis Kandungan 29. Peguambela bagi Responden hanya mengemukakan afidavit sokongan bagi permohonan Kandungan 29 dan hanya afidavit-afidavit sokongan tersebut sepatutnya digunakan dalam permohonan bagi Kandungan 29.

[52] Berlainan pula kesnya, apabila Pesuruhjaya Kehakiman telah membenarkan peguambela bagi Responden membantah apabila pegumbela Pemohon meminta untuk menggunakan eksibit-eksibit dalam Kandungan 12 semasa hujahan lisan di dalam kamar semasa perbahasan tentang kewujudan pertalian kontrak antara Pemohon dan Responden.

[53] Dengan segala hormatnya, Pesuruhjaya Kehakiman sepatutnya hanya menggunakan afidavit-afidavit sokongan yang telah difailkan oleh peguambela Responden dalam permohonan mereka dibawah Kandungan 29 dan kami sangat-sangat membantah penggunaan afidavit-afidavit selain afidavit-afidavit tambahan yang telah difailkan oleh Responden.

[54] Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf apabila telah membuat andaian dalam penghakimannya sebagaimana berikut:

In my judgment, if the Plaintiff is unable to furnish the terms of the oral contract in the statement of claim or by way of Affidavit evidence, I have no reason to believe that the Plaintiff will be able to do so in a trial of the action.” (muka surat 7)

[55] Ini hanyalah andaian daripada Pesuruhjaya Kehakiman dan ini tidak sepatutnya berlaku. Mahkamah yang mulia sepatutnya hanya bergantung kepada fakta-fakta kes dalam membuat keputusan dan bukan bersandarkan andaian daripada mana-mana pihak.

[56] Mahkamah Yang Mulia hanya sepatutnya menerima andaian jika andaian tersebut tidak boleh dinafikan oleh pihak yang terlibat. Dalam kes ini, Mahkamah Yang Mulia telah membuat andaian, sedangkan Pemohon tidak diberi peluang langsung untuk menafikan andaian tersebut.

[57] Pesuruhjaya Kehakiman telah khilaf dalam membuat keputusan apabila Yang Arif membenarkan peguambela Responden membangkitkan isu ‘Tiada Pertalian Kontrak’ walaupun telah dibantah oleh peguambela Pemohon semasa hujahan kerana isu ini tidak pernah dinyatakan dalam mana-mana afidavit dan ia dibawa secara mengejut.

E. Kesimpulan

[58] Keadilan kes ini hendaklah megatasi segala-galanya. Pemohon telah berjaya menunjukkan bahawa terdapatnya beberapa isu yang perlu dibicarakan. Hak Pemohon untuk perbicaraan telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya.

[59] Kes ini tidak sepatutnya dibatalkan secara terus.

[60] Apa yang Pemohon rayu hanyalah hari-harinya di Mahkamah.

[61] Oleh itu, kami dengan rendah diri merayu agar rayuan ini dibenarkan dengan kos.





………………………………….
Peguambela bagi Pemohon

No comments: