Thursday, August 6, 2009

Peruntukan Undang-undang tentang Wasiat Orang Islam di Selangor

Ramai yang bertanya kepada saya:


"Bolehkah saya nak wasiatkan harta saya kepada waris saya dan efektif wasiat tersebut adalah selepas saya mati? Saya pula tak nak beritahu penerima wasiat saya bahawa saya dah wasiatkan harta saya kepada dia/mereka. Bolehkah pula saya membatalkan wasiat saya tersebut?"


Jawapan yang boleh saya berikan kepada soalan tersebut ialah sebagaimana berikut...


Undang-undang wasiat orang Islam adalah berbeza daripada setiap negeri dengan negeri yang lain kerana undang-undang Islam tentang wasiat berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Saya belum meneliti secara terperinci tentang undang-undang wasiat di negeri-negeri lain kecuali Selangor. Jadi, jawapan yang saya beri dibawah adalah relevan bagi orang-orang Islam di Selangor sahaja. Mungkin ada kesamaan di beberapa negeri yang lain dan mungkin ada juga perbezaan di beberapa negeri yang lain.


Persoalan yang pertama yang ditimbulkan ialah tentang wasiat kepada waris sendiri. Disini 'ulama' bercanggah pendapat dan antara pendapat yang selalu kita dengar ialah 'tidak boleh wasiat kepada waris sendiri'.


Walau bagaimanapun, Seksyen 11(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) No. 4 Tahun 1999 (selepas ini disebut sebagai "Enakmen tersebut") telah memperuntukkan dengan jelas bahawa seseorang boleh menentukan bahagian masing-masing warisnya dari harta pusaka dan sekiranya penentuan tersebut melebihi daripada bahagian pusaka, maka ia akan dianggap sebagai "wasiat".


Seksyen tersebut berbunyi sebagaimana berikut:
"

Tertakluk kepada subseksyen 26(2), seseorang boleh menentukan bahagian masing-masing warisnya dari harta pusaka dan, jika salah seorang daripada waris itu ditentukan bahagiannya dengan melebihi kadar yang ia berhak, harta yang lebih itu hendaklah dianggap sebagai wasiat
."


Dalam bahasa yang mudah difahami ialah seseorang Muslim boleh mewasiatkan hartanya kepada ahli waris walaupun jumlah tersebut melebihi jumlah yang waris tersebut berhak terima mengikut kiraan faraid.


Walau bagaimanapun kadar wasiat kepada waris tadi tidaklah melebihi kadar satu pertiga daripada kesemua harta pewasiat. Sekiranya lebih daripada satu pertiga, ia hendaklah mendapat persetujuan daripada ahli waris yang lain. Hal ini dinyatakan dalam seksyen 26(2) enakmen yang sama. Sebab itulah seksyen 11(2) dikaitkan dengan seksyen 26(2) di awal peruntukan tadi.


Seksyen 26(2) berbunyi:
"

Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas kadar yang melebihi satu pertiga, hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya selepas kematian pewasiat
."


Jadi, jelaslah orang Islam di Selangor boleh mewasiatkan hartanya kepada waris sendiri asalkan tidak lebih daripada satu pertiga. Sekiranya lebih daripada satu pertiga, ia hendaklah mendapat persetujuan daripada waris-waris yang lain.


Sekiranya ada sebahagian waris yang memberi persetujuan dan sebahagian yang lain tidak bersetuju, maka kadar yang melebihi satu pertiga tadi adalah sah bagi waris yang bersetuju sahaja.


Harapnya terjawablah soalan yang pertama.


Tentang penerima wasiat yang tidak perlu mengetahui tentang wasiat yang diberikan kepadanya adalah jelas kerana wasiat hanya berkuatkuasa apabila pemberi wasiat meninggal dunia.


Pemberi wasiat tidak perlu memberitahu penerima wasiat tentang hasratnya itu dan hasrat tersebut boleh dirahsiakan daripada penerima wasiat sehinggalah pemberi wasiat meninggal. Pemberi wasiat cuma perlu mengikrarkan wasiatnya, lebih baik secara bertulis, walaupun masih sah secara lisan atau isyarat, dihadapan dua orang saksi yang boleh diterima sebagai saksi menurut Hukum Syarak (lihat seksyen 3(2) Enakmen tersebut).


Penerima wasiat akan hanya membuat keputusan sama ada untuk menerima wasiat atau menolaknya dalam tempoh 30 hari selepas penerima wasiat mengetahui tentang kematian pewasiat dan wujudnya wasiat tersebut (lihat seksyen 18(1) Enakmen tersebut). Jadi, tidak timbul isu penerima wasiat akan derhaka kepada pemberi wasiat jika wasiat tersebut benar-benar dirahsiakan semasa hidup pemberi wasiat.


Wasiat pula boleh dibatalkan oleh pemberi wasiat sama ada:

(a) dengan membuat penarikan balik secara nyata, atau

(b) penarikan balik secara tersirat (mengikut qarinah atau 'uruf atau semua harta telah habis), atau

(c) dengan cara membuat wasiat yang baru.
(lihat seksyen 15 dan 16 Enakmen tersebut).


Harapnya penjelasan ringkas di atas telah sedikit sebanyak menjawab persoalan anda.

2 comments:

aremko said...

Miji,

Enakmen Wasiat Negeri Sembilan dan di Melaka pakai wording lain:

Seksyen 26. Bekues kepada waris dan bukan waris.

(1) ........
(2) Sesuatu bekues yang dibuat kepada seseorang waris atas kadar yang melebihi satu pertiga tidak boleh dikuatkuasakan melainkan jika waris-waris mempersetujuinya selepas kematian pewasiat.

Termizi said...

Wording 'bekues' digunakan. Jika bekues bermaksud pemberian secara wasiat, rasanya tak ada apa-apa efek yang berbeza...