Sunday, January 6, 2008

Pindah hak milik tanah guna cap jari

Oleh Rohaniza Idris (Berita Harian)
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari ini semua urusan pemindahan hak milik dan pengeluaran geran tanah diwajib menggunakan cap jari bagi mengelak dokumen berkenaan dipalsukan. Ini adalah antara beberapa peraturan baru yang diperkenalkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian bagi menangani kes penipuan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Zoal Azha Yusof, berkata kaedah penggunaan cap jari itu kini dipraktikkan di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai projek perintis.
"Mulai tahun depan semua pejabat tanah dan galian akan melaksanakan peraturan baru ini," katanya dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau diminta mengulas kes penipuan pemilikan tanah yang semakin berleluasa sejak lima tahun lalu. Tahun lalu, 80 kes penipuan pemilikan tanah direkodkan, berbanding 35 kes (2005), 32 kes (2004), 22 kes (2003), 19 kes (2002) dan 16 kes pada 2001.
Statistik polis pula menunjukkan tanah yang terbabit dengan penipuan berkenaan dalam tempoh lima tahun itu bernilai RM4.9 juta dan meningkat kepada kira-kira RM10.4 juta sehingga Oktober tahun lalu. Kes itu kebanyakannya membabitkan geran yang dikatakan hilang, penjualan tanah tanpa pengetahuan pemiliknya dan pemalsuan tandatangan serta kad pengenalan. Zoal Azha berkata, pihaknya akan menggunakan sistem biometrik untuk mengesan cap jari dan maklumat lain untuk pengeluaran geran serta proses penukaran hak milik tanah. Katanya, jabatannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pentadbiran Tanah bagi mengesan kes yang meragukan.
Selain itu, katanya, jabatan berkenaan melakukan penambahbaikan sistem pentadbiran tanah berkomputer di Pejabat Tanah dan Galian seluruh negara. "Kini kita menggunakan perisian versi 2.8.2 dan kita merancang meningkatkannya serta menambah aspek keselamatan perisian sedia ada," katanya. Beliau berkata, jabatannya juga sedang merancang menyediakan garis panduan keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). Sementara itu, katanya, Persidangan Pentadbiran Tanah ke-15 bulan lalu turut menjemput Badan Pencegah Rasuah (BPR) membincangkan secara serius kes penipuan dan penyelewengan penukaran hak milik dan pengeluaran geran tanah. Katanya, hasil persidangan itu menggariskan beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan pentadbir tanah di daerah termasuk menggerakkan fungsi audit dalaman bagi menyemak status pemilikan tanah. Zoal Azha turut menasihatkan orang ramai yang ingin membeli tanah supaya merujuk harga mengikut kadar pasaran semasa. "Jangan mudah terpengaruh apabila ada pihak menawarkan harga tanah yang murah kerana ia mungkin membabitkan sindiket penipuan," katanya.

No comments: