Oleh Wan Faizal Ismayatim (Berita Harian)
354 peneroka Kemahang iga tuntut bayaran ganti rugi RM7.8 juta
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 28 Januari ini untuk keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan Felda membatalkan perintah membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka Kemahang Tiga. Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Mohd Azman Husin selepas mendengar hujah peguam kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung lebih dua jam secara tertutup dalam kamarnya mulai jam 11.30 pagi semalam.
Ketika prosiding itu, Felda dan syarikat pengilang minyak, Felda Palm Industries Sdn Bhd, selaku defendan diwakili Datuk Cecil Abraham, Tengku Alina Alias dan Teo Poh Onn. Seramai 354 peneroka Kemahang Tiga dari Tanah Merah di sini, selaku plaintif yang menuntut ganti rugi atas alasan ditipu dalam urus niaga jualan hasil sawit itu diwakili Wan Rohimi Wan Daud dan Asmadi Abu Bakar. Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Teo berkata, pihaknya memohon mengetepikan penghakiman membayar ganti rugi RM7.8 juta itu yang dibuat pada 13 Januari lalu.
Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan alasan serta hujah yang dikemukakan oleh defendan dalam prosiding itu kecuali menyatakan keputusan permohonan akan diketahui 28 Januari ini. Sementara itu, Wan Rohimi berkata, berikutan keputusan mahkamah semalam, kedua-dua pihak bersetuju perintah penghakiman yang dibuat minggu lalu digantung sehingga keputusan itu diketahui. "Hari ini, mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dalam perbicaraan yang panjang dan mahkamah memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan yang ditetapkan pada Isnin depan. "Pihak defendan memohon mengetepikan perintah mahkamah yang kita peroleh pada 13 Januari dan minta perbicaraan semula. Alasan dikemukakan mereka ialah tidak perasan tarikh itu (keputusan minggu lalu)," katanya.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda serta syarikat pengilang minyak sawit membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka Kemahang Tiga akibat menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit. Ganti rugi itu merangkumi RM7.1 juta sebagai ganti rugi am, manakala 10 peratus daripada jumlah itu (kira-kira RM710,000) adalah nilai ganti rugi teladan.
Keputusan itu dibuat Mohd Azman pada hari pertama perbicaraan yang berlangsung tanpa kehadiran peguam defendan bagi tuntutan saman peneroka Felda Kemahang Tiga itu yang mendakwa defendan menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit bermula 1997 hingga 2002. Peneroka terbabit menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Ibrahim Ismail defendan kedua dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan ketiga dalam saman yang dikemukakan 22 September 2002. Defendan kedua meninggal dunia pada tahun lalu.
Terdahulu, pekarangan mahkamah sesak dengan kehadiran 354 peneroka terbabit yang turut ditemani ahli keluarga dan sanak saudara sejak jam 8 pagi bagi mengikuti prosiding yang berlangsung semalam. Beratus-ratus yang hadir setia menunggu sehingga prosiding selesai kira-kira jam 1.45 tengah hari sebelum berkumpul dan berasak bagi mendapatkan perkembangan kes berkenaan daripada peguam bela yang mewakili plaintif sebelum beredar.
No comments:
Post a Comment