Sunday, April 17, 2011

Undang-undang Mengenai Wasiat Wajibah di Selangor

Wasiat wajibah bermaksud sebahagian daripada harta peninggalan yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk anak-anak yang kematian ibu bapa sebelum datuk atau nenek atau mereka meninggal serentak dan anak-anak tersebut tidak mendapat bahagian daripada harta peninggalan datuk atau nenek mereka kerana terdinding oleh bapa atau ibu saudara mereka.

Justeru itu, diberi kepada mereka dengan kadar dan syarat-syarat tertentu sebagai wasiat dan bukannya sebagai pusaka.

Ia pada mulanya diperkenalkan di Mesir pada tahun 1946 setelah ahli perundangan Mesir memutuskan untuk menggubal satu peruntukan undang-undang yang dikenali sebagai Kanun Wasiat. Kemudian ia disusuli oleh negara-negara Arab yang lain seperti Syria, Lubnan, Maghribi dan beberapa negara Islam lain.

Usaha kearah pembentukan undang-undang wasiat secara terperinci sepertimana yang telah dilakukan di sesetengah negara Islam di Timur Tengah telah berjaya dilaksanakan di negeri Selangor pada 15 September 1999 apabila kerajaan negeri Selangor telah meluluskan Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 (selepas ini disebut sebagai “Enakmen tersebut”). Dalam Enakmen tersebut, terdapat satu peruntukan khusus berhubung perkara wasiat wajibah yang terkandung di dalam Bahagian VIII, Seksyen 27 (1), (2) dan (3).

Maksud wasiat wajibah tidak diberikan oleh Enakmen tersebut, tetapi boleh difahamkan daripada peruntukan sebagai satu wasiat yang wajib diberikan melalui kuasa undang-undang. Ini bermakna sekiranya seseorang pewaris tersebut tidak membuat wasiat, maka undang-undang atau hakim akan membuat satu wasiat bagi pihaknya.

Dalam konteks undang-undang wasiat wajibah ini, negara-negara Islam menghadkan wasiat tersebut kepada cucu sahaja dan tidak memasukkan ahli-ahli keluarga yang bukan waris sebagai orang yang berhak menerima wasiat wajibah. Perkara ini menimbulkan persoalan kerana tidak terdapat asas daripada jurisprundens Islam berhubung dengan penetapan tersebut.

Menurut sesetengah ulamak, pemilihan cucu sebagai penerima wasiat wajibah adalah satu bentuk ijtihad yang berasaskan kepada realiti semasa. Sungguhpun demikian, tidak semua cucu yang yatim akibat kematian bapa atau ibu mereka itu melarat dan tidak mendapat pembelaan daripada keluarga bapa atau ibu mereka, sehingga perlu kepada undang-undang yang mewajibkan wasiat kepada mereka.

Selain itu, Enakmen tersebut telah memperuntukkan bahawa wasiat wajibah hanya berhak kepada anak (sama ada lelaki atau perempuan) kepada anak lelaki (cucu si mati) sahaja yang telah kematian bapanya terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya atau mereka mati serentak yang tidak dapat dipastikan siapakah antara mereka lebih dahulu meninggal dunia. Perkara tersebut dapat dilihat dalam Seksyen 27(1) yang memperuntukkan bahawa:

“Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat...”

Dalam Enakmen tersebut, dengan jelas menyatakan bahawa wasiat wajibah hanya dihadkan kepada peringkat cucu (sama ada lelaki atau perempuan) daripada anak lelaki sahaja, dan tidak berlaku dengan lebih luas lagi hingga kepada keturunan yang lebih rendah di sebelah bapa.

Selain itu, dapat difahamkan daripada Enakmen tersebut bahawa anak kepada anak perempuan tidak berhak mendapat wasiat wajibah. Penafian terhadap golongan tersebut mungkin kerana cucu terbabit dianggap sebagai dhawi al-arham yang tidak berhak mendapat pusaka selagi mana si mati meninggalkan ashab al-furud dan para ‘asabah.

Seterusnya, persoalan yang mungkin timbul ialah Enakmen tersebut tidak memperkatakan tentang cara agihan harta pusaka sekiranya datuk atau nenek meninggalkan cucu yang berbilang (ramai) yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Dalam menentukan kadar atau bahagian yang perlu diberikan kepada ashab wasiat wajibah, Enekmen tersebut menetapkan bahawa kadar tersebut hendaklah setakat apa yang diterima oleh bapa kepada kanak-kanak tersebut (cucu si mati) daripada harta pusaka datuk atau neneknya dengan diandaikan bapa itu masih hidup selepas kematian datuk atau neneknya dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada harta pusaka si mati. Perkara tersebut dapat dilihat dalam Seksyen 27(2) yang memperuntukkan bahawa:

“Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kematian datuknya:

Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.”

Sekiranya semasa hidupnya, datuk atau nenek tersebut telah memberi harta sama ada secara wasiat atau pemberian secara percuma kepada cucu berkenaan dengan kadar yang kurang dari apa yang berhak diterima oleh cucu tersebut melalui wasiat wajibah, maka undang-undang atau hakim hendaklah menyempurnakan kadar yang kurang itu berdasarkan peruntukan wasiat wajibah itu. Perkara ini dinyatakan oleh Seksyen 27(1) iaitu:

“...sekiranya cucu itu diberi dengan kadar kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.”

Enakmen tersebut juga telah menetapkan beberapa syarat bagi penerima wasiat wajibah. Antara syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

Cucu terbabit hendaklah bukan terdiri daripada waris yang berhak mendapat pusaka si mati sama ada sedikit atau banyak, atau dengan kata lain cucu tersebut mestilah dihalang oleh bapa atau ibu saudaranya daripada menerima harta pusaka.

Si mati hendaklah tidak memberikan kepada cucunya yang yatim itu sesuatu hartanya yang menyamai nilainya dengan kadar wasiat wajibah tanpa menerima apa-apa balasan daripada cucu tersebut.

Si mati tidak berwasiat kepada cucunya itu dengan kadar yang sepatutnya diterima menurut wasiat wajibah.

Namun, sekiranya pemberian atau wasiat tersebut kurang daripada jumlah yang sepatutnya diterima oleh cucu itu, maka bahagian yang kurang itu mestilah dicukupkan melalui wasiat wajibah. Dan sekiranya pemberian atau wasiat tersebut melebihi bahagian yang dia berhak, maka bahagian yang lebih itu akan menjadi wasiat sukarela atau ikhtiyariyyah yang bergantung kepada persetujuan waris-waris si mati yang lain.

Syarat-syarat di atas dapat dilihat dalam Seksyen 27(3) yang memperuntukkan bahawa:

“Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana yang berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut wasiat wajibah:

Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris.”

Akhirnya, Enakmen tersebut tidak memperuntukkan apakah yang berlaku sekiranya terdapat wasiat ikhtiyariyyah dalam masalah wasiat wajibah; mana satukah yang lebih mengatasi?

6 comments:

Siti Nadzirah Roslan_nadz said...

Salam...sy nk tya pasal tuntutan wajibah..sy ada kawan yg mana kes wajibah nyer di bawa ke makhamah. Akan tetapi menjadi isu apabila hakim mahu peguam yg menuntut perlu berhujah untuk sidang akn datangnyer..benarkah hanya kanak2 sahaja yg boleh menuntut wajibah?org dewasa mmg tiada hak ke?Ini kerana mmg ayahnyer telah meninggal dunia terlebih dahulu kemudian baru datuknyer..datuknyer mmg mempunyai harta yg byk..

Termizi said...

Kes sebegini memang menarik. Saya sekarang inipun sedang handle kes sebegini. Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam telah memutuskan bahawa hanya kanak-kanak yg berstatus cucu drpd anak lelaki yg bapanya meninggal awal sblm datuk layak kepada wasiat wajibah. Saya dalam proses membuat rayuan terhadap keputusan ini.

Perbincangan ini sangat panjang. Hujahan bertulis saya juga amat panjang. Saya juga dalam proses menyiapkan thesis phd saya dan salah satu tajuk atau babnya adalah tentang wasiat wajibah.

Kes kawan saudari ni kes kat mana? Mungkin satu pertemuan perlu dibuat untuk perbincangan dan huraian yang lebih memuaskan.

soukhisukuitaka said...

as-salam tumpang tanya kiranya untuk kes wasiat wajibah ini ada x kes mengenainya??

soukhisukuitaka said...

as-salam kiranya untuk kes wasiat wajibah ini ada x kes mengenainya..harap encik dapt pestkan mengenainya...

soukhisukuitaka said...

AS-SALAM SATU PERKONGSIAN YANG BERGUNA....SYA INGIN BERTANYA...SYA MERUPAKAN PELAJAR DIPLOMA UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH...KALO BOLEH SYA HENDAK TAHU APABILA DEGREE NNT SELAIN DRPD KOS LAWYER DAN SAINS POLITIK APALAGI KOS YANG BOLEH SYA AMBIL...HARAP ENCIK BOLEH MEMBANTU

soukhisukuitaka said...

as-salam....satu perkongsian yang berguna....sya ingin bertanya...sya merupakn pelajar yang mengmbil kos diploma undang2 dan syariah....sya ingin tahu selain dripd kos undang2 dan sains politik apalagi kos yang boleh sya ambil......harap encik boleh membantu..