Thursday, April 14, 2011

Kedudukan Mazhab Syafi’i Dalam Amalan Pembahagian Pusaka Dan Wasiat Islam Di Malaysia

Mazhab Syafi’i merupakan mazhab yang paling dominan di Malaysia sejak kedatangan Islam ke kepulauan Melayu. Ajaran Islam tersebar di kepulauan Melayu adalah hasil daripada penyebaran dakwah ulama’-ulama’ yang berlatarbelakangkan mazhab Sayfi’i. Pengaruh ajaran mazhab Syafi’i di Negara kita begitu kuat sehinggakan ada sesetengah kadi hanya menerima pendapat daripada ajaran mazhab Syafi’i sahaja dalam penghakiman mereka. Perkara ini tidak terkecuali dalam hal-hal yang berkaitan dengan pusaka dan wasiat dalam Islam.

Contoh pandangan mazhab Syafi’i yang paling menonjol dalam berhubung hak pusaka ialah tentang kedudukan waris dhu arham, iaitu waris yang diselangi dengan si mati oleh waris wanita menjadi “waris fasad” dan tidak layak mewarisi. Waris-waris ini juga dikenali melalui susur keturunan wanita sama ada waris cabang ke atas atau ke bawah. Dalam kes ini, segala lebihan harta pusaka akan diserahkan kepada baitulmal.

Bagaimanapun, pada akhir abad ke-4 Hijrah, Imam Syafi’i telah merujuk kembali pandangannya dalam pemberian pusaka kepada baitulmal apabila baitulmal tidak ditadbirkan dengan baik sehingga menyebabkan harta umat Islam menjadi tidak terurus. Dalam keadaan ini, Imam Syafi’i berpandangan harta pusaka hendaklah diwarisi oleh waris dhu arham.

Dalam persoalan-persoalan lain, Imam Syafi’i juga mempunyai perbezaan pandangan dengan mazhab lain seperti dalam kes pembunuh yang dihalang pusaka di mana Imam Syafi’i memakai kepada semua pembunuh secara mutlak. Sementara dalam kes pusaka harta orang yang hilang (mafqud), Imam Syafi’i telah memakai doktrin istishab apabila menganggap orang yang hilang adalah masih hidup sehingga ada bukti sebaliknya. Oleh itu, harta orang yang hilang tidak boleh dibahagikan secara pusaka sehingga suatu tempoh masa tertentu yang diperakukan oleh mahkamah tentang status sebenar orang hilang tersebut sebagai telah meninggal dunia.

Beberapa contoh kes yang telah diputuskan oleh mahkamah yang menggunapakai pandangan daripada mazhab Syafi’i berhubung perkara wasiat dan pusaka adalah sebagaimana berikut:

Dalam kes In Re Timah binti Abdullah, decd. (1941) 10 MLJ 51, pusaka seorang wanita Jepun yang telah menganut Islam telah diserahkan kepada baitulmal dan mahkamah memutuskan bahawa warisnya yang bukan beragama Islam tidak berhak untuk mewarisi. Pandangan ini disepakati oleh kesemua mazhab fekah termasuklah Mazhab Syafi’i yang mendominasi masyarakat negara ini. Dalam kes ini, mahkamah antara lain telah merujuk kepada buku terjemahan Minhaj al-Talibin daripada Mazhab Syafi’i bahawa seorang kafir tidak akan mewarisi harta pusaka seorang yang beragama Islam.

Dalam kes di Singapura yang ketika itu masih berada dalam Persekutuan Tanah Melayu iaitu Re Mutchilin @ Ashrhin, deed (1960) 26 MLJ 2, mahkamah telah memutuskan berdasarkan ajaran Mazhab Syafi’i di mana baki harta pusaka akan diserahkan kepada baitulmal dan tidak boleh dibahagikan semula pusaka (radd) kepada isteri yang telah menerima bahagian fardu. Mahkamah memutuskan isteri tidak berhak mendapat radd kerana dibuktikan bahawa si mati adalah seorang yang bermazhab Syafi’i.

Dalam satu kes yang tidak dilaporkan di Kuala Terengganu iaitu kes Kalthum binti Muda lawan Nazir Baitulmal Kuala Terengganu (1362) P.U. 109/62A, baitulmal tetap mewarisi walaupun dalam keadaan waris adalah miskin dan boleh menyebabkan harta keluarga menjadi berkurangan. Dalam kes ini, pemohon adalah isteri si mati dan merupakan waris tunggal yang hanya mewarisi sebanyak satu perempat daripada bahagian pusaka dan tiga perempat baki diserahkan kepada baitulmal. Oleh kerana kesusahan hidup, waris telah menuntut supaya baitulmal menghalalkan bahagian tiga perempat tersebut dan diserahkan kepada beliau sebagai waris yang berhak untuk mewarisi keseluruhan pusaka suaminya. Pewarisan oleh baitulmal boleh menyebabkan pemohon tidak boleh meneruskan perniagaan yang diusahakan sebelum ini akibat kehilangan sebahagian besar modal perniagaan.

Peruntukan undang-undang Islam di Malaysia menggariskan bahawa pemakaian pandangan Mazhab Syafi’i dalam pentadbiran undang-undang adalah mengutamakan Mazhab Syafi’i. Dalam erti kata, rujukan kepada sebarang keputusan, hukum dan pendirian agama adalah dengan memberi fokus terlebih dahulu kepada pandangan Mazhab Syafi’i. Sekiranya tiada pandangan dalam persoalan yang dirujuk itu atau tidak sesuai dengan keadaan semasa dan kepentingan umum, maka barulah pandangan daripada mazhab yang lain diambil pertimbangan.

Kebebasan melakukan rujukan kepada Mazhab Syafi’i secara terbuka dan meluas ini adalah ekoran tiada undang-undang substantif khusus terutamanya berhubung pentadbiran undang-undang pusaka dan wasiat. Hasilnya menyebabkan idea dan pandangan Mazhab Syafi’i seringkali menjadi keutamaan walaupun dalam sesetengah keadaan boleh menimbulkan konflik dalam memastikan kebajikan waris tertentu.

Ketepatan peruntukan sangat penting dalam pentadbiran undang-undang bagi memastikan keseragaman hukuman dapat diputuskan dengan adil dan saksama. Justeru, ketiadaan undang-undang substantif mengenai pusaka dapat menyebabkan cendekiawan Islam tiada persepakatan dalam menentukan keutamaan bagi memastikan kebajikan waris terdekat khususnya dalam perkara khilafiyyah.

Keutamaan merujuk kepada Mazhab Syafi’i ini adalah berdasarkan peruntukan qawl mu’tamad menerusi Enakmen Pentadbiran Agama setiap negeri dan juga berdasarkan Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Bil. 9/2001. Ikutan ke atas dua peruntukan ini dapat dilihat dalam kes Permohonan faraid Encik Alias bin Embong (2004), apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu telah menolak pemberian pusaka kepada zhu arham walaupun dalam kes ini dhu arham adalah waris tunggal si mati. Justeru, mahkamah memutuskan dengan mengambil pandangan Mazhab Syafi’i di mana baitulmal akan mewarisi kesemua harta pusaka tanpa waris atas alasan baitulmal di Malaysia adalah berfungsi dengan baik di bawah pengurusan yang teratur. Di samping tiada peruntukan undang-undang negeri yang memberikan pusaka kepada dhu arham yang merupakan sandaran kepada pandangan Mazhab Hanafi. Secara tersirat, keputusan ini menunjukkan pemberian pusaka kepada dhu arham bukan amalan di Malaysia yang mengutamakan pandangan Mazhab Syafi’i.

Sejarah amalan wasiat di Malaysia pada umumnya juga adalah melaksanakan prinsip-prinsip Mazhab Syafi’i mengikut justifikasi umum pentadbiran Islam di negara ini. Bagaimanapun, bagi mereka yang berada dalam aliran mazhab yang lain, amalan pentadbiran undang-undang di Tanah Melayu adalah mengiktiraf mazhab yang dianuti. Sebagai contoh dalam kes In Re Will of M. Mohamed Hanifa dec. (1940) MLJ 229, pewasiat yang bermazhab Hanafi telah mewasiatkan kepada penerima yang ketika itu sedang bertindak sebagai pemegang amanah hartanya untuk mengambil alih harta perniagaannya dengan syarat dia berkahwin dengan anak perempuannya yang kedua. Mahkamah memutuskan syarat tersebut batal kerana menyalahi hukum syarak tetapi wasiat tersebut tetap terlaksana mengikut pandangan Mazhab Hanafi.

Sementara dalam kes Shaik Abdul Latif lawan Shaik Elias Bux (1915) 1 FMSLR 204, mahkamah memperakukan bahawa undang-undang yang hanya terpakai ke atas orang Melayu pada masa itu ialah undang-undang Islam yang disesuaikan dengan adat. Berdasarkan kes-kes yang diputuskan, umumnya undang-undang Islam yang dimaksudkan di sini ialah berdasarkan pandangan Mazhab Syafi’i. Dalam kes ini, wasiat diputuskan tidak sah kerana telah diwasiatkan kepada anak angkat dengan melebihi daripada satu pertiga harta yang bertentangan dengan Mazhab Syafi’i. Namun, sekiranya kurang daripada kadar ini, wasiat kepada anak angkat adalah diharuskan seperti pernah diputuskan dalam kes Nik Salma Zaidah binti Haji Wan Zaid lawan Nik Hasnah binti Nik Din & Nik Ruhiya Zaidah binti Wan Zaid. Mengambil pandangan dalam Mazhab Syafi’i juga, hukum melakukan wasiat kepada waris diputuskan sebagai tidak sah secara per se sebagaimana keputusan kes Mohamad Hadi bin Yaso’a dll. Lawan Siti Hawa Deraman (2001).

Dalam penerimaan wasiat (qabul), Imam Syafi’i menekankan bahawa penerimaan adalah syarat berlakunya perpindahan hakmilik atas harta wasiat dan bukannya syarat sah wasiat seperti yang dikemukakan oleh Imam Malik. Penerimaan mesti menyebabkan pindahmilik harta berlaku serta merta selepas kematian pewasiat. Oleh itu, perbuatan menangguh pembahagian harta wasiat adalah tidak sah mengikut Mazhab Syafi’i sebagaimana diputuskan dalam kes Saeda lawan Haji Abdul Rahman (1918) 1 FMSLR 352 dan Abdul Rahim lawan Abdul Hameed (1983) 2 MLJ 78. Seterusnya penerimaan ke atas wasiat adalah penting kerana sebarang penolakan daripada orang yang diwasiat boleh menyebabkan wasiat tersebut batal. Dalam penggubalan Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 (selepas ini dirujuk sebagai “Enakmen Wasiat Selangor”), peruntukan seksyen 17 dan 18 ada menyatakan berhubung penerimaan dan penolakan wasiat serta memperuntukkan tempoh masa selama 30 hari untuk menerima atau menolak.

Bagaimanapun dalam kes-kes tertentu, tidak disyaratkan berlakunya qabul seperti wasiat kepada janin atau bayi yang berada dalam kandungan. Seksyen 24, Enakmen Wasiat Selangor menyatakan bahawa wasiat kepada anak dalam kandungan adalah sah dengan syarat dilahirkan dalam tempoh yang sah menurut hukum syarak.

Kebaikan mempunyai undang-undang substantif khusus seperti Enakmen Wasiat Selangor ini menunjukkan bahawa keterikatan pada pandangan Mazhab Syafi’i tidak lagi berlaku sepenuhnya. Terdapat beberapa peruntukan yang turut menerima pakai pandangan daripada mazhab lain seperti mengambil pandangan Mazhab Syi’ah Ithna ‘Asyariyyah dalam persoalan wasiat kepada waris sekiranya wasiat yang dibuat tidak melebihi daripada satu pertiga harta. Peruntukan ini boleh didapati daripada Seksyen 11(2) dan Seksyen 26 Enakmen Wasiat Selangor.

Dalam Enakmen Wasiat Selangor ini, tiada peruntukan khusus yang menyatakan mengenai wasiat kepada waris yang kurang daripada kadar satu pertiga harta. Penggubal undang-undang hanya menyampaikan maksud tersirat menerusi peruntukan seksyen 11(2) dan 26(2) bahawa wasiat kepada waris yang kurang daripada satu pertiga tidak perlu mendapat kebenaran daripada waris yang lain dan wasiat tersebut adalah sah dan boleh dilaksanakan.

Jelas bahawa peruntukan ini berlainan dengan kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan di dalam kes Mohamad Hadi bin Yaso’s dll. Lawan Siti Hawa Deraman (2001) sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Undang-undang wasiat di Selangor ini jelas merupakan satu anjakan besar daripada pengaruh dominasi ajaran Mazhab Syafi’i. Pendekatan ini selaras dengan pertimbangan sosial semasa dalam hukum Syarak iaitu bagi menjamin kebajikan waris terdekat dengan lebih baik.

Enakmen Wasiat Selangor juga telah mengambil pandangan Ibn Hazm berhubung peruntukan “wasiyyat wajibah”. Wasiyyat wajibah ialah wasiat yang dikuatkuasakan melalui peruntukan undang-undang bagi menjamin hak waris si mati yang terhalang daripada menerima pusaka kerana penghubung mereka telah meninggal dunia terlebih dahulu. Kaedah ini adalah merupakan pandangan Imam Ibn Hazm bagi mengelak kezaliman berlaku ke atas waris akibat tiada wasiat dilakukan untuk sesetengah waris. Justeru, suatu bahagian untuk waris diwujudkan melalui peruntukan undang-undang daripada harta peninggalan si mati tersebut seperti suatu wasiat telah dilakukan.

Kewujudan undang-undang bertulis yang khusus dapat mengawal daripada melakukan rujukan yang rigid ke atas Mazhab Syafi’i semata-mata. Ia juga menjimatkan masa seseorang hakim atau mufti dalam melakukan rujukan kepada beberapa pandangan ulama, melakukan tarjih yang seragam dan mencapai kesepakatan dalam pentadbiran undang-undang. Paling tidak, sesuatu keputusan itu telah melalui proses pertimbangan yang rapi dalam kalangan cendekiawan dengan mengambil kira kepentingan semasa dan maqasid al-syar’iyyah yang melangkaui sempadan mazhab. Dalam hal ini, kaedah talfiq dan takhayyur mazhab benar-benar dapat direalisasi dalam usaha untuk memastikan kemaslahatan para waris benar-benar tercapai.

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum...ada sikit pertanyaan yg lain dari artikal di atas...saya ada membeli sebuah apartment baru daripada pemaju,belum ada strata tittle lagi,skrg tengah tunggu kunci,dlm S&P letak nama saya (isteri) dan suami..loan pulak nama saya (isteri)...boleh ke kalau saya nak batal kan nama kedua (suami) dlm S&P...so far suami takde menyumbang apa2 bayaran, baik deposit rumah, S&p fee dan skrg bayaran interest kat bank..semua di tanggung oleh saya (isteri)..sekian terima kasih..

Termizi said...

Saudari Anonymous,

Untuk bertanya soalan lain yang tidak berkaitan dengan artikel di atas, sila Puan ajukannya pada artikel yang berlainan yang berkaitan dengannya untuk manfaat pembaca yang lain juga.

Oleh itu, saya reserve dulu jawapan saya sehingga saya ditanya soalan yang relevan pada artikel yang relevan.

Walau bagaimanapun, terima kasih atas minat Puan untuk bertanya pendapat saya.

Anonymous said...

terima kasih ...saya cuba search artikel yg sesuai...