Sunday, April 17, 2011

Faraid: Si Mati Tiada Anak & Adik Beradik Lelaki

Soalan:

Suami saya meninggal dunia dan meninggalkan saya seorang isteri. Kami tiada anak. Arwah suami saya cuma ada seorang adik beradik iaitu kakak kandungnya. Kakaknya ada beberapa orang anak. Di samping itu, arwah suami saya ada dua orang bapa saudara iaitu adik beradik kandung kepada arwah ayahnya. Ibu arwah suami saya sudahpun meninggal sebelum arwah suami saya lagi.

Berapakah kiraan faraid bagi waris peninggalan arwah suami saya tersebut?

Jawapan:

Kes yang sebegini sebenarnya jarang berlaku dan agak menarik untuk dikongsikan. Yang pertamanya, marilah kita kira bahagian waris fardu terlebih dahulu iaitu bahagian isteri si mati.

Isteri si mati mendapat 1/4 bahagian kerana si mati tiada anak.

Seterusnya waris si mati beralih kepada saudara seibu sebapa perempuan (SIBP) iaitu mendapat 1/2 bahagian kerana dia seorang sahaja waris sedarjatnya. Tiada adik beradik yang lain.

Ini menjadikan bahagian baki untuk 'asabah ialah 1/4 bahagian, menjadi bahagian kepada 2 orang bapa saudara si mati dan setiap seorang mendapat 1/8 bahagian.

Anak-anak kepada SIBP simati tidak mendapat bahagian kerana mereka dikira sebagai waris dhawil arham.

Pengiraan akhir menjadikan pembahagian faraid sebagaimana berikut:

1 Isteri = 2/8
1 SIBP = 4/8
2 Bapa Saudara = 2/8 (setiap seorang mendapat 1/8)

6 comments:

Anonymous said...

Sekiranya ada adik beradik perempuan 4 org dlm situasi sama boleh jelaskan

Termizi said...

Bahagian untuk adik beradik perempuan atau dlm istilah faraid disebut saudara seibu sebapa perempuan (SIBP) yang lebih daripada seorang ialah 2/3 bahagian.

Ini menjadikan pengiraan asal sebagaimana berikut:

Isteri = 1/4
4 SIBP = 2/3
2 Bapa Saudara = 'asabah (baki),

Setelah ditashihkan, pengiraan akhir sebagaimana berikut:

Isteri = 6/24
4 SIBP = 16/24, setiap seorang mendapat 4/24
2 Bapa Saudara = 2/24, setiap seorang mendapat 1/24.

Wallahu a'lam.

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Tuan, bagaimana jika si mati tidak meninggalkan suami dan anak, tiada ibu dan bapa yang masih hidup cuma ada seorang makcik (seibu sebapa SIBP dengan ayahnya) dan beberapa orang makcik dan pakcik beragama lain (bukan islam) sebelah ibunya dan beberapa orang pakcik dan makcik sebapa berlainan ibu dengan ayahnya. bagaimana kiraan faraid ini ya tuan..simati ada meninggalkan anak-anak saudara lelaki dan perempuan daripada saudara perempuan kandung tunggalnya yang telah lama meninggal dunia.

Semoga Allah memberkati dan memurahkan rezeki Tuan di dunia dan akhirat..semoga sudi menjawab pertanyaan ini. Syukran.

Termizi said...

Makcik tidak dikira sebagai waris 'asabah, jadi makcik tidak mendapat bahagian. Pakcik yg tidak beragama Islam juga terhalang daripada mendapat bahagian.

Yg mendapat bahagian di sini hanyalah pakcik berlainan ibu dgn arwah bapanya. Anak saudara daripada adik-beradik perempuan juga bukan waris 'asabah dan tidak mendapat bahagian.

Jadi, kesemua harta peninggalan si mati menjadi bahagian pakcik kepada si mati yg beraga Islam tadi yg sebapa berlainan ibu dgn arwah bapa si mati. Harta tadi dibahagi sama banyak antara pakcik-pakcik tadi jika mereka lebih daripada seorang.

Jika pakcik seorang sahaja, semua dapat kat dia ajelah. Jika pakcik ini pula meninggal, dapatlah pada anak-anak pakcik iaitu sepupu kpd si mati.

Sepupu iaitu anak kpd pakcik adalah waris asabah paling jauh. Jika sepupu pun tak ada, barulah bagi pada baitulmal.

Dalam soalan yg diberi, kebanyakan waris adalah perempuan. Mereka tidak dikira sebagai waris yg layak.

Wallahu a'lam.

Mohd Hanafi said...

Perlukah sebahagian pembahagian harta pusaka diserahkan kepada Baitumal untuk diberi kepada waris Asabah. Tidak bolehkah kesemua bahagian harta pusaka simati diserahkan kepada anak-anak kandung simati tanpa melibatkan Baitumal & waris Asabah.

Termizi said...

Kalau dah ada waris asabah, mig tak perlu la diserahkan kpd baitulmal.

Kalau ada anak lelaki yang menerima bahagian asabah, mmg tak perlu la lagi la diserahkan kpd asabah yang lain dan tak perlu diserahkan kpd baitulmal.