Showing posts with label Hibah. Show all posts
Showing posts with label Hibah. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

Pusaka; Bidangkuasa Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri?

Soalan:

Urusan yang berkaitan harta pusaka ni, dalam bidangkuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, kena pergi mahkamah sivil atau mahkamah syariah?

Jawapan:

Kedua-dua kerajaan persekutuan & kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa masing-masing mengenai urusan harta pusaka. Kerajaan Persekutuan mempunyai bidangkuasa dalam pentadbiran pusaka, manakala kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa dalam hal-ehwal harta pusaka itu sendiri.

Keliru...? Baiklah, saya bagi contoh seperti berikut:

Apabila seseorang itu meninggal dunia dan ahli waris mendapati bahawa kemungkinan si mati telah menghibahkan sebahagian hartanya dan ada juga meninggalkan wasiat, jadi, pengesahan hibah dan wasiat ini adalah berkaitan harta pusaka itu sendiri dan ianya di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan perintah pengesahan hibah dan wasiat hendaklah dipohon di mahkamah syariah yang berkaitan.

Begitu juga sekiranya pasangan si mati ingin memohon harta sepencarian daripada si mati, permohonan pengesahan harta sepencarian adalah berkaitan hal-ehwal harta pusaka itu sendiri dan dalam bidangkuasa kerajaan negeri dan permohonan pengesahan harta sepencarian hendaklah dibuat di mahkamah syariah.

Begitu juga bagi urusan untuk mendapatkan sijil faraid, permohonan hendaklah dibuat di mahkamah syariah kerana urusan sijil faraid adalah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan mahkamah syariah.

Sementara itu, bagi urusan perlantikan pentadbir bagi harta peninggalan si mati, ini adalah berkaitan pentadbiran harta pusaka, dan ianya di bawah bidangkuasa kerajaan persekutuan dan permohonan hendaklah dibuat sama ada di unit pesaka kecil sekiranya si mati ada meninggalkan harta tak alih tidak melebihi RM2 juta atau di mahkamah tinggi sivil yang berkaitan sekiranya si mati ada meninggalkan harta melebihi RM2 juta.

Begitu juga sekiranya ahli waris ingin menjual hartanah milik si mati. Permohonan untuk perintah jualan hendaklah dipohon di mahkamah tinggi sivil memandangkan perkara ini terletak di bawah bidangkuasa kerajaan persekutuan. Hanya peguam sivil yang boleh mewakili anak guam mereka dalam hal ini dan di sini, peguam syarie hilang taringnya.

Sekiranya ahli waris ingin memindahmilik hartanah si mati kepada salah seorang pewaris, permohonan boleh dibuat sama ada di unit pesaka kecil di pejabat tanah atau di mahkamah tinggi sivil kerana ini juga dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Ringkasnya, urusan PENTADBIRAN harta pusaka seperti perlantikan pentadbir, perintah pindahmilik, dan/atau perintah jualan adalah dalam bidangkuasa kerajaan persekutuan.

Manakala, HAL-EHWAL harta pusaka itu sendiri seperti permohonan sijil faraid, pengesahan hibah, pengesahan wasiat, dan/atau pengesahan harta sepencarian adalah dalam bidangkuasa kerajaan negeri.

Monday, January 31, 2011

Hibah semasa sakit

Soalan:

Arwah suami saya telah menurunkan cap jarinya pada satu dokumen hibah semasa dia sedang sakit terlantar di atas katil. Dua (2) hari selepas dokumen hibah tersebut dibuat, dia meninggal dunia. Semasa penyediaan dokumen hibah tersebut, saya tiada di sisi arwah suami saya kerana dia dijaga oleh madu saya, iaitu isteri pertamanya di rumahnya. Saya hanya pergi melawat arwah sekali-sekala sahaja.

Saya amat meragui dokumen hibah tersebut. Dalam dokumen hibah tersebut, arwah suami saya menghibahkan sebahagian besar hartanya kepada lima (5) orang yang dinyatakan dalam dokumen hibah tersebut yang mana empat (4) daripadanya adalah bukan waris dan satu (1) daripadanya ialah waris iaitu anak sulong daripada isteri pertamanya.

Perlu juga anda ketahui bahawa arwah suami saya tu dah terlantar sakit di atas katil dah lebih dari setahun, tapi dia tetap terlantar di situ sehingga menjelang saat kematiannya.

Bolehkah anda mewakili saya untuk mencabar kesahihan dokumen hibah tersebut di mahkamah? Apa pembuktian yang anda perlukan yang boleh saya bantu?

Jawapan:

Isu ini perlu dihalusi satu-persatu. Sebelum saya menerangkannya dengan lebih detail, mari kita lihat terlebih dahulu peruntukan undang-undang mengenai isu ini.

Seksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:

"Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dalam bidang kuasa malnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah berhubung dengan; wasiat atau alang semasa marad al-maut."

Dalam peruntukan ini dengan jelas dinyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan berhubung dengan alang semasa marad al-maut.

Bagi menentukan sama ada hibah dalam situasi di atas sah atau tidak, kita hendaklah meneliti hukum dan syarat hibah mengikut pendapat ulama'-ulama'.

Isu pertama ialah isu sama ada sakit arwah suami anda adalah sakit yang dikategorikan sebagai sakit marad al-maut?

Isu kedua ialah isu penerimaan hibah. Selepas dokumen hibah diturunkan cap jari oleh pemberi hibah, adakah terdapatnya penerimaan/qabadh di sebelah penerima hibah iaitu lima (5) orang yang dinyatakan sebagai penerima hibah.

Sakit marad al-maut

Secara mudahnya, untuk menentukan sama ada sakit arwah suami anda itu adalah sakit marad al-maut atau bukan, kesaksian (shahadah) daripada dua (2) orang doktor muslim lelaki yang adil adalah bukti yang terbaik untuk memberi kesaksian (shahadah) di mahkamah bahawa sakit suami anda itu adalah sakit yang telah mengakibatkan kematiannya.

Sekiranya tidak terdapat dua (2) orang doktor muslim lelaki yang adil, saksi-saksi lain juga boleh dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi nilaian keterangan mereka tidaklah sekuat kesaksian dua (2) orang doktor muslim lelaki yang adil tadi. Keterangan ini hendaklah disokong oleh qarinah (keterangan sokongan) seperti laporan perubatan, dan/atau tingkahlaku arwah sewaktu sakit.

Ada ulama' yang berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu terlantar sakit melebihi setahun, maka sakitnya itu bukanlah sakit kronik yang boleh dikategorikan sebagai sakit marad al-maut, tapi lebih tepat untuk dikategorikan sebagai sakit yang berlarutan/berpanjangan yang mungkin masih ada harapan untuk sembuh. Jika terbukti bahawa sebab kematiannya bukanlah sebab penyakitnya yang berpanjangan tadi, tetapi sebab kematian adalah sebab penyakit baru yang menimpa seseorang pesakit tadi, dan ternyata bahawa semasa dia menurunkan cap jari pada dokumen hibah tadi adalah masih dalam keadaan penyakit lama yang berlarutan yang bukan punca kematiannya, jadi hibahnya dikira sebagai hibah seorang yang sihat. Hibah sebegini adalah sah, walaupun secara zahirnya pemberi hibah sedang sakit, kerana itu bukan sakit marad al-maut.

Sebab itulah saya katakan di awal tadi bahawa hanya kesaksian (shahadah) daripada sekurang-kurangnya dua (2) orang doktor muslim lelaki yang adil adalah pembuktian yang paling kukuh dalam menentukan sama ada suami anda dikira sihat atau sakit semasa menurunkan cap jari pada dokumen hibah tersebut.

Secara sepintas lalu, jika memang pada masa tersebut suami anda sakit yang mana sakit tersebut adalah sakit yang telah membawanya kepada kematian, itulah sakit marad al-maut dan dokumen hibah tersebut adalah tidak sah. Jika meninggalnya suami anda disebabkan penyakit lain, jadi hibah tersebut dikira sah walaupun pada masa itu dia terlantar sakit sebab itu bukan sakit marad al-maut kerana punca kematiannya adalah daripada penyakit yang lain.

Cumanya ada juga ulama' yang telah mengesahkan bahawa sesetengah penyakit itu dikategorikan sebagai penyakit marad al-maut berdasarkan nature/keadaan sakit itu sendiri, contohnya seperti yang disenaraikan oleh Syeikh al-'Utsaimin seperti penyakit radang otak, radang selaput dada, sakit jantung, cirit-birit yang berlarutan, keluar darah dari hidung, permulaan lumpuh, akhir dari penyakit TBC, demam yang berlarutan setiap empat (4) hari, orang yang berada di daerah yang sedang terjangkit penyakit taun, dan wanita yang mengalami sakit di saat melahirkan.

Jadi, dalam kes suami anda, saya hendaklah meneliti terlebih dahulu keterangan-keterangan yang ada khususnya yang berkaitan tentang penyakit suami anda sebelum dapat memberikan pendapat yang lebih tepat tentang kesahihan dokumen hibah tersebut.

Isu penerimaan/qabadh hibah

Mengikut kata anda, penerima hibah adalah lima (5) orang. Jadi kesemua lima (5) orang penerima hibah tadi mestilah menerima hibah tersebut sebelum pemberi hibah meninggal. Jika kesemua mereka mengetahui tentang hibah tersebut, dan menerima pemberian hibah tersebut semasa pemberi hibah masih hidup, hibah tersebut dianggap sah.

Adalah lebih baik sekiranya mereka menandatangani dokumen persetujuan penerimaan hibah dan disaksikan persetujuan mereka itu oleh orang yang sama yang menyaksikan penurunan cap ibu jari pemberi hibah itu sendiri. Jika begini keadaannya, hibah tersebut adalah sempurna dan berkuatkuasa.

Jika elemen penerimaan tadi tidak terdapat pada dokumen hibah dan berjaya dibuktikan bahawa penerima hibah tidak mengetahui tentang hibah tersebut semasa hayat pemberi hibah, dokumen tersebut dianggap sebagai dokumen wasiat, yang mana kesahihan wasiat adalah dengan syarat harta yang diwasiatkan tidak lebih daripada satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pewasiat.

Sekiranya lebih daripada satu pertiga (1/3), keizinan daripada waris yang lain hendaklah diperolehi. Ini adalah bagi menjaga hak ahli waris yang lain termasuk anda.


-Isu tentang hibah semasa marad al-maut ada juga dibincangkan di majalah solusi isu #18, pada mukasurat 88.


-Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di www.stormreaders.net/pustakamizi
-Maklumat lanjut tentang stormreaders di www.stormreaders.co

Thursday, January 20, 2011

Wasiat keseluruhan harta, dan dibahagikan samarata kepada waris

Soalan:

Saya nak mewasiatkan semua harta saya kepada isteri & 4 orang anak saya (1 perempuan & 3 lelaki) secara samarata. Tolong sediakan dokumen wasiat tersebut.

Jawapan:

Sebelum saya menyediakan dokumen wasiat tersebut, anda perlu faham sekurang-kurangnya tiga (3) perkara tentang wasiat berkaitan hasrat anda ini sebagaimana berikut:

1. Wasiat kepada waris sendiri;

2. Wasiat keseluruhan harta; dan

3. Mewasiatkan pembahagian harta secara samarata.

Saya akan menerangkan satu-persatu isu di atas secara ringkas seperti berikut:

1. Wasiat kepada waris sendiri

Secara dasarnya, orang Islam dilarang mewasiatkan hartanya kepada waris sendiri. Ini adalah kerana ahli waris sudah pasti akan mendapat bahagian mereka masing-masing daripada harta pusaka si mati. Jadi, hak waris sentiasa terjaga dan wasiat kepada waris tidak diperlukan.

Wasiat pada asalnya adalah untuk menjaga kepentingan orang lain yang mempunyai hubungan rapat dengan pewasiat tetapi bukan waris kepada pewasiat seperti anak angkat atau sesiapa yang menjaga kebajikan pewasiat semasa hayatnya seperti jiran atau rakan, atau orang yang disayangi oleh pewasiat seperti tok guru, atau pak lebai dan sebagainya, atau orang yang banyak berjasa kepada pewasiat seperti adik-beradik, ipar-duai, sepupu-sepapat, dan sebagainya.

Wasiat juga bertujuan supaya pewasiat boleh mewakafkan hartanya untuk tujuan kebajikan supaya pewasiat sentiasa mendapat pahala amal jariah yang berterusan selepas pewasiat meninggal dunia.

Jadi, wasiat kepada waris memang tak perlu dan ramai ulama' yang menyatakan bahawa wasiat kepada waris adalah tidak sah, kecuali mendapat keizinan daripada ahli waris yang lain. Keizinan tersebut pula hendaklah diperolehi selepas pewasiat meninggal dunia kerana ijab & qabul wasiat akan hanya berlaku selepas kematian pewasiat.

Walau bagaimanapun, ada ulama' yang berpendapat bahawa wasiat kepada waris sendiri adalah dibolehkan asalkan tidak melebihi kadar satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pewasiat.

Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk membahaskan perbezaan pendapat antara ulama'-ulama', tetapi memadai untuk saya nyatakan bahawa Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 telah menerima pendapat bahawa wasiat kepada waris sendiri adalah dibenarkan asalkan kadarnya tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pewasiat.

Saya ada menulis tentang kedudukan wasiat kepada waris di negari Selangor dalam artikel sebelum ini dan boleh dibaca di pautan berikut: http://mizico.blogspot.com/2009/08/peruntukan-undang-undang-tentang-wasiat.html

Bagi negeri-negeri yang tiada peruntukan tentang wasiat, kedudukan wasiat kepada waris adalah berdasarkan keputusan mahkamah syariah di tempat berkenaan (sekiranya ada dicabar kesahihan sesuatu wasiat) dan artikel ini tidaklah ditulis untuk mengkaji kes demi kes yang berlaku di negara kita tentang wasiat kepada waris. Mungkin dikesempatan yang lain, akan saya huraikan secara detail tentang perbezaan pendapat ini dan hujah-hujah ulama' tentang perkara ini.

Beruntunglah orang Islam Negeri Selangor kerana kerajaan negeri Selangor telah meluluskan Enakmen Wasiat pada tahun 1999 lagi dan perbezaan pendapat ulama' tentang isu ini adalah tidak relevan lagi untuk dibahaskan di mahkamah di Selangor, dan ia cuma relevan untuk perbahasan akademik sahaja.

2. Wasiat keseluruhan harta

Wasiat keseluruhan harta memang jelas adalah dilarang kerana hal ini akan menafikan hak-hak waris yang lain yang juga berhak kepada harta pewasiat. Wasiat keseluruhan harta akan hanya dikira sah jika kesemua ahli waris bersetuju untuk melepaskan hak masing-masing bagi menyempurnakan hasrat pewasiat tadi.

Siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa semua ahli waris boleh bersetuju jika kesemua harta diwasiatkan seratus peratus (100%). Lagipun, kebenaran atau persetujuan waris ini hendaklah diambilkira selepas pewasiat meninggal dunia dan bukan semasa pewasiat masih hidup.

Jadi, saya tidak menggalakkan wasiat sebegini sebab kesahihannya boleh dipertikaikan. Saya berpendapat adalah lebih baik menyediakan satu dokumen yang memang sah & berkuatkuasa tanpa apa-apa risiko bantahan berbanding daripada menyediakan satu dokumen yang boleh dipertikaikan suatu hari nanti.

3. Kandungan wasiat yang bercanggah dengan hukum Syariah

Apabila anda berhasrat untuk membahagikan harta secara samarata di antara isteri dan anak-anak lelaki dan perempuan, pembahagian sebegini adalah bercanggah dengan pembahagian faraidh yang mana hak isteri bagi suami yang mempunyai anak ialah satu perlapan (1/8), manakala pembahagian anak lelaki adalah dua (2) kali ganda daripada pembahagian kepada anak perempuan. Kadar ini adalah berasaskan ayat-ayat al-Quran yang sepatutnya tiada orang Islam boleh mempertikaikannya.

Artikel ini tidak bertujuan untuk menghuraikan tentang kadar pembahagian faraidh, cuma yang pasti, pembahagian secara samarata adalah bercanggah dengan pembahagian faraidh dan wasiat sebegini adalah tidak sah.

Berdasarkan penerangan di atas, jadi saya agak keberatan untuk menyediakan dokumen wasiat bagi anda sebagaimana yang anda hajatkan.

Soalan:

Susahnya nak buat wasiat. Banyak pulak syarat-syaratnya. Tak payah buatlah kalau macam tu.

Jawapan:

Jangan pula anda salah faham. Bukanlah wasiat itu untuk menyusahkan umat Islam dengan segala syarat yang perlu dipenuhi bagi menjadikannya sah dan berkuatkuasa. Syarat-syarat yang dibuat adalah antara lainnya untuk menjaga kebajikan ahli waris yang lain supaya semuanya dapat menikmati harta pusaka si mati secara adil dan saksama.

Soalan:

Habis tu, apa yang perlu saya buat sekarang supaya harta saya itu dibahagikan secara sama rata pada isteri dan anak-anak saya itu. Saya tak mahu mereka bergaduh sesama sendiri selepas saya meninggal nanti.

Jawapan:

Mungkin anda hanya menyebut istilah wasiat padahal anda sendiri tidak faham apa itu wasiat. Jika anda benar-benar ingin membahagikan semua harta secara sama banyak kepada waris sendiri, tak perlulah membuat dokumen wasiat. Bagi ajelah sekarang ini (semasa anda hidup) sama ada secara dokumen hibah atau melalui instrumen-instrumen lain yang lebih bertepatan dengan hasrat/hajat anda itu berdasarkan jenis dan status harta anda itu.

Satu perkara yang perlu anda faham adalah, pembahagian samarata tidak semestinya adil.

Anda mungkin tidak perlu memberikan harta yang banyak kepada isteri anda kerana mungkin selepas kematian anda, dia boleh berkahwin dengan orang lain yang mempunyai harta yang lebih banyak daripada anda!?

Perlu juga anda ingat bahawa isteri anda boleh menuntut harta sepencarian daripada anda selepas anda meninggal dunia. Dokumen perjanjian harta sepencarian inipun sebenarnya boleh disediakan sekarang ini. Baki daripada harta sepencarian barulah dikira sebagai harta pusaka. Jadi, 1/8 bahagian untuknya daripada harta pusaka adalah memadai. Wasiat tidak perlu.

Anak perempuan anda akan mempunyai suami dan suaminya adalah bertanggungjawab untuk mencari nafkah bagi menyara hidup anak perempuan anda. Jadi bahagiannya yang secara relatif agak sedikit berbanding anak lelaki adalah logik kerana tanggungannya yang sedikit.

Anak-anak lelaki anda perlu bekerja keras bagi menyara hidup keluarganya. Jadi, jika harta pusaka yang anda tinggalkan untuk mereka secara relatifnya sedikit berbanding dengan pembahagian faraidh yang memberikan mereka hak yang lebih banyak, susahlah mereka untuk mendapatkan rezeki tambahan kerana anda sendiri telah menyempitkan mereka dengan mengurangkan hak mereka.

Sesungguhnya undang-undang pewarisan Islam adalah sangat adil. Cuma umat Islam itu sendiri yang kekurangan ilmu untuk memahami dan menghayati keindahan dan keadilan tersebut.

Untuk mengelakkan isteri dan anak-anak anda daripada bergaduh sesama sendiri, berilah ilmu dan kesedaran tentang penghayatan Islam kepada mereka. Insya-Allah, dengan izin Allah, tiada umat Islam akan mempertikaikan hak mereka dan hak orang lain jika mereka benar-benar memahami ajaran Islam.

-Isu-isu di atas ada juga dihuraikan dalam majalah Solusi, isu #19 pada bahagian Faraid.

-Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di laman web berikut: www.stormreaders.net/pustakamizi

-Maklumat lanjut tentang stormreaders boleh didapati di www.stormreaders.co


Monday, January 10, 2011

Adakah penama KWSP boleh mengambil semua wang peninggalan si mati untuk kegunaanya seorang?

Ada yang bertanya kepada saya soalan seperti berikut:

Adakah penama dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengambil semua wang simpanan si mati untuk kegunaan dirinya seorang?

Jawapan saya:

Tidak boleh. Penama dalam KWSP tidak boleh mengambil semua wang KWSP milik si mati bagi kegunaannya mutlak. Bahkan wang milik si mati yang disimpan dalam KWSP adalah harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada semua waris yang layak bagi si mati.

Soalan berbangkit:

Bukankah si mati telah menamakan saya sebagai penamanya. Jadi wang tersebut adalah milik saya sepenuhnya.

Jawapan saya:

Memang benar si mati telah menamakan anda sebagai penamanya. Tetapi status penama dalam KWSP (bahkan dalam jenis penama-penama yang lain seperti Tabung Haji, dan sebagainya) hanyalah sebagai wasi, atau pentadbir (executor) bagi harta pusaka si mati.

Apabila si mati menamakan anda sebagai penama, bukanlah hasrat si mati menghadiahkan wang tersebut kepada anda. Ini tidak dikategorikan sebagai hibah. Ini adalah kerana hibah berkuatkuasa serta merta sedangkan tujuan prosedur penamaan bukanlah untuk memberi efek pemindahan harta secara serta merta.

Ini juga tidak boleh dikategorikan sebagai wasiat kerana wasiat hanya sah sekadar satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta si mati supaya tidak menjejaskan hak waris-waris yang lain.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 20 September 1973 dan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada 19 September 2000, memutuskan bahawa penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta dan penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraidh.

Sekiranya si mati memang ingin mewasiatkan 1/3 daripada hartanya yang terkumpul dalam KWSP kepada penama tadi, hal ini hendaklah dinyatakan secara jelas dalam dokumen wasiat yang berasingan supaya tidak menimbulkan perbalahan dengan ahli waris yang lain. Ini kerana sesuatu wasiat hanya dikira sah apabila dinyatakan secara jelas dan tidak boleh difahami secara kiasan atau implied meaning daripada konsep penamaan.

Persoalan ini juga pernah ditimbulkan dalam kes Re Ismail Bin Rentah yang pernah saya tulis sebelum ini dan boleh dibaca di sini.

Soalan berbangkit:

Oleh itu, kenapa KWSP membenarkan penama mengambil semua harta si mati sedangkan waris yang lain juga berhak?

Jawapan saya:

Inilah masalahnya undang-undang di Malaysia. Keputusan Majlis Fatwa tidak diwartakan sebagai satu keputusan yang mesti diikuti oleh pihak-pihak yang terlibat. Jika pihak KWSP tidak mengubah prosedurnya, mufti tak boleh buat apa-apa sebab mufti tak ada kuasa. Mufti hanya boleh berbincang panjang lebar, merujuk kepada segala kitab dan nas yang ada dan akhirnya bermuafakat untuk memutuskan satu hukum dan hukum tersebut diabaikan begitu sahaja.

Soalan seterusnya:

Macamana nak selesaikan isu ini?

Jawapan saya:

Saya berpendapat adalah amat perlu suatu perubahan atau pindaan dibuat pada dokumen-dokumen penamaan supaya ianya ditulis dengan jelas bahawa penama adalah wasi atau petadbir harta bagi si mati. Atau mungkin suatu pindaan undang-undang yang mewajibkan semua harta peninggalan si mati diserahkan terlebih dahulu kepada Amanah Raya Berhad (ARB) (seperti yang dipraktiskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekarang ini) dan ARB akan hanya mengeluarkan harta peninggalan si mati secara terus kepada waris-waris si mati mengikut perintah pembahagian oleh unit pesaka kecil di pejabat tanah atau oleh mahkamah tinggi (mengikut bidangkuasa masing-masing) atau sekurang-kurangnya mengikut sijil faraidh yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah. Penama hanyalah bertindak sebagai pemohon atau pempetisyen sebagaimana yang diamanahkan oleh si mati.

Soalan seterusnya:

Kalau saya nak ambil jugak semua duit tu untuk saya?

Jawapan saya:

Saya dah bagi pendapat saya. Kalau anda nak ambil jugak, pandai-pandailah anda jawab dengan Allah s.w.t.

- Persoalan di atas juga ada dijelaskan oleh Ustaz Md. Yazid Ahmad dalam majalah Solusi isu # 23 pada muka surat 89.



- Anda boleh mendapatkan majalah Solusi secara online di laman web berikut: http://www.stormreaders.net/pustakamizi

- Untuk menyertai rangkaian Stormreaders, sila layari http://www.stormreaders.co/

Monday, October 18, 2010

Contoh Soalan Instrumen Perancangan Harta Islam Dan Pentadbiran Pusaka

Soalan:

Datuk J dengan cara rahsia telah mengahwini setiausaha peribadinya, Mona, pada 14 Mac 2010 di Perlis. Perkahwinan tersebut telah dilangsungkan oleh jurunikah yang bertauliah dengan kehadiran 2 orang saksi di rumah pengantin perempuan.

Sebaik selesai sahaja upacara akad nikah tersebut, Datuk J menerima panggilan daripada isterinya, Datin N, yang baru mengetahui upacara tersebut. Datin N mengugut akan membocorkan rahsia peribadi Datuk J jika beliau tetap meneruskan perkahwinan tersebut.

Takut dengan ugutan tersebut, Datuk J segera memutuskan untuk kembali ke Kuala Lumpur dan sempat melafazkan talaq satu kepada Mona. Beliau bergegas ke keretanya meninggalkan Mona dan keluarganya tercengang-cengang di atas perlakuannya.

Malangnya, Datuk J telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya 1 km dari rumahnya di Bukit Antarabangsa kira-kira pukul 3.29 pagi.

Datuk J meninggalkan harta-harta berikut:

(a) Banglo di Bukit Antarabangsa di mana beliau tinggal bersama isteri dan anak-anaknya. Banglo tersebut telah ditukar nama kepada nama Datin N 2 minggu sebelum kematiannya;

(b) Banglo di Shah Alam yang dibelinya sebagai hadiah kepada Mona di mana telah dihuni oleh Mona sejak 3 bulan yang lalu;

(c) 50% saham di dalam Syarikat Tara Untung Bhd di mana nilai keseluruhan saham tersebut adalah RM6.5 juta;

(d) Sebidang tanah di Putra Jaya yang dibelinya setahun yang lalu bernilai RM28 juta. 2 bulan selepas kematian Datuk J, Datin N Berjaya memperolehi deklarasi mahkamah syariah yang memutuskan bahawa tanah tersebut adalah harta sepencarian dan Datin N mempunyai hak 40% di atas tanah tersebut; dan

(e) RM500,000 di dalam akaun Tabung Haji di mana Datin N dilantik menjadi penama.

Datin N merujuk kepada anda, sebagai seorang Peguam syarie tersohor, dan menamakan anggota keluarga berikut sebagai waris:

Datin N (isteri), Bada, Badi, Badu (anak lelaki), Joyah, Bedah (anak perempuan), Munah (ibu) dan Kaduk (bapa).

Hasil daripada siasatan, anda mendapati bahawa:

(a) Bedah merupakan seorang anak angkat melalui proses undang-undang, akan tetapi beliau dibintikan kepada Datuk J.

(b) Kaduk merupakan bapa tiri kepada Datuk J.

(c) Datuk J meninggalkan wasiat RM100,000 kepada Munah. Kesemua waris tidak bersetuju akan wasiat tersebut.

Dengan merujuk kepada peruntukan hukum syara’, sediakan nasihat dan hujah undang-undang bagi menyelesaikan kes ini.


Jawapan:

Di dalam kes ini beberapa isu perlu dikenalpasti dan difahami terlebih dahulu. Isu-isu tersebut bolehlah dibahagikan seperti berikut:

a) waris-waris yang berhak menerima harta pusaka peninggalan Datuk J (si mati); dan

b) harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati.


A) Persoalan tentang waris-waris yang berhak menerima harta pusaka peninggalan si mati akan
menjurus pula kepada isu-isu status waris seperti di bawah:

i) Mona sebagai isteri kedua si mati yang telah diceraikan oleh si mati beberapa jam
sebelum kematian si mati;

ii) Bedah yang merupakan anak angkat si mati melalui proses undang-undang dan
dibintikan kepada si mati; dan

iii) Kaduk yang merupakan bapa tiri kepada si mati.


B) Persoalan tentang harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati akan menjurus pula kepada isu-isu status harta seperti di bawah:

i) Bungalow di Bukit Antarabangsa yang telah ditukar nama kepada Datin N;

ii) Bungalow di Shah Alam yang dihadiahkan kepada Mona;

iii) 50% saham di dalam Syarikat Tara Untung Bhd. di mana nilai keseluruhan saham tersebut adalah RM6.5 juta;

iv) Sebidang tanah di Putra Jaya yang bernilai RM28 juta yang mana mahkamah syariah telah memutuskan bahawa 40% daripadanya dikira sebagai harta sepencarian si mati dengan Datin N;

v) RM500,000 di dalam akaun Tabung Haji di mana Datin N dilantik menjadi penama; dan

vi) Wasiat RM100,000 kepada Munah iaitu ibu si mati yang tidak dipersetujui oleh waris-waris
yang lain.

Setelah persoalan-persoalan di atas dirungkai mengikut peruntukan hukum syara’, barulah kita boleh membuat pengiraan pembahagian faraidh bagi harta pusaka peninggalan si mati.


Waris-waris si mati

Status Mona sebagai isteri kedua yang diceraikan oleh si mati beberapa jam sebelum kematian si mati tidak menjejaskan hak Mona untuk layak menerima harta pusaka si mati kerana perceraian tersebut adalah perceraian yang boleh dirujuk (talak raj’i) dan tempoh perkahwinan adalah masih di dalam ‘iddah.

Bedah yang merupakan anak angkat si mati melalui proses undang-undang bukanlah waris yang layak menerima harta pusaka si mati walaupun dibintikan kepada si mati. Ini adalah kerana Bedah tidak mempunyai pertalian darah dengan si mati.

Begitu juga halnya bagi Kaduk iaitu bapa tiri si mati bukanlah waris yang layak menerima harta pusaka si mati kerana Kaduk tidak mempunyai pertalian darah dengan si mati.

Oleh hal yang demikian, kesimpulannya Mona juga layak menerima harta peninggalan si mati dan sementara itu, Bedah dan Kaduk hendaklah dikecualikan daripada menerima harta pusaka si mati.

Waris-waris lain bagi si mati ialah Datin N (isteri), Bada, Badi, Badu (anak lelaki), Joyah (anak
perempuan) dan Munah (ibu).


Harta pusaka peninggalan si mati

Bungalow di Bukit Antarabangsa bukanlah harta pusaka peninggalan si mati kerana ianya telahpun dipindahmilik semasa si mati masih hidup.

Begitu jugalah dengan status bungalow di Shah Alam kerana ianya telahpun dihadiahkan kepada Mona semasa si mati masih hidup.

50% saham di dalam Syarikat Tara Untung Bhd. adalah bernilai RM3,250,000.

Manakala hanya 60% nilaian tanah di Putrajaya dikira sebagai harta pusaka peninggalan si mati kerana 40% daripadanya memang menjadi milik mutlak Datin N sebagaimana yang telah disahkan oleh mahkamah syariah. Nilaian harta pusaka peninggalan si mati ialah RM16,800,000 berdasarkan nilaian keseluruhan semasa aset RM28 juta.

Sementara itu, keseluruhan wang simpanan si mati di dalam Tabung Haji adalah dikira sebagai harta pusaka peninggalan si mati walaupun penamanya hanyalah Datin N seorang. Perkara ini adalah berdasarkan kiasan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 20 September 1973 dan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada 19 September 2000 yang memutuskan bahawa penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah wasi atau pentadbir harta dan penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraidh.

Terdapat juga kes-kes terdahulu yang berkaitan dengan isu penama seperti yang diputuskan di dalam kes Re Ismail Bin Rentah Si Mati Haji Hussain Bin Singah Lwn. Liah Binti Lerong [1940] MLJ 98.

Mengenai isu wasiat si mati kepada ibunya Munah, terdapat perbezaan pendapat antara para ulama’ tentang wasiat kepada waris. Ada ulama’ yang mengatakan wasiat tersebut adalah sah asalkan tidak melebihi satu pertiga daripada nilai bersih harta pusaka si mati berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. tentang keharusan wasiat yang tidak melebihi kadar satu pertiga.

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa wasiat tidak boleh diberikan kepada para waris kerana waris sudahpun mendapat haknya mengikut hukum faraidh dan pemberian wasiat kepada waris akan hanya mengurangkan jumlah harta si mati kepada waris-waris yang lain.

Mengikut seksyen 11(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) No. 4 Tahun 1999, wasiat kepada waris adalah sah tertakluk kepada seksyen 26(2) iaitu tidak melebihi kadar satu pertiga melainkan mendapat kebenaran semua waris. Ini bermaksud, kebenaran waris hanya relevan bagi wasiat yang melebihi kadar satu pertiga.

Sementara di negeri-negeri lain di Malaysia, peruntukan wasiat masih bedasarkan Enakmen Pentadbiran Agama masing-masing yang masih terlalu umum. Pemakaian undang-undang wasiat di negeri-negeri tersebut berdasarkan bidang kuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam hal ini, memandangkan si mati tinggal di Bukit Antarabangsa dalam negeri Selangor, jadi wasiat si mati kepada ibunya adalah sah dan berkuatkuasa.


Pengiraan faraidh

Senarai waris si mati dan pembahagian faraidh adalah sebagaima berikut:

1 Ibu (1/6) Kerana si mati meninggalkan anak (Surah an-Nisa’: 11)

2 Isteri (1/8) Kerana si mati meninggalkan anak (Surah an-Nisa’: 12)

3 Anak Lelaki dan 1 Anak Perempuan Ditaksibkan mengikut nisbah 2:1 (iaitu 2 bahagian bagi anak lelaki dan 1 bahagian bagi anak perempuan) (Surah an-Nisa’: 176)

Pengiraan selanjutnya adalah sebagaimana berikut:

1 Ibu (1/6) = 4/24
2 Isteri (1/8) = 3/24

3 Anak Lelaki dan 1 Perempuan mengambil Asabah (Baki) = 17/24


Pengiraan Asabah (baki) adalah sebagaimana berikut:

3 orang anak lelaki x 2 bahagian = 6 bahagian
1 orang anak perempuan x 1 bahagian = 1 bahagian
Keseluruhan bahagian = 7 bahagian


Jadi, pembahagian asabah adalah sebagaimana berikut:

3 anak lelaki = 6/7 bahagian
1 anak perempuan = 1/7 bahagian

Pengiraan selanjutnya adalah untuk mendapatkan pembawah yang sama bagi asabah sebagaimana
berikut:

Anak lelaki = 6/7 x 17/24 = 102/168

Anak perempuan = 1/7 x 17/24 = 17/168

Jadi, pengiraan faraidh berkeputusan sebagaimana berikut:

1 Ibu = 28/168
2 Isteri = 21/168
3 Anak Lelaki = 102/168
1 Perempuan = 17/168


Memandangkan si mati meninggalkan 2 orang isteri, pengiraan faraidh ditashihkan lagi sebagaimanaberikut:

1 Ibu = 56/336
2 Isteri = 42/336 (setiap seorang isteri mendapat 21 bahagian)
3 Anak Lelaki = 204/336 (setiap anak lelaki mendapat 68 bahagian)
1 Perempuan = 34/336


Pengiraan harta pusaka si mati

Pengiraan harta pusaka si mati adalah sebagaimana berikut:

Saham di dalam Syarikat Tara Untung Bhd. = RM3,250,000.00
Tanah di Putrajaya = RM16,800,000.00
Wang simpanan di dalam Tabung Haji = RM500,000.00
Jumlah Keseluruhan = RM20,550,000.00

Setelah nilai di atas ditolak dengan wasiat yang sah kepada ibu si mati, nilai keseluruhan harta si mati ialah RM20,450,000.00

Pembahagian akhir harta peninggalan si mati mengikut bahagian faraidh waris-waris si mati adalah sebagaimana berikut:

Munah (Ibu) = 56/336 = RM3,408,333.30
Datin N (Isteri Pertama) = 21/336 = RM1,278,125.00
Mona (Isteri Kedua) = 21/336 = RM1,278,125.00
Bada (Anak Lelaki 1) = 68/336 = RM4,138,690.50
Badi (Anak Lelaki 2) = 68/336 = RM4,138,690.50
Badu (Anak Lelaki 3) = 68/336 = RM4,138,690.50
Joyah (Anak Perempuan) = 34/336 = RM2,069,345.20
Jumlah Keseluruhan = 336/336 = RM20,450,000.00


Jawapan ini disediakan oleh:
Ahmad Termizi Bin Abdullah
No. Matrik: G1010557
Instrumen Perancangan Harta Islam Dan Pentadbiran Pesaka (SHA 5511)
Pusat Undang-undang Harun M. Hashim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

- Jawapan ini boleh dibaca dan/dimuat turun dalam bentuk pdf di pautan berikut:

Pusaka-Ujian

Friday, October 16, 2009

Beza antara Wasiat dan Hibah; contoh kes

Ada yang bertanya kepada saya soalan seperti berikut:

Saya mempunyai dua buah rumah iaitu sebuah apartment dan sebuah rumah flat. Saya mempunyai seorang isteri dan dua orang anak masing-masing berumur 18 tahun dan 11 tahun. Ibu bapa saya juga masih hidup. Saya mahu supaya apartment tersebut dipindahmilik kepada isteri dan anak bongsu saya selepas saya meninggal. Apa dokumen yang perlu disediakan?

Dalam kes ini terdapat beberapa fakta yang perlu dijelaskan dengan lebih terperinci. Mungkin sesi perbincangan perlu diadakan supaya persoalan atau niat sebenar penanya boleh dirungkai. Walau bagaimanapun, saya akan cuba menjawab setakat yang termampu seperti berikut;

Yang pertamanya, penanya berhasrat untuk menyediakan dokumen wasiat kerana mahu memindahmilik apartmentnya kepada isteri dan salah seorang anaknya hanya selepas dia meninggal dunia. Dia tidak mahu (atau mungkin tidak boleh) memindahmilik apartment tersebut semasa hayatnya.

Isu yang kedua ialah isu wasiat kepada ahli waris. Isu ini telah saya huraikan dalam artikel sebelum ini dan boleh dibaca kembali di pautan berikut; http://mizico.blogspot.com/2009/08/peruntukan-undang-undang-tentang-wasiat.html

Secara ringkasnya, untuk mengelakkan dokumen wasiat daripada dicabar kesahihannya, saya menasihatkan supaya wasiat kepada ahli waris hendaklah tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta pewasiat.

Berdasarkan fakta kes yang diberi, saya berpendapat bahawa jika keseluruhan apartment diwasiatkan kepada isteri dan anak kedua, harta yang diwasiatkan sudahpun melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta penanya memandangkan harta lain yang dimiliki oleh penanya ialah sebuah flat yang harga pasarannya lebih rendah daripada apartment. Oleh itu, saya berpendapat bahawa penyediaan dokument wasiat adalah tidak tepat kerana ahli waris yang lain berhak mencabar kesahihannya.

Memang benar bahawa wasiat yang melebihi kadar satu pertiga dikira sah dan boleh berkuatkuasa sekiranya diizinkan oleh ahli waris yang lain. Tetapi perlu diingat bahawa keizinan daripada ahli waris yang lain hendaklah diperolehi selepas pewasiat meninggal dunia, bukan sebelum meninggal dunia, kerana pindahmilik hanya akan dilakukan selepas pewasiat meninggal dunia. Siapa yang boleh beri jaminan bahawa ahli waris yang lain bersetuju dengan wasiat yang melebihi kadar satu pertiga, yang menyebabkan hak ahli waris yang lain seolah-olah telah dinafikan. Ada kemungkinan anak pertama dan ibu-bapa juga mahu menuntut haknya pada apartment terbabit. Siapa tahu…

Alternatif yang lain ialah penyediaan dokumen hibah. Perlu difahami bahawa hibah berkuatkuasa serta-merta dan tidak boleh ditarik balik. Dalam contoh kes yang diberi, si suami tidak boleh menarik balik hibah yang diberi kepada isterinya tadi kerana kesan hibah adalah serta-merta. Walau bagaimanapun, seorang ayah boleh menarik balik hibah kepada anaknya. Jika yang bertanya memang berhasrat untuk memindahmilik sebahagian apartment tersebut kepada isterinya semasa hayatnya, dokumen hibah boleh disedikan.

Risikonya hanya satu (setakat yang saya nampak), sekiranya berlaku perceraian, sebahagian apartment tersebut sudahpun dengan jelas menjadi milik si isteri, bahkan si isteri mungkin berhak menuntut harta-harta yang lain pula sebagai harta sepencariannya yang menyebabkan baki harta suami semakin mengecil untuk ditinggalkan kepada ahli waris yang lain.

Oleh itu, saya merasakan bahawa perlu diadakan sesi perbincangan supaya dapat difahami dengan jelas tentang hasrat yang bertanya tadi supaya penyelesaian yang dicapai benar-benar menepati kehendaknya.
Wallahu a'lam....

Monday, October 12, 2009

Penyediaan Dokumen Wasiat; Siapakah Yang Lebih Layak?

Saya mempunyai pengalaman menyediakan dokumen wasiat untuk beberapa orang anak guam saya. Walau bagaimanapun, saya juga acap kali mendapat layanan yang kurang menggembirakan apabila bercerita atau berbicara tentang wasiat.

Apa tidaknya… Kebanyakan daripada orang awam sekarang ini melihat bahawa penyediaan dokumen wasiat lebih senang, mudah dan murah sekiranya tidak dibuat oleh peguam. Saya pada awalnya tidaklah ingin memberikan komen tentang persepsi masyarakat ini. Walau bagaimanapun, memandangkan masyarakat hari ini sudah memandang enteng dan mudah tentang profesion seorang peguam, saya rasa agak terpanggil untuk memberi komen seperti di bawah.

Memang tidak dinafikan bahawa penyediaan dokumen wasiat di Malaysia hari ini agak mudah dengan adanya pelbagai institusi yang ditubuhkan seperti Amanah Raya Berhad, As-Salihin Trustee Berhad, Wasiah Shop, dan beberapa institusi perbankan seperti Bank Muamalat Malaysia Berhad, dan CIMB Bank Berhad.

Saya tidak menafikan bahawa institusi-institusi ini secara tidak langsung telah menggalakkan umat Islam agar mewasiatkan harta mereka dan ini secara tidak langsung telah juga mendidik umat Islam untuk lebih bijak merancang dan membahagikan harta mereka.

Harapnya selepas ini isu harta yang tidak dituntut dan hartanah yang gagal dimajukan kerana masalah pemilikan dapat dikurangkan dan dihapuskan sedikit demi sedikit. Harapnya juga isu pergaduhan dan perbalahan antara ahli waris tentang harta pusaka juga akan berkurangan.

Cumanya apa yang sedikit membuatkan saya terkilan ialah apabila promosi besar-besaran dibuat oleh institusi-institusi terlibat telah membuatkan seolah-olah para peguam sudah tidak berkelayakan untuk menyediakan dokumen wasiat. Bahkan saya pernah disoal oleh seseorang; Peguam pun boleh sediakan dokumen wasiat ke?

Inilah masalahnya bagi para peguam secara umumnya. Kerja-kerja guaman atau dokumen perundangan yang pada asalnya hanyalah kerja-kerja peguam kini sudah diambil alih oleh pihak-pihak lain seolah-olah peguam pula yang tidak berkelayakan menyediakannya.

Hal ini bukan sahaja berlaku pada bidang wasiat dan hibah, bahkan juga berlaku pada bidang-bidang lain seperti setiausaha syarikat, ejen hartanah, ejen trademark, dan seumpamanya padahal peguam juga berkelayakan dalam bidang-bidang tersebut. Lebih menyedihkan lagi apabila institusi-institusi lain lebih senang cari makan dalam bidang tersebut padahal ini asalnya kerja-kerja peguam dan nampaknya sekarang peguam pula yang susah nak cari makan dalam bidang-bidang tersebut.

Saya bukanlah nak menafikan kemahiran atau kepakaran institusi terbabit dalam bidang masing-masing, cuma janganlah pula peguam dipinggirkan. Apabila ada masalah, barulah nak jumpa peguam dan minta nasihat. Kalau tak ada apa-apa, minta ajelah orang lain yang buat, tak perlu jumpa peguam… Satu sikap yang saya tidak tahu kenapa boleh berlaku. Apabila peguam kenakan caj sentiasa dikatakan mahal, padahal kalau badan-badan professional lain yang kenakan caj terus saja bayar.

Kalau peguam tunjukkan bil, selalu disebut; “Nanti menang kes, saya bayarlah”, tapi kalau doktor/hospital tunjukkan bil tak pula sebut; “Nanti saya sihat, saya bayarlah”.

Mengikut Seksyen 37 Legal Profession Act 1976 (Act 166)

37. No unauthorised person to act as advocate and solicitor.
(2) ... any unauthorised person who either directly or indirectly -
(a) draws or prepares any document or instrument relating to any immovable property or to any legal proceedings or to any trust; or
shall, unless he proves that the act was not done for or in expectation of any fee, gain or reward, be guilty of an offence under this subsection.

Saya tak mahu mengulas lanjut tentang Seksyen 37 di atas. Anda boleh membacanya berulang kali untuk memahaminya. Cuma ingin saya tekankan di sini bahawa khidmat nasihat seorang peguam pastinya berlainan dengan khidmat nasihat daripada insitusi-institusi lain yang hanya fokus pada bidang mereka.

Para peguam telah dididik dan diajar tentang aspek undang-undang secara lebih menyeluruh dan pemahaman para peguam tentang undang-undang adalah lebih menyeluruh dan lebih tepat untuk memastikan setiap dokumen adalah sah dan berkuatkuasa.

Nampaknya hanya satu ajelah bidang peguam yang masih belum disentuh oleh institusi lain iaitu bidang ‘bercakap dalam mahkamah’. Tidak mustahil selepas ini, apabila banyak sangat bidang lain dah diambil alih oleh institusi-institusi lain, maka para peguam selepas ini terpaksa meletakkan yuran yang tinggi semata-mata untuk bercakap di mahkamah walaupun bercakat tak sampai 5 minit sebab hanya inilah jalan cari makan peguam.

Okay setakat ini dulu… “No money, No talk” Bayar dulu, baru boleh cakap… Tak ke susah mahkamah kalau peguam dah jadi bisu di mahkamah…

Monday, August 31, 2009

Hibah dan Wasiat; Contoh kes

Ada yang bertanya kepada saya perkara berikut:

Emak saudara saya nak beli rumah. Dia ada duit pencen tapi duit tu tidak mencukupi. Dia minta bantuan saya untuk cukupkan harga pembelian. Sebagai balasan, dia setuju untuk letak nama rumah tersebut atas nama saya seorang. Yang penting baginya hanyalah untuk tinggal di rumah baru yang lebih selesa tanpa gangguan. Macamana nak buat?
Jawapan saya adalah sebagaimana berikut:

Ada beberapa isu dalam persoalan di atas. Beberapa fakta perlu diperhalusi. Antaranya ialah pembeli yang ingin membeli rumah tetapi wang yang tidak mencukupi. Lepas tu minta bantuan kewangan daripada anak saudara dan sebagai balasan, rumah didaftarkan atas nama anak saudara.

Untuk memudahkan huraian, saya ringkaskan Emak Saudara sabagai (ES) dan Anak Saudara sebagai (AS). Dalam kes ini, rumah tersebut akan didaftarkan atas nama AS. Ini bermakna wang asal daripada ES sudah dihibahkan atau dihadiahkan daripada ES kepada AS. Buktinya, rumah tersebut atas nama AS dan bukan nama bersama antara ES dan AS.

AS tak nak pun rumah tu sebab mungkin dia ada rumah yang lebih besar dan dia cuma hanya nak tolong ES dapatkan rumah yang lebih selesa selepas pencen. Dari segi Kanun Tanah Negara, rumah tersebut hanya rumah AS seorang sahaja sebab didaftarkan atas nama AS.

Jika sekiranya selepas ini AS meninggal dunia, rumah tersebut akan jatuh kepada pewaris-pewaris AS. Saya bimbang kalau-kalau pewaris AS akan menghalau ES daripada rumah tersebut kerana mereka menuntut hak pusaka AS. Walhal, sebahagian daripada wang pembelian rumah tersebut daripada wang ES. AS pula tidak terniat langsung nak kan rumah tersebut. Perlu diingat, niat asalnya membantu ES untuk dapatkan rumah. Bahkan mungkin duit ES lebih banyak daripada duit AS dalam kes ini sebab AS hanya 'membantu'.

Jika sekiranya ES meninggal dunia terlebih dahulu, mungkin tak jadi apa-apa isu sebab ES sudahpun hibahkan duitnya tadi kepada AS. Pewaris ES tidak boleh meminta AS membayar kepada mereka sebab ES tak menganggap duit pembelian rumah walaupun atas nama AS sebagai hutang yang AS perlu bayar pada ES. Bahkan ES berterima kasih semasa hayatnya atas bantuan AS lah, ES dapat tinggal di rumah yang lebih selesa selepas pencen.

Perlu diteliti tentang fakta ES tak nak pohon pinjaman untuk cukupkan duit pembelian rumah mungkin sebab ES dah pencen dan tak layak untuk dapatkan pinjaman.

Saya memberi cadangan sebagaimana berikut:

Ada beberapa dokumen yang perlu dibuat. Yang pertama pastinya perjanjian jual beli antara AS dan penjual. Ini sudah pasti. Walau bagaimanapun, saya mencadangakan beberapa dokumen tambahan diperlukan bagi mengelakkan masalah dikemudian hari sebagai berikut.

1. Dokumen Hibah antara ES kepada AS.

ES menghadiahkan sejumlah wang kepada AS bagi pembelian sebuah rumah. Wang tersebut bukanlah hutang yang AS kena bayar tetapi dihibahkan secara sukarela. Pewaris ES tidak berhak menuntut wang tersebut dari AS selepas kematian ES.

2. Dokumen/Surat Kebenaran Menduduki Rumah daripada AS kepada ES.

AS membenarkan ES untuk tinggal di rumah tersebut sehinggalah ES meninggal dunia. Sekiranya AS meninggal terlebih dahulu sebelum ES, pewaris AS tidak boleh menghalau ES daripada rumah tersebut sebab adanya dokumen/surat kebenaran menduduki tadi. Bahkan semasa bicara pusaka harta AS, hendaklah dinyatakan secara jelas walaupun rumah tersebut jatuh kepada mana-mana waris, waris tersebut hendaklah terus membenarkan ES tinggal di rumah tersebut sehinggalah ES meniggal dunia, barulah selepas itu pewaris AS boleh berbuat apa sahaja terhadap rumah tersebut. Dokumen/surat kebenaran menduduki rumah tadi boleh juga dianggap sebagai sebahagian daripada wasiat AS kepada waris-warisnya.

Diharapkan dengan dokumen-dokumen di atas, persoalan di atas dapat diselesaikan.

Jika anda ada cadangan-cadangan lain, atau jawapan lain kepada soalan di atas, bolehlah bagi cadangan anda tanpa segan silu.

Semoga perbincangan ilmiah di sini membawa kebaikan kepada kita bersama...