Tuesday, April 12, 2011

Wasiat Kepada Waris: Situasi di Malaysia

Biasanya kita mendengar bahawa wasiat adalah tidak dibolehkan kepada sesama ahli waris. Ini adalah kerana ahli waris sudah pun mendapat bahagian mereka melalui pembahagian faraid daripada harta simati. Walau bagaimanapun, terdapat pendapat yang lain yang mengatakan bahawa wasiat adalah sah setakat satu pertiga (1/3) daripada harta simati. Artikel ini membincangkan isu ini dari perspektif syariah dan aplikasinya di Malaysia secara khususnya merujuk kepada Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999.

Wasiat merupakan salah satu cara pembahagian harta dalam Islam selain daripada hibah, wakaf, dan pusaka. Secara mudahnya, wasiat bolehlah difahami sebagai hasrat simati terhadap harta peninggalannya kepada ahli warisnya selepas kematian pewasiat.

Ulama’ telah menggariskan dua (2) syarat utama bagi menjadikan sesuatu wasiat itu sah dan berkuatkuasa iaitu seperti berikut:

1. Wasiat tidak melebihi daripada satu pertiga harta; dan

2. Wasiat tidak boleh diberikan kepada para waris.

Bagi syarat wasiat tidak melebihi daripada satu pertiga harta, ianya adalah jelas berdasarkan nas daripada hadis Nabi s.a.w. diantaranya Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa cukuplah bagi Sa’d bin Abi Waqqas mewasiatkan harta sebanyak satu pertiga dengan menyatakan:

“Satu pertiga dan satu pertiga itu adalah banyak”.

Tujuan sekatan ini adalah kerana lebih baik meninggalkan ahli waris dalam keadaan kaya daripada membiarkan mereka dalam keadaan miskin berdasarkan maksud hadis:

“(Meninggalkan waris dalam keadaan kaya lebih baik) Daripada meninggalkan mereka kemiskinan sehingga meminta-minta daripada manusia”.

Bagi syarat wasiat tidak boleh diberikan kepada para waris, sebahagian ulama’ berhujah bahawa apabila turunnya ayat mengenai pusaka yang terkandung di dalam ayat 7, 11, 12, dan 176 daripada surah al-Nisa’, ayat-ayat pusaka ini mengambil peranan wasiat kepada waris menerusi kaedah penentuan langsung hak ke atas harta simati oleh Allah s.w.t.

Sebelum turunnya ayat-ayat di atas, hukum wasiat kepada para waris adalah harus dan ini diamalkan secara meluas sehingga ada yang beranggapan bahawa wasiat kepada ahli waris adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud:

“Telah diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu telah mendekati kematian, jika ia meninggalkan harta yang banyak, supaya berwasiat untuk ibu bapanya dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, sebagai kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.”

Hujah tentang ayat di atas telah dinasakhkan apabila turunnya ayat-ayat mengenai pusaka dikuatkan lagi dengan hadis daripada Abu Umamah al-Bahili:

“Sesungguhnya Allah telah menentukan hak tiap-tiap ahli waris, maka tidak ada hak wasiat lagi bagi seorang ahli waris.”

Walau bagaimanapun, terdapat empat (4) pandangan yang bebeza di kalangan ulama’ berkaitan pentakrifan tentang ‘tidak ada hak wasiat bagi seorang waris’ sebagaimana berikut:

1. Mazhab Maliki, sebahagian daripada pandangan Mazhab Syafi’i, Abu Dawud, sebahagian Mazhab Hanbali dan Mazhab Isma’iliyyah berpandangan wasiat kepada waris adalah tidak sah sekalipun dibenarkan oleh para waris yang lain.

Antara negara yang mengamalkan pandangan ini ialah Morokko.

2. Imam Ahmad bin Hanbal, Ibnu Jarir, Ibn Hazm, sebahagian ulama’ Mazhab Syafi’i dan Zaydiyyah berpandangan wasiat kepada waris adalah sah jika waris tersebut bukan waris yang menerima pusaka.

3. Imam Abu Hanifah, sebahagian Syafi’iyyah dan Hanbaliyyah berpandangan wasiat kepada waris bergantung kepada kebenaran waris-waris pusaka yang lain sama ada membenarkan atau tidak.

Antara negara-negara yang mengamalkan pandangan ini ialah Tunisia, Somalia, Algeria, dan Indonesia.

4. Imam al-Hadi, al-Nasir, Abu Talib dan Abu al-Abbas daripada Zaydiyyah dan Mazhab Imamiyyah sepakat mengharuskan wasiat kepada waris pusaka sekiranya kurang daripada satu pertiga harta walaupun tanpa mendapat kebenaran waris yang lain.

Antara negara-negara yang mengamalkan pandangan ini ialah Mesir, Sudan, Syria, Emiriah Arab Bersatu, Iraq, dan Iran.

Penggubalan undang-undang wasiat di sebahagian besar negara Islam Timur Tengah secara umumnya membenarkan wasiat kepada waris. Wasiat kepada waris yang kurang kadar satu pertiga akan dianggap sebagai wasiat sunat dan boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kebenaran waris yang lain. Manakala wasiat yang melebihi daripada satu pertiga harta adalah sah apabila mendapat kebenaran para waris yang lain.

Peruntukan yang membenarkan wasiat kepada waris di negara yang bermazhab Sunni adalah merupakan satu bentuk pembaharuan pandangan fiqh di dalam undang-undang wasiat. Ia bukan sahaja telah mengambil pandangan daripada Mazhab Syi’ah Ithna Asyariyyah malah perubahan ini merupakan kesan pertimbangan sosial dan ijtihad semasa di dalam hukum Syarak bagi menjamin kebajikan yang maksimum kepada waris terdekat.

Manakala situasi di Malaysia, Seksyen 11(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 memperuntukkan bahawa seseorang boleh menentukan bahagian masing-masing warisnya dari harta pusaka dan sekiranya penentuan tersebut melebihi daripada bahagian pusaka, maka ia akan dianggap sebagai “wasiat”.

Peruntukan seksyen 11(2) ini adalah tertakluk kepada seksyen 26(2) iaitu sesuatu wasiat itu hendaklah tidak melebihi daripada kadar satu pertiga melainkan kebenaran semua waris diperlukan.

Di sini, penggubal undang-undang hanya menyampaikan maksud tersirat (implied meaning) menerusi peruntukan seksyen 11(2) dan 26(2) bahawa wasiat kepada waris yang kurang daripada satu pertiga tidak perlu mendapat kebenaran daripada waris yang lain dan wasiat tersebut adalah sah dan boleh dilaksanakan.

Manakala di negeri-negeri lain di Malaysia, peruntukan wasiat masih berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama masing-masing yang terlalu umum. Pemakaian undang-undang wasiat di negeri-negeri tersebut berdasarkan bidang kuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah. Justeru, rujukan berhubung wasiat adalah berdasarkan pandangan fiqh yang masih belum digubal di dalam bentuk peruntukan undang-undang. Kesannya, hukum wasiat kepada waris adalah tidak dibenarkan melainkan mendapat persetujuan ahli waris yang lain.

Sebagai contoh di Terengganu, fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu pada tahun 1987 menyatakan bahawa wasiat kepada waris yang telah menerima harta pusaka adalah tidak sah melainkan dengan persetujuan waris-waris yang berhak menerima pusaka itu.

Jelaslah bahawa terdapat perbezaan amalan berkaitan wasiat kepada waris di antara negeri-negeri di Malaysia.

Kesimpulannya, orang-orang Islam di Selangor bebas melakukan wasiat kepada ahli waris selagi tidak melebihi kadar satu pertiga. Kewujudan pembaharuan undang-undang ini, mengikut pandangan penulis, adalah positif bagi mengharmonikan proses pembahagian harta kepada waris dengan lebih saksama serta memudahkan lagi proses pentadbiran pembahagian harta peninggalan simati.

No comments: