Wednesday, February 23, 2011

Nurfarhani Uma Binti Abdullah lwn Muhammad Noor Manoranjan Bin Abdullah

Nama Kes: Nurfarhani Uma Binti Abdullah lwn Muhammad Noor Manoranjan Bin Abdullah

Rujukan: (2007) JH 281

Mahkamah: Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang

Hakim: Datuk Haji Ibrahim Bin Lembut, HMRyS, Dato’ Haji Muhamad Asri Bin Haji Abdullah, HMRyS, dan Tuan Haji Abu Bakar Bin Ahmad, HMRyS)

Tarikh keputusan: 5 Jamadilakhir 1428 bersamaan 20 Jun 2007

Peguam Syarie: Perayu diwakili oleh Tetuan Dasuki & Co.

Responden diwakili oleh Tetuan Arizal Jailani & Co.

Rujukan statut: - Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, seksyen 67, dan 70

- Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 2004, seksyen 5, 49, 121, dan 139

Rujukan kes: Mohd Radzi bin Haji Che Daud lwn. Khadijah Yaakob, [2002] 15 (ii) JH 149.

Noraini Hanipah lwn. Nasruddin Shah Bhagjit bin Abdullah, [2007] 23(i) JH 73.

Pendakwa Syarie, Negeri Sembilan lwn. Jaafar bin Sudin dan Seorang Lagi [1991] 7(ii) JH 253

Pendakwa Jenayah Kelantan lwn. Haji Abdul Rajab dan Lain-lain [1984] 5(i) JH 138

Keputusan: Rayuan diterima.

Ringkasan Fakta Kes:

Perayu dan Responden telah berkahwin pada 21-10-2001. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan (Sharisha) yang dilahirkan pada 14-01-2004.

Responden (asalnya Plaintif) telah memfailkan hak penjagaan ke atas Sharisa. Y.A. Hakim Bicara Mahkamah Tinggi Syariah telah meneruskan prosiding perbicaraan dan teleh membuat keputusan dengan ketidakhadiran Perayu (asalnya Defendan) berdasarkan sek. 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pulau Pinang) 2004 dan Mahkamah telah mengeluarkan perintah pada 28-04-2005 dengan memberi hak penjagaan kepada Responden manakala hak lawatan pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu diberikan ke atas Perayu.


Perayu telah tidak berpuas hati atas keputusan tersebut dan telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah pada 11-05-2005.

Isu Undang-undang:

Apakah prosedur, beban dan tahap pembuktian yang perlu dinilai oleh Mahkamah dalam membuat sesuatu keputusan di dalam sesuatu kes perbicaraan dengan ketidakhadiran Defendan?

Alasan Penghakiman (Disediakan oleh Dato’ Haji Muhamad Asri bin Haji Abdullah, HMRyS):

Peruntukan yang relevan tentang perbicaraan tanpa kehadiran Defendan ialah sek. 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 2004, yang antara lain memperuntukkan bahawa jika Defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan tersebut, dengan syarat Mahkamah hendaklah terlebih dahulu memerintahkan Plaintif supaya mengangkat sumpah istizhar. Satu lagi alternatif ialah, Mahkamah boleh memerintahkan penangguhan kes.

Seterusnya Mahkamah meneliti dokumen bagi memastikan penyampaian wajar telah dilakukan oleh Plaintif ke atas Defendan. Mahkamah mendapati bahawa tiada bukti penyampaian saman atau bukti keengganan penerimaan oleh Defendan dinyatakan dalam afidavit penyampaian Plaintif. Mahkamah memutuskan bahawa penyampaian wajar telah gagal dilakukan oleh Plaintif.

Isu seterusnya ialah isu sumpah Istizhar yang sepatutnya dibuat oleh Plaintif kerana Plaintif memohon perbicaraan tanpa kehadiran Defendan. Isu ini langsung tidak disentuh dalam alasan penghakiman Y.A. Hakim Bicara Mahkamah Tinggi dan ini adalah satu khilaf yang nyata berdasarkan undang-undang keterangan Islam.

Mahkamah merujuk kepada pendapat Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menyatakan bahawa sumpah istizhar telah disepakati oleh jumhur ulama kerana ianya merupakan sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa atas permintaan hakim untuk menolak tohmah terhadapnya selepas ia mengemukakan dalil dan keterangan yang diperlukan dalam sesuatu dakwaan. Ia merupakan penyempurnaan dalil atau keterangan seperti kesaksian. Dengan itu sabitlah dakwaan di sisi hakim. Pada kebiasaannya hakim akan menggunakan Yamin al-Istizhar ini dalam tuntutan yang berhubung dengan hak ke atas orang yang ghaib atau mati.

Mahkamah juga berpendapat bahawa setiap pendakwaan hendaklah dibuktikan dengan bayyinah demi keadilan pihak-pihak yang terlibat. Jadi, apabila penyampaian saman adalah tidak lengkap, Mahkamah memutuskan bahawa bayyinah yang dikemukakan adalah tidak kuat untuk menyokong Plaintif. Ditambah pula dengan ketidakhadiran Defendan, maka bayyinah daripada Defendan langsung tidak didengar oleh Mahkamah.

Mahkamah berpendapat, sekurang-kurangnya satu penangguhan adalah wajar diberikan bagi memberi ruang keadilan kepada Defendan untuk mengemukakan keterangan dipihaknya dan memutuskan bahawa keputusan Y.A. Hakim Bicara yang memutuskan kes memihak kepada Plaintif adalah khilaf.

Analisis Dan Komen:

Penulis bersetuju dengan penghakiman dalam kes di atas. Keputusan ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pulau Pinang) 2004 dan selaras juga dengan hukum syara’ berkenaan dengan undang-undang keterangan dalam Islam.

Berdasarkan pliding, adalah jelas bahawa Responden/Plaintif telah gagal membuktikan bahawa penyampaian wajar telah dibuat terhadap Perayu/Defendan. Sekiranya Perayu/Defendan enggan menerima penyampaian yang hendak disampaikan oleh Responden/Plaintif, perkara ini hendaklah dinyatakan dalam affidavit penyampaian Responden/Plaintif tentang keengganan Perayu/Defendan tersebut. Jika hal ini tidak dinyatakan, ini bermaksud bahawa percubaan untuk membuat penyampaian oleh Responden/Plaintif ke atas Perayu/Defendan adalah tidak lengkap. Ketidaklengkapan ini menimbulkan keraguan sama ada Responden/Plaintif telah benar-benar membuat penyampaian kepada Perayu/Defendan atau tidak.

Isu yang utama juga ialah isu berkaitan sumpah istizhar yang memang sudah disepakati oleh jumhur ulama’ bahawa mesti dibuat oleh Responden/Plaintif jika berhajat meneruskan kes tanpa kehadiran Perayu/Defendan bagi membuktikan keterangan di sebelah pihak yang mendakwa iaitu Responden/Plaintif. Kegagalan Mahkamah untuk meneruskan prosiding dengan sumpah istizhar adalah amat dikesalkan.

Dr. Mahmud Saedon A. Othman dalam bukunya Undang-undang Keterangan Islam, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka telah menukil pendapat Ibnu Qayyim berkaitan sumpah istizhar yang mengatakan bahawa Sayyidina Ali telah meminta orang yang mendakwa agar bersumpah walaupun ada dua orang saksi lelaki. Suraih pula meminta saksi lelaki bersumpah disertai keterangan dan bukti. Ini jugalah pendapat al-Auzaie, al-Nakhaie, al-Syiebi dan lain-lain. (lihat pada mukasurat 124)

Kalau diikutkan prosedur, sumpah istizhar itu sepatutnya diminta oleh hakim setelah plaintif mengemukakan keterangan yang menyokong permohonannya dalam keadaan ketidakhadiran defendan. Sungguh memalukan dalam kes ini, yang mana mahkamah tinggi hanya bersandarkan keterangan afidavit penyampaian oleh plaintif yang sudahpun dinyatakan di awal tadi bahawa ia sebenarnya tidak lengkap, dan lantas sewenang-wenangnya memutuskan bahawa kes memihak kepada plaintif. Y.A. Hakim Bicara Mahkamah Tinggi memang terlepas pandang langsung tentang peruntukan sumpah istizhar ini.

Apa yang lebih memalukan ialah tindakan Peguam Syarie plaintif yang juga tidak membetulkan hakim bahkan mungkin mengambil kesempatan atas terlepas pandangnya hakim tentang peruntukan sumpah istizhar, lantas hanya sepi membisu seribu bahasa mengharapkan ucapan tahniah daripada klien yang berbangga atas kemenangan teknikal kes, padahal sudah jelas dan nyata bahawa mahkamah tertinggal satu prosiding penting yang bukan sahaja tersebut dalam hukum syara’ bahkan memang sudah dikanunkan dalam enakmen. Kecualilah peguam syari’e juga terlepas pandang….

Jika kedua-duanya secara tidak sengaja terlepas pandang, pastinya tidak keterlaluan jika penulis simpulkan bahawa pengamal undang-undang di luar sana masih terlalu jauh untuk mahir dalam ilmu undang-undang keterangan Islam yang penulis rasakan salah satunya adalah menjadi tanggungjawab para ahli akademik terutamanya yang pakar dalam undang-undang keterangan Islam untuk memerangi kejahilan mereka yang terlibat dalam amalan undang-undang syariah ini.

Sekurang-kurangnya, gunalah peruntukan yang ada untuk menangguhkan kes bagi mendengar bayyinah daripada kedua-dua pihak dan memutuskan secara adil daripada memutuskan sesuatu kes tanpa kehadiran Defendan, tanpa keterangan-keterangan yang kukuh, dan tanpa sumpah istizhar pula tu…

Sebab itulah pentingnya kewujudan Mahkamah Rayuan Syariah. Penulis tidak pasti apa situasinya kes yang sebegini sebelum kewujudan Mahkamah Rayuan Syariah. Cumanya, jika Mahkamah Rayuan Syariah juga ada yang terlepas pandang, dan mungkin adanya khilaf, akan wujudkah pula peluang keadilan kepada pihak-pihak untuk mengemukakan rayuan di “Mahkamah Persekutuan Syariah”? Soalan ini penulis tinggalkan tanpa jawapan untuk sama-sama kita fikirkan…

- untuk membaca dan/atau download dalam bentuk pdf, sila klik di sini.

Sunday, February 13, 2011

Sulh

1. Maksud Sulh

Sulh menurut bahasa diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” atau “berbuat baik”. Manakala menurut istilah syara’ pula adalah “suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian”. Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah, al-Sheikh Nazzam dan Qadri Basha menerangkan sulh ialah akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan redha meredhai.

Ada juga yang merujuk sulh dalam terma yang lain iaitu mediasi. Mediasi boleh didefinisikan sebagai “proses di mana satu pihak (pihak ketiga atau mediator) membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama lain berunding dan mencapai penyelesaian secara damai”. Ini bermakna mediasi merupakan ‘perundingan secara terpimpin’ (assisted negotiation) secara langsung kepada pihak-pihak yang bertikai oleh mediator.

Dari segi undang-undang, di Negeri Selangor contohnya, tiada peruntukan yang mendefinisikan sulh dengan jelas. Namun demikian terdapat peruntukan mengenai sulh dan meletakkan bahawa sulh itu dalam suatu bentuk proses berdasarkan prosedur tertentu[1] yang digalakkan[2].

Berdasarkan definisi yang diberikan di atas, dapat disimpulkan bahawa sulh merupakan keputusan atau hasil dari suatu perdamaian atau persetujuan oleh pihak-pihak yang bertikai atau bersengketa hasil dari proses mediasi.

Manakala Majlis Sulh pula merupakan suatu proses perundingan terpimpin yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukkan oleh hukum syara’ dan undang-undang bagi tercapai sulh. Kaedah Sulh bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa malahan dapat menyelesaikan sesuatu pertikaian secara terbuka dan sukarela, bukannya melepaskan dendam.

Rumusan yang boleh diberikan mengenai pentakrifan sulh yang diamalkan di Mahkamah Syariah dari sudut undang-undang dan praktikalnya ialah, sulh merupakan suatu kaedah penyelesaian secara damai dan redha meredhai di mana pihak-pihak bertikai terhadap sesuatu tuntutan atau permohonan menghadiri satu proses perbincangan di dalam suatu majlis perundingan yang dipimpin secara rasmi, yang diatur oleh pegawai Mahkamah. Sebarang penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak akan direkodkan di hadapan hakim dan dijadikan suatu perintah di mana keputusan ini adalah mengikat.[3]

Jadi, secara mudahnya, sulh bermaksud menyelesaikan pertelingkahan secara damai. Secara asasnya, semua permasalahan yang timbul adalah lebih baik diselesaikan secara damai di antara pihak-pihak yang terlibat.

Kalau pada zaman dulu-dulu, proses sulh juga berlaku sama ada secara disedari atau tidak disedari. Kebiasaannya, apabila satu-satu pasangan menghadapi krisis dalam rumah tangga mereka, mereka akan mencari orang tengah dalam kalangan anggota keluarga mereka yang dihormati oleh pihak-pihak yang terlibat.

Segala masalah rumahtangga yang menjadi konflik antara suami isteri akan dibincangkan dan cadangan penyelesaian oleh orang tengah yang dilantik dan dipersetujui tadi akan diambil kira oleh pihak-pihak yang terlibat untuk menyelematkan rumah tangga mereka. Tetapi pada hari ini, oleh sebab semakin rapuhnya hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dalam masyarakat kita, praktis sebegini jarang berlaku, walaupun penulis tidak menafikan kewujudannya.

Oleh hal yang demikian, langkah mahkamah syariah yang mengambil kira prosedur sulh sebelum sesuatu kes kekeluargaan diteruskan di peringkat mahkamah adalah satu langkah yang harus di puji bagi mencari titik damai antara pasangan yang bertelingkah.

Dari segi prosedurnya, kita boleh katakan bahawa sulh ialah proses perdamaian di antara suami dan isteri di luar mahkamah kerana penyelesaian dibuat sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah.

Islam memang menitikberatkan perdamaian selagi mana ianya tidak menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Perdamaian (sulh) atau kompromi adalah perkara harus antara orang-orang Islam, kecuali sulh untuk menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal.”[4]

Sudah pasti kompromi bagi menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal adalah tidak dibenarkan. Dan selain daripada itu, apa sahaja yang dipersetujui dalam majlis sulh adalah dibenarkan oleh Islam.

Dan apabila pihak-pihak yang bertikai tadi sudahpun bersetuju dengan janji mereka, mereka adalah terikat dengan janji mereka itu. Tidak sepatutnya mereka memungkiri terhadap apa yang telah mereka persetujui sebelumnya. Sebab itulah, apa yang dipersetujui oleh pihak-pihak dalam majlis sulh akan diendorskan sebagai satu perintah persetujuan oleh hakim dan mana-mana pihak yang meningkarinya boleh disabitkan sebagai mengingkari perintah mahkamah dan tindakan pelaksanaan perintah boleh diambil kepada pihak yang mungkir.

Antara asas lain dalam pelaksanaan sulh adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:

“Dan jika seseorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya maka tidaklah salah bagi mereka (suami/isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai)”.[5]

Konsep sulh ini telah diterima dan dikanunkan di Negara kita. Sebagai contohnya di dalam Seksyen 99 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 yang berbunyi:

“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh untuk menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak.”[6]

Antara kes-kes yang boleh diselesaikan mengikut kaedah sulh ialah seperti berikut:

(i) Mut’ah;

(ii) Nafkah tertunggak;

(iii) Hutang maskahwin;

(iv) Hadhanah (hak penjagaan anak);

(v) Mengubah perintah;

(vi) Kembali taat;

(vii) Nafkah ‘iddah;

(viii) Harta sepencarian;

(ix) Hal-hal yang difikirkan munasabah;

(x) Tuntutan nafkah anak;

(xi) Permohonan pelaksanaan perintah mahkamah; dan

(xii) Wali enggan.[7]

2. Matlamat Sulh

Antara matlamat-matlamat sesuatu majlis sulh diadakan adalah sebagaimana berikut:

(i) Membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka melalui perundingan secara damai;

(ii) Membantu pihak-pihak menyelesaikan kes mereka dengan cepat dan teratur;

(iii) Membantu mahkamah mempercepatkan penyelesaian kes; dan

(iv) Mengurangkan kadar kes tertunggak di mahkamah.[8]

Antara matlamat lain yang boleh terhasil daripada konsep sulh juga ialah dapat menghilangkan perasaan dendam di hati pihak-pihak yang bertelagah dan akan dapat mengukuhkan tali perhubungan di antara mereka, lebih-lebih lagi perhubungan di antara keluarga sekiranya berlaku perselisihan di antara anggota keluarga.[9]

‘Umar bin al-Khattab seorang yang dikenali pakar dalam penghakiman Islam telah mengingatkan para hakim supaya berusaha semaksima mungkin untuk menganjurkan sulh. Diriwayatkan bahawa Umar telah berkata:

“Hendaklah disuruh mereka yang bertikai itu supaya membuat penyelesaian sesama mereka secara damai, kerana jika diselesaikan secara kehakiman (berdasarkan keputusan hakim) akan menimbulkan perasaan benci dan dendam.”

Tidak dinafikan bahawa mahkamah boleh menyelesaikan pertikaian melalui hukuman yang wajib dilaksanakan dan dipatuhi. Namun demikian hukuman mahkamah tidak semestinya boleh menghapuskan dendam dan sakit hati atau memuaskan hati pihak-pihak bertikai.

Kemungkinan kes itu akan memihak kepada pihak yang bijak berhujah meskipun dia bukanlah orang yang berhak atas keputusan tersebut. Sebaliknya pihak yang satu lagi akan merasa kecewa walaupun dia meyakini kes itu tidak sepatutnya memihak kepadanya. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi jika pihak tersebut (yang menerima keputusan negatif) meyakini bahawa keputusan itu sepatutnya memihak kepadanya.

Kemungkinan ini ialah suatu yang boleh terjadi kerana keputusan hakim dibuat berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan. Boleh jadi keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan adalah palsu dan keputusan hakim yang dibuat berdasarkan keterangan yang telah dipalsukan akan merugikan pihak-pihak yang sepatutnya keputusan itu memihak kepadanya.

Kemungkinan juga keputusan itu diperolehi disebabkan oleh pihak yang satu lagi kurang teliti ketika mengemukakan hujah sehingga menyebabkan tuntutan atau rayuannya ditolak. Keadaan ini akan menambahkan lagi rasa benci, dendam dan ketidakpuasan hati kepada pihak yang merasa dirugikan dan seterusnya melebarkan lagi jurang permusuhan antara mereka. Hal-hal seperti inilah yang cuba dihindarkan oleh Islam.

Sesungguhnya penyelesaian secara sulh ini wajar digalakkan kerana adakalanya keputusan mahkamah tidak dapat memuaskan hati pihak-pihak yang terlibat. Sedangkan sulh adalah lahir dari perasaan tolak ansur dan reda meredai yang akhirnya membawa kepada penyelesaian secara muafakat. Penyelesaian secara sulh juga lebih tepat dalam mencapai keadilan kerana kedua-dua pihak lebih mengetahui tentang hak yang sepatutnya diperolehi. Prinsip mengutamakan sulh ini bukan sahaja digalakkan kepada mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan sahaja malahan kepada semua orang.[10]

3. Bagaimana Sulh Diuruskan

Pegawai Sulh perlu memberikan perhatian dan mematuhi prosedur sulh seperti yang termaktub di dalam Manual Kerja Sulh JKSM dan Pekeliling Ketua Hakim MSS 1/2002 (Kod Etika Pegawai Sulh dan Manual Kerja Sulh MSS), Pekeliling Ketua Hakim MSS 9/2002 [Bidangkuasa Pegawai Sulh (Hakim)], Arahan Amalan JKSM 3/2002 (Pemakaian Sulh), Arahan Amalan JKSM 7/2002 (Cara Menyimpan dan Melupuskan Catatan Pegawai Sulh) dan Arahan Amalan JKSM 8/2002 (Prosedur Penyerahan Notis Sulh). Prosedur sulh bermula dari pendaftaran dan akan berakhir hingga selesai kes tersebut di mahkamah.[11]

Prosedur Sulh adalah sebagaimana berikut:

  1. Ketua Pendaftar/Pendaftar selaku Pengerusi Sulh akan menetapkan tarikh bagi Majlis Sulh melalui Notis Majlis Sulh yang akan dihadiri oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan tidak lewat daripada dua minggu sebelum penetapan tarikh sebutan kes.[12] Kegagalan mana-mana pihak di dalam Majlis Sulh boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah.[13] Ketua Pendaftar/Pendaftar boleh mengarahkan mana-mana Pegawai Sulh bertindak sebagai Pengerusi Sulh bagi sesuatu kes yang baru didaftarkan.

Perlu diketahui bahawa pihak-pihak yang hadir dalam majlis sulh tidak boleh diwakili oleh Peguam Syarie atau mana-mana orang tanpa kebenaran Pendaftar.[14] Ini adalah kerana supaya pihak-pihak tidak dipengaruhi oleh orang luar semasa mencari jalan damai. Dan ini pastinya menjimatkan masa dan kos pihak-pihak yang terlibat.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa pihak-pihak tidak boleh menggunakan khidmat nasihat guaman. Khidmat guaman memang diperlukan semenjak dari awal lagi supaya pihak-pihak memahami isu dan prosedur serta dapat mempersiapkan diri menghadiri majlis sulh tersebut.[15]

  1. Setelah kedua-dua pihak hadir di dalam Majlis Sulh, Pegawai Sulh akan menjalankan acara ta’aruf[16] ringkas dan menerangkan tujuan dan konsep Sulh kepada pihak-pihak hingga mereka benar-benar memahaminya. Di dalam majlis ta’aruf awal ini, pihak-pihak digalakkan mengemukakan sebarang persoalan sama ada berkaitan Hukum Syarak dan perundangan Undang-undang Keluarga Islam kepada Pegawai Sulh bagi membangkitkan kefahaman kedua-dua pihak.

  1. Setelah selesai ta’aruf awal, setiap pihak dibenarkan bercakap dan mengemukakan keterangan mengikut giliran. Proses ini memerlukan suasana tenang di antara pihak-pihak dan dijalankan dalam keadaan sopan. Pihak-pihak tidak dibenarkan menyerang peribadi pihak lawan. Sebelum majlis Sulh dimulakan, pihak-pihak diminta membuat akujanji mematuhi peraturan-peraturan ini.

  1. Setelah diadakan majlis sulh peringkat awal di atas, Pegawai Sulh akan menyusun dan mengurus maklumat yang diperolehinya bagi menentukan perkara-perkara berikut:

(i) Isu atau masalah yang perlu diselesaikan;

(ii) Kedudukan pihak-pihak yang bertikai;

(iii) Kepentingan mereka; dan

(iv) Alternatif (pilihan) penyelesaian.

Proses perbincangan bersama di antara pihak-pihak bertikai akan diadakan di dalam proses ini. Walau bagaimanapun, terpulang kepada keperluan Pegawai Sulh sama ada perlunya mengadakan pertemuan sebelah pihak bagi kepentingan pihak-pihak yang terlibat.

  1. Di akhir prosedur sulh, Pegawai Sulh akan memutuskan sama ada sulh yang dijalankan berjaya sepenuhnya ataupun tidak.[17] Sekiranya sulh berjaya, Pegawai Sulh akan menderaf satu Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak dan akan dikemukakan kepada Hakim untuk endorsement perjanjian tersebut sebagai suatu Perintah Persetujuan.[18] Hal ini sebagai contohnya sesuai dengan Aturan 6 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001, Seksyen 88 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Negeri Selangor) No. 7/1991 dan Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003.

Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003 menyatakan bahawa:

“Jika dengan persetujuan pihak-pihak sesuatu tindakan telah diselesaikan, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan persetujuan pihak-pihak itu merekodkan hakikat penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod penyelesaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matanya adalah sama”.

Bagi Majlis Sulh yang gagal baik sebahagiannya atau keseluruhannya akan dibawa ke hadapan Hakim untuk proses sebutan dan perbicaraan sebelum keputusan atau perintah dibuat oleh Hakim Bicara.[19]

4. Penutup

Keunggulan sulh sebagai kaedah dalam menyelesaikan pertikaian adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Berdasarkan data-data yang terkumpul, dan laporan-laporan media massa di Malaysia memperlihatkan hasil yang membanggakan dalam pengurusan kes-kes kekeluargaan di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Negara kita. Selain dari berjaya menangani masalah kes-kes tertunggak pelaksanaan kaedah ini juga dilihat mampu memberikan kepuasan hati kepada pihak-pihak yang bertikai, disamping beberapa faedah lain seperti pengurangan kos tanggungan oleh pihak-pihak bertikai. Adalah menjadi harapan semua, meskipun perubahan yang telah dilakukan kepada sistem yang digunapakai ini dapat mempermudah dan meringkaskan prosedur-prosedur kehakiman serta memberikan impak yang positif kepada pengurusan kes-kes kekeluargaan, dalam masa yang sama ia perlulah terus memastikan prinsip keadilan dapat ditegakkan.[20]


Bibliografi:

1. Ahmad Daud, 2011. Sulh dan Pelaksanaannya, Nota Undang-undang Prosedur Mal Islam.

2. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus, Brosur Unit Sulh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

3. Khairol Azri bin Saari, 2009. Prosedur Perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

4. Khairol Azri bin Saari, 2010. Unit Sulh. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

5. Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan Keberkesanannya Di Mahkamah Syariah Selangor.

6. Raihanah Azhari. 2004. Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam: Sorotan Terhadap Perkembangan Terkini Pelaksanaannya di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia. IsoIT.

7. Sisters in Islam, Proses Sulh-Bolehkah Ditemani Peguam, www.sisterisinislam.org.my

Senarai Statut:

  1. Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998
  2. Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991
  3. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
  4. Kaedah-kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1996
  5. Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001
  6. Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991


[1] Seksyen 88-91 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor (1999) dan Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[2] Seksyen 87 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor (1991) / Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

[4] Hadith riwayat Ibn Hibban.

[5] Surah An-Nisa’: 128. Lihat juga ayat-ayat yang lain contohnya Surah An-Nisa’: 114, Surah Al-Hujurat: 9.

[6] Lihat juga peruntukan-peruntukan yang lebih kurang sama contohnya dalam Seksyen 87 Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991, dan Seksyen 87 Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991.

[7] Lihat Khairol Azri bin Saari, Unit Sulh. 2010, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

[8] Lihat brosur Unit Sulh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus.

[9] Lihat Ahmad Daud, Sulh dan Pelaksanaannya, Nota Undang-undang Prosedur Mal Islam untuk pelajar-pelajar Kursus Diploma Lanjutan Undang-undang dan Amalan Syariah di Pusat Undang-undang Harun M. Hashim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), m/s. 1.

[10] Raihanah Azhari, Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam: Sorotan Terhadap Perkembangan Terkini Pelaksanaannya di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia, IsoIT 2004, m/s: 174.

[11] Lihat Siti Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan Keberkesanannya Di Mahkamah Syariah Selangor, m/s: 7.

[12] Walau bagaimanapun, jika di lihat pada Kaedah 3, Kaedah-kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1996, kaedah tersebut tidak menetapkan masa bagi pihak-pihak mengadakan sulh dan terpulanglah kepada budibicara Pendaftar untuk menentukan tarikh bagi pihak-pihak mengadakan sulh dan menyampaikan notis kepada mereka.

[13] Lihat sebagai contohnya di dalam Kaedah 4, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[14] Perkara ini dijelaskan sebagai contohnya di dalam Kaedah 5, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[15] Lihat Sisters in Islam, Proses Sulh-Bolehkah Ditemani Peguam, www.sisterinislam.org.my

[16] Ta’aruf bermaksud pengenalan, berasal daripada perkataan arab.

[17] Selalunya jika majlis sulh berjaya, laporan akan disediakan menggunakan kertas berwarna kuning, manakala bagi majlis sulh yang gagal, laporan akan disediakan menggunakan kertas berwarna putih.

[18] Lihat Khairol Azri bin Saari, Prosedur Perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah, 2009, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

[19] Lihat sebagai contoh, Aturan 7 dan 8 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

[20] Raihanah Azhari, Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam, m/s: 189.


- Artikel di atas boleh dibaca dalam bentuk pdf dan dimuat turun di pautan berikut: http://www.docstoc.com/docs/71497990/Sulh-maksud-matlamat-and-prosedur

Wednesday, February 2, 2011

Pembahagian pusaka; waris tidak dijumpai

Soalan:

Suami saya meninggal dunia dan meninggalkan waris-waris berikut;

Saya sebagai isterinya, seorang anak perempuan kami, seorang ibu, dua orang adik beradik lelaki dan lima orang adik beradik perempuan. Dia hanya meninggalkan sebuah apartment (leasehold) yang berharga lebih kurang RM100 ribu yang masih ada baki pinjaman tanpa insuran MRTA. Rumah tersebut sudah berstatus hakmilik strata tetapi nama pemilik masih lagi nama pemaju.

Empat bulan selepas itu, ibunya pula meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu adik beradik kepada arwah suami saya tadi. Sekarang saya dan waris yang lain beshasrat untuk menjual apartment tersebut.

Satu masalah yang timbul ialah tentang seorang abang arwah suami saya yang tidak dijumpai hingga sekarang setelah dia mengikut bapa saudaranya ke Singapura semenjak berumur enam tahun lagi.

Tolong sediakan semua dokumen yang berkaitan bagi urusan penjualan apartment tersebut. Tolong uruskan secepat yang mungkin kerana kami amat memerlukan wang tunai.

Jawapan:

Banyak prosedur yang perlu dilalui satu-persatu sebelum apartment tersebut boleh dipindahmilik kepada pembeli dan seterusnya anda dan/atau waris si mati mendapat harga jualan apartment tersebut.

Ringkasan prosedurnya adalah seperti berikut:

1. Permohonan perlantikan pentadbir di unit pesaka kecil di pejabat tanah yang berkaitan. Borang A diisi beserta semua dokumen dan surat persetujuan ditandatangani. Unit pesaka kecil akan mengeluarkan perintah perlantikan pentadbir yang dikenali sebagai Borang E. Adalah lebih baik melantik anak perempuan anda (sekiranya dia sudah berumur lebih 18 tahun) sebagai pentadbir memandangkan dialah waris yang paling banyak mendapat kadar bahagian harta pusaka peninggalan arwah suami anda itu. Pindahmilik kepada waris dan permohonan perintah jualan tidak boleh dipohon di sini kerana ketiadaan persetujuan daripada waris yang hilang.

2. Perjanjian jual beli antara pentadbir dan pembeli ditandatangani. Pembeli membayar wang deposit dan kedua-dua pihak bersetuju dengan terma dan syarat dalam perjanjian jual beli. Masa yang mencukupi perlu diberikan oleh pihak pembeli kepada pihak penjual supaya pihak penjual berkelapangan untuk meneruskan prosedur seterusnya.

3. Oleh sebab seorang waris tidak dapat dijejaki, permohonan perintah jualan perlu dipohon di mahkamah tinggi sivil yang berkaitan. Hanya mahkamah tinggi sivil yang mempunyai kuasa budi bicara untuk mengeluarkan perintah jualan dalam kes-kes sebegini.

4. Sebelum permohonan perintah jualan diteruskan, selalunya mahkamah sivil memerlukan sijil faraid sebagai keterangan pembuktian tentang waris-waris yang berhak kepada harta si mati.

5. Permohonan sijil faraid dibuat di mahkamah syariah yang berkaitan. Oleh sebab telah berlaku pertindihan kematian, iaitu suami penanya meninggal dan kemudian diikuti oleh ibu si mati, dan ianya melibatkan waris-waris yang sama, eloklah permohonan sijil faraid dibuat secara serentak bagi pihak suami penanya dan ibu si mati, dan sijil faraid mengikut kiraan munasakhat adalah lebih tepat.

Pengiraan faraid adalah sebagaimana berikut:

Bahagian asal isteri ialah 1/8 kerana si mati ada meninggalkan anak. Bahagian asal ibu ialah 1/6 kerana si mati ada meninggalkan anak. Bahagian asal anak perempuan (AP) ialah 1/2 kerana si mati meninggalkan anak perempuan tunggal. Manakala baki harta menjadi milik 'asabah iaitu adik-beradik lelaki & perempuan si mati.

Dalam kes ini, asal masalah ialah 24, iaitu nombor 24 dikira sebagai pembawah yang sama bagi kadar bahagian waris fardu iaitu isteri, ibu, dan AP. Setelah ditashihkan, kiraannya menjadi sebagaimana berikut:

Isteri = 3/24

Ibu = 4/24

AP = 12/24

Baki = 5/24

Baki ini hendaklah dita'sibkan antara lima (5) saudara seibu sebapa perempuan (SIBP), dengan dua (2) saudara seibu sebapa lelaki (SIBL) yang mana keseluruhan bahagian akan menjadi 9 bahagian iaitu 5 bahagian untuk SIBP dan 4 bahagian untuk SIBL.

Setelah ditashihkan lagi, iaitu 9 bahagian darab 24 asal masalah, pembawah yang sama akan jadi 216. Pengiraan selanjutnya akan menjadi sebagaimana berikut:

Isteri = 27/216

Ibu = 36/216

AP = 108 /216

5 orang SIBP = 25/216, setiap seorang mendapat 5/216

2 orang SIBL = 20/216, setiap seorang mendapat 10/216

Tamatlah kiraan selapis. Perlu pula dikira bahagian ibu iaitu 36/216 yang juga telah meninggal dunia dan meninggalkan waris seperti berikut:

5 orang anak perempuan (AP); dan

2 orang anak lelaki (AL);

menjadikan kadar bahagian ta’sib mereka juga sama seperti masalah pertama iaitu 9 dimana 5/9 menjadi hak AP dan 4/9 menjadi hak AL.

Setelah bahagian ibu 36/216 dibahagi 9 bahagian, setiap bahagian daripada SIBP dan SIBL mendapat tambahan 4/216. Pengiraan akhir adalah sebagaimana berikut:

Isteri = 27/216

Ibu = 0/216

AP = 108/216

5 orang SIBP = 45/216, setiap orang mendapat 9/216

2 orang SIBL = 36/216, setiap orang mendapat 18/216

6. Bagi kadar waris yang hilang tadi iaitu 18/216, terdapat dua pilihan prosedur yang boleh diambil:

(i) Permohonan anggapan kematian di mahkamah sivil berdasarkan seksyen 108 Akta Keterangan. Tarikh kematiannya dianggap adalah pada tarikh perintah anggapan kematian dikeluarkan, iaitu pastinya selepas si mati meninggal dunia. Jadi, memang 18/216 menjadi hak harta pusaka waris yang yang hilang tersebut. Untuk membuktikan anggapan kematian, usaha mencari waris tadi di Singapura perlu dibuat terlebih dahulu sebagai bahan bukti untuk diekshibitkan dalam dokumen mahkamah. Sekiranya mahkamah berpuas hati, maka kadar 18/216 ini boleh pula difaraidkan sekali lagi atau dibahagi secara muafakat antara ahli waris; atau

(ii) Memohon supaya kadar bagi waris yang tidak dapat dijejaki tadi dipegang oleh pihak Amanah Raya Berhad sebagai pemegang amanah bagi waris tersebut (dengan anggapan dia masih hidup pada masa tersebut) sehinggalah dia atau warisnya muncul menuntut kembali hak daripada harta pusaka tersebut atau sehinggalah dibuat permohonan anggapan kematian setelah cukup segala bukti dan keterangan.

7. Setelah perintah jualan diperolehi, sekiranya hartanah tersebut terdapat sekatan dan memerlukan kebenaran pindahmilik dan gadaian, permohonan kebenaran pindahmilik dan gadaian perlu dibuat di pejabat tanah yang berkaitan. Perlu diingat bahawa hakmilik strata adalah masih atas nama pemaju, jadi kerjasama daripada pemaju adalah penting supaya permohonan direct transfer boleh dilakukan.

8. Setelah surat kebenaran pindahmilik dan gadaian diperolehi, barulah bank pembeli boleh membayar tebus hutang kepada pemegang kuasa wakil hartanah tersebut kerana ianya tidak lindungi oleh insuran MRTA. Setelah itu, proses pembatalan kuasa wakil didaftarkan di mahkamah tinggi.

9. Setelah itu, pembeli boleh meneruskan dengan proses adjudikasi dan pembayaran duti setem ke atas dokumen pindahmilik Borang 14A.

10. Akhirnya, setelah didapati bahawa hartanah tersebut telah benar-benar bebas daripada sebarang sekatan, barulah pindahmilik kepada pembeli baru boleh didaftarkan dan anda dan/atau waris si mati mendapat baki harga jualan.

Kalau dah begini prosedurnya, anda boleh bayangkan sendiri, berapa lama masa yang perlu diambil. Berapa lama masa yang anda ambil untuk membaca huraian ringkas di atas.

Berapa lama pula masa yang anda ambil untuk memahaminya. Jika begitu, faham-faham ajelah berapa lama masa yang perlu diambil bagi keseluruhan prosedur.

Bagaimana dengan yuran guaman. Patutnya anda juga boleh mengira berapa banyak kerja yang perlu dilakukan.

- Isu tentang waris yang hilang dan pengiraan faraid cara munasakhat ada diterangkan dalam buku Panduan Praktis Hukum Waris oleh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin.


- Anda boleh mendapatkan buku di atas secara online di www.stormreaders.net/pustakamizi
- Maklumat lanjut tentang stromreaders di www.stormreaders.co

Tuesday, February 1, 2011

Faraid; Si Mati tiada anak lelaki dan adik-beradik lelaki

Soalan:

Kakak saya mati meninggalkan seorang suami, seorang ibu, seorang anak perempuan, dan dua orang adik-beradik kandung perempuan termasuk saya. Ayah telah meninggal dunia lebih awal daripada kakak saya. Macamana pengiraan faraid bagi harta pusaka kakak saya tersebut?

Jawapan:

Situasi ini agak menarik kerana jarang sangat berlaku keadaan seorang si mati tidak meninggalkan waris lelaki yang menjadi waris 'asabah. Suami si mati, walaupun lelaki tidak dikira waris 'asabah kerana tiada hubungan darah dengan si mati.

Baiklah, mari kita kira satu persatu kadar bahagian waris fardu terlebih dahulu iaitu kadar bahagian suami, ibu, dan anak perempuan.

Kadar asal bagi suami ialah 1/4 kerana si mati ada meninggalkan anak. Kadar asal bagi ibu ialah 1/6 kerana si mati ada meninggalkan anak. Manakala kadar asal anak perempuan ialah 1/2 kerana dia adalah anak perempuan (AP) tunggal.

Setelah dijumlahkan, 1/4 + 1/6 + 1/2, kita akan mendapat pembawah 12, dan bahagian suami menjadi 3/12, ibu = 2/12, dan AP = 6/12, dan baki harta ialah 1/12.

Baki harta 1/12 inilah menjadi kadar bahagian adik-beradik kandung perempuan (selalunya diistilahkan sebagai saudara seibu sebapa perempuan-SIBP) si mati dan mereka ini dikenali sebagai waris 'asabah maal ghairi. Walaupun mereka adalah perempuan, tetapi memadai untuk mengambil saki-baki harta pusaka si mati menjadikan waris 'asabah yang lebih jauh (seperti saudara sebapa, saudara seibu, bapa saudara dan/atau sepupu) adalah terdinding/terhalang dengan sebab adanya mereka.

Baki harta 1/12 ini hendaklah dibahagi samarata antara dua beradik kandung perempuan si mati menjadikan kiraan tashih selanjutnya ialah 1/24 bagi setiap seorang SIBP, 6/24 bagi suami, 4/24 bagi ibu, dan 12/24 bagi AP.

Pusaka; Bidangkuasa Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri?

Soalan:

Urusan yang berkaitan harta pusaka ni, dalam bidangkuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, kena pergi mahkamah sivil atau mahkamah syariah?

Jawapan:

Kedua-dua kerajaan persekutuan & kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa masing-masing mengenai urusan harta pusaka. Kerajaan Persekutuan mempunyai bidangkuasa dalam pentadbiran pusaka, manakala kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa dalam hal-ehwal harta pusaka itu sendiri.

Keliru...? Baiklah, saya bagi contoh seperti berikut:

Apabila seseorang itu meninggal dunia dan ahli waris mendapati bahawa kemungkinan si mati telah menghibahkan sebahagian hartanya dan ada juga meninggalkan wasiat, jadi, pengesahan hibah dan wasiat ini adalah berkaitan harta pusaka itu sendiri dan ianya di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan perintah pengesahan hibah dan wasiat hendaklah dipohon di mahkamah syariah yang berkaitan.

Begitu juga sekiranya pasangan si mati ingin memohon harta sepencarian daripada si mati, permohonan pengesahan harta sepencarian adalah berkaitan hal-ehwal harta pusaka itu sendiri dan dalam bidangkuasa kerajaan negeri dan permohonan pengesahan harta sepencarian hendaklah dibuat di mahkamah syariah.

Begitu juga bagi urusan untuk mendapatkan sijil faraid, permohonan hendaklah dibuat di mahkamah syariah kerana urusan sijil faraid adalah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan mahkamah syariah.

Sementara itu, bagi urusan perlantikan pentadbir bagi harta peninggalan si mati, ini adalah berkaitan pentadbiran harta pusaka, dan ianya di bawah bidangkuasa kerajaan persekutuan dan permohonan hendaklah dibuat sama ada di unit pesaka kecil sekiranya si mati ada meninggalkan harta tak alih tidak melebihi RM2 juta atau di mahkamah tinggi sivil yang berkaitan sekiranya si mati ada meninggalkan harta melebihi RM2 juta.

Begitu juga sekiranya ahli waris ingin menjual hartanah milik si mati. Permohonan untuk perintah jualan hendaklah dipohon di mahkamah tinggi sivil memandangkan perkara ini terletak di bawah bidangkuasa kerajaan persekutuan. Hanya peguam sivil yang boleh mewakili anak guam mereka dalam hal ini dan di sini, peguam syarie hilang taringnya.

Sekiranya ahli waris ingin memindahmilik hartanah si mati kepada salah seorang pewaris, permohonan boleh dibuat sama ada di unit pesaka kecil di pejabat tanah atau di mahkamah tinggi sivil kerana ini juga dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Ringkasnya, urusan PENTADBIRAN harta pusaka seperti perlantikan pentadbir, perintah pindahmilik, dan/atau perintah jualan adalah dalam bidangkuasa kerajaan persekutuan.

Manakala, HAL-EHWAL harta pusaka itu sendiri seperti permohonan sijil faraid, pengesahan hibah, pengesahan wasiat, dan/atau pengesahan harta sepencarian adalah dalam bidangkuasa kerajaan negeri.